Rabu, Januari 02, 2013

Isu Selangor : Rakyat kecewa lapan balai raya terbiar di Sabak Bernam?


Beberapa penduduk kampung Datuk Hormat menunjukkan balai raya yang persekitarannya ditumbuhi lalang dan rumput di Sabak Bernam, Selangor, semalam.

SABAK BERNAM - Sebanyak lapan balai raya yang terletak di sekitar Kampung Sungai Air Tawar di sini didakwa tidak diselenggara dengan baik hingga menyebabkan keadaan persekitarannya semak samun selain mengalami kerosakan harta benda dan bekalan elektrik dipotong.

Lapan balai raya terlibat adalah di Kampung Datuk Hormat; Sungai Air Tawar Barat; Sungai Tengah Utara; Parit Baru Pekan; Kampung Tengah; Tanjong Jawa; Banting Bagan Nakhoda Omar (BNO) dan Sungai Tengar.

Pengerusi Belia 4B Kampung Datuk Hormat, Mohd. Azlan Mohd. Sani, 33, berkata, penduduk mengalami masalah untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan di Kampung Datuk Hormat kerana bekalan elektrik dipotong oleh kerajaan negeri sejak empat tahun lalu.

"Akibat daripada pemotongan bekalan elektrik ini, penduduk tidak dapat menjalankan aktiviti seperti mesyuarat dan sebarang program melibatkan orang ramai.

"Selepas bekalan elektrik dipotong, kawasan sekitar balai raya juga dibiarkan begitu sahaja. Kerajaan negeri tidak melakukan pemantauan sehingga menyebabkan kawasan balai raya ditumbuhi semak samun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Azlan berkata, sejak balai raya tersebut terbiar, apabila terdapat aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan penduduk setempat, mereka akan menyewa beberapa buah khemah dan diletakkan di hadapan kawasan rumahnya.

"Penduduk berasa sedih dengan tindakan kerajaan negeri yang memotong bekalan air dan secara tidak langsung tindakan tersebut seolah-olah cuba menghalang sebarang aktiviti yang dijalankan oleh kami.

"Saya berharap, kerajaan negeri memandang serius perkara tersebut dan menyelesaikan masalah yang menimpa kami dengan kadar segera," katanya.

Persoalanya adalah adakah kerajaan negeri yang diketuai oleh MB Khalid mahu mengambil berat akan hal-hal yang sebegini sedangkan kawasannya sendiri di Ijok terbiar. Fikir-fikirkanlah. Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan