Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Selasa, Januari 15, 2013
'Nambikei' semakin kukuh!
Perhimpunan Agung MIC yang ke-66 lalu merupakan yang terakhir bagi parti itu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Sejak mengambil-alih teraju kepimpinan kerajaan, pelbagai pendekatan digunakan Najib untuk berkomunikasi dengan masyarakat India. Lawatan ke Brickfields dan Masjid India antara langkah 'walkabout' yang diambil beliau tidak termasuk menyambut pelbagai perayaan kebudayaan komuniti India secara berterusan.
Di perhimpunan kali ini yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, Najib mengulangi bahawa ada kesilapan yang dilakukan sebelum ini. Tidak ramai yang suka menyatakan adanya kelemahan lepas tetapi hakikatnya, ini membawa kepada fasa baru dalam tadbir-urus beliau kerana mahu memperbaiki kekurangan ini dan menjadikan ia sebagai lonjakan dalam memulihkan semula kemerosotan dalam PRU Ke-12 pada tahun 2008.
Ia bercirikan kepada pembinaan semula 'keyakinan' atau 'nambikei' dalam kalangan masyarakat India yang sebelum PRU 2008 memberikan sokongan padu sekitar 80% walaupun pengundi bandar India tidak selalu seiring dengan sokongan sedemikian rupa. Teras kepada nambikei Najib adalah kepada usaha melihat perpaduan parti penting untuk bersama dalam apa jua keadaan. Dengan berpusatkan kepada kepentingan itu, Najib mahu parti komponen termasuk MIC tidak mengulangi kesilapan 2008.
Hatta, kesediaan beliau untuk mengambil risiko dengan memaparkan 'kad laporan' bertemakan 'janji ditepati' yakni segala bentuk aktiviti dan program yang dilaksanakan di bawah pentadbirannya menunjukkan beliau komited membawa angin perubahan dari dalam parti dan bukan di sebaliknya.
Jika dijadikan pencapaian 2009-2012 sebagai nota kaki, RM340 juta dibelanjakan oleh kerajaan untuk pembangunan prasarana lebih 250 sekolah Tamil merangkumi 19 (Negeri Sembilan); 20 (Pahang); 46 (Johor); 20 (Pulau Pinang); 7 (Wilayah Persekutuan); 9 (Melaka); 35 (Kedah); 56 (Selangor); dan 46 (Perak). Jumlah sekolah Tamil juga bertambah dari 523 kepada 530 sekolah. Pada waktu sama, Perdana Menteri menubuhkan unit khas untuk mengkaji dan membangunkan Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah Tamil. Untuk membantu kontraktor India, RM100 juta diperuntukkan untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur sekolah Tamil.
RM1.5 juta pula diperuntukkan sebagai dana membuka makmal ICT di 20 sekolah Tamil di Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Selangor dan Johor. Ada juga yang menyoal saluran bantuan ini dan adalah menjadi tanggungjawab pihak berwajib untuk melakukan hebahan sewajarnya untuk tidak mengundang keadaan tidak menentu yang boleh mempengaruhi persepsi umum.
Di bawah elemen pendidikan, perubahan ketara dari segi agihan tempat di dalam matrikulasi yang ditekankan sekali lagi di Perhimpunan MIC baru-baru ini. Sebanyak 1,500 tempat ditawar setiap tahun dan bukan untuk 2012 sahaja. Seramai 100 pelajar India dengan kepujian kelas pertama di universiti pula akan diberikan biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian Sarjana dan Kedoktoran Falsafah mereka. Sejak 2012, seramai 175 pelajar India yang cemerlang di peringkat SPM diberikan geran RM15,000 setiap seorang di bawah 1MDB.
Sektor ekonomi juga menampakkan perubahan sejak 2009. Pinjaman perniagaan khas RM150 juta untuk usahawan perniagaan kecil dan sederhana disediakan manakala RM50 juta dari Bajet 2013 bertujuan melatih 3,200 pelajar India dalam latihan kemahiran yang boleh membuka peluang pekerjaan. Bagi pinjaman mikro-kredit, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyediakan RM100 juta dan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India, TEKUN , RM30 juta adalah dana khas untuk usahawan India serta tambahan RM50 juta untuk SPUMI di bawah Bajet 2013.
Begitu juga dengan saham yang diberi kepada masyarakat India. Amanah Saham Malaysia dan Amanah Saham 1Malaysia dengan nilai RM2 billion dilanggan kerana ia adalah khas untuk masyarakat India. Di bawah Skim Amanah Rakyat 1Malaysia, 15% saham disediakan untuk masyarakat India berpendapatan antara RM500-RM3,000 sebulan dan 5,703 menjadi pelabur saham SARA ini sehingga ke hari ini.
Salah satu punca kemerosotan sokongan dalam PRU 2008 adalah aktiviti dengan rumah ibadat yang sensitif bagi masyarakat India terutama kuil di Padang Jawa yang membawa kepada demonstrasi besar-besaran pada November 2007. Hari ini, yang membawa kepada perobohan kuil sehingga kepada tujuh buah adalah pihak yang menyoal kerajaan Pusat sebelum ini termasuk yang terbaru di Sepang yang turut dikritik oleh pemimpin mereka sendiri.
Di bawah pentadbiran hari ini, RM43 juta diperuntukkan untuk membina dan membaik pulih dalam lingkungan 1,100 kuil Hindu dan rumah ibadat lain. Malahan, RM3.6 juta dibelanja menaiktaraf perkarangan Batu Caves dan RM2 juta bagi penubuhan Batu Caves Indian Cultural Centre. Begitu juga dengan cadangan menjadikan Batu Caves sebagai tapak UNESCO World Heritage yang menjadi komitmen kepimpinan hari ini.
Dilema pendaftaran dokumentasi masyarakat India wujud untuk satu tempoh masa tetapi melalui Special Indian Task Force (SITF) di bawah Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, dari sebanyak 9,529 permohonan yang diterima, 6,590 permohonan sudah diluluskan dan 2,939 permohonan masih dalam proses.
Najib akui bahawa Nambikei masyarakat India penting untuk mendapat mandat dalam PRU akan datang dan di kebanyakan kerusi Parlimen, masyarakat India boleh menjadi penentu jika berlaku tren pola pengundian luar biasa dalam kalangan pengundi Melayu dan Cina. Bagi masyarakat India, barangkali yang perlu dilihat adalah pencapaian sepanjang 2008-2012 kerana ia penting untuk menentukan masa depan yang jauh lebih baik. Sistem penyampaian yang ampuh perlu disokong oleh proses penerimaan dalam kalangan majoriti walaupun tidak dinafikan semuanya dapat diterima kerana ada sebilangan yang masih diselubungi dengan emosi dan kekecewaan sebelum tahun 2008.
Ada juga pelaksanaan yang masih tidak menampakkan keputusan akhir yang baik tetapi jika hubungan resiprokal antara perangka, pelaksana dan kumpulan sasar dapat diperhebatkan, ekspektasi komuniti yang semakin hari semakin tinggi barangkali dapat dipenuhi walaupun tidak sepenuhnya dalam masa pendek. Ada pelbagai saluran, program dan bantuan disediakan tetapi kekurangan hebahan menjadi keterbatasan maklumat sampai kepada kumpulan sasar sehingga dilihat faktor penolak ke atas urus- tadbir dan ia perlu diperbaiki jika mahu mengubah persepsi ke atas kepimpinan.
Untuk memacu ke hadapan, wajar bersifat praktikal mengambil kira demografi dan geografi negara ini. Kualiti kehidupan adalah asas yang mahu dirai oleh mana-mana komuniti termasuk masyarakat India dan dalam mahu menjadi salah satu komuniti yang membangun seiring dengan perubahan semasa; wajar melihat kepada kestabilan, nilai sekuriti dan pelaksanaan 2008-2012 untuk dijadikan sebagai penanda aras kepada nambikei yang dibina oleh Najib.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan