Khamis, Januari 10, 2013

Krisis air Lembah Kelang : Sengsaranya bila air tiada?


Sebahagian penduduk beratur untuk mendapatkan bekalan air daripada lori tangki Syabas di Taman Cheras Indah, Kuala Lumpur, semalam.

Jika di negara jiran, Thailand ketibaan pesta 'bermain air' atau Pesta Songkran sentiasa dinantikan penduduk negara itu untuk berkumpul beramai-ramai meraikan sambutan Tahun Bharu Thai.

Namun, lain pula ceritanya penduduk di negara ini terutamanya di sekitar Lembah Klang sejak lebih seminggu lalu.

Penduduk berkumpul beramai-ramai bukannya untuk bermain air, sebaliknya berbaris untuk mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki yang disediakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Setiap kali bekalan air terputus sama ada kerosakan di rumah pam atau kerja-kerja penyelenggaraan mahu pun membaik pulih, rutin harian orang ramai pastinya akan berubah buat seketika.

Tinjauan pemberita di beberapa lokasi hari ini turut mendapati rutin harian penduduk terjejas berikutan gangguan bekalan air yang berlaku. Waktu untuk menyediakan makanan tengah hari sudah bertukar menjadi masa bagi mengangkut air daripada tangki-tangki statik yang disediakan.

Sebelum keluar bekerja, orang ramai dilihat berkejar-kejar keluar daripada rumah masing-masing untuk mendapatkan bekalan air yang dihantar lori tangki Syabas. Malah, waktu rehat juga digunakan sepenuhnya mereka untuk bergegas pulang ke rumah masing-masing.


Di Taman Cheras Indah dekat sini misalnya, ketiadaan bekalan air sejak seminggu lalu ternyata memberikan kesan besar kepada mereka memandangkan pelbagai urusan seharian tergendala.

Seorang penduduk, Ramlan Abdul Rahman, 57, berkata, kehadiran lori tangki Syabas amat dinantikan mereka setiap hari. Bagaimanapun katanya, bekalan yang diperoleh agak terhad dan hanya bertahan dalam tempoh sehari.

Memandang dalam rumah saya terdapat tujuh orang, setiap orang hanya dibenarkan menggunakan dua baldi air sehari bagi menjamin bekalan air mencukupi untuk memasak dan membasuh," katanya di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mah Kok Hwa, 53, berkata, kerosakan di rumah pam seperti yang dimaklumkan pihak Syabas tidak sepatutnya mengambil masa terlalu lama untuk dibaiki.

"Kita sudah memiliki kepakaran dan peralatan yang canggih, tidak sepatutnya masalah berkaitan teknikal mengambil masa terlalu lama kerana yang menanggung derita adalah pengguna," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Flat PKNS, Taman Dagang mendapati, penduduk di situ mengeluh apabila bekalan air di tangki statik yang disediakan Syabas tidak mencukupi.

Malah, ada yang menyatakan mereka terpaksa menunggu sehingga awal pagi semata-mata untuk mendapatkan bekalan daripada tangki statik yang hanya diisi pada waktu malam.

Situasi sama turut berlaku di Flat Taman Ampang Hilir dekat sini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan