Jumaat, Januari 04, 2013

Isu air : Rakyat sengsara tanpa bekalan air?


Penduduk menunggu giliran untuk mengambil air dari tangki statik yang disediakan oleh Syabas di Flat Sri Melaka, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.

Penduduk di Flat Sri Melaka di Bandar Tun Razak merayu agar krisis gangguan bekalan air tidak berjadual yang telah berlarutan selama lima hari dapat diselesaikan dengan segera.

Pengerusi Penduduk Flat Sri Melaka, Jamil Kadim, 62, berkata, masalah ketiadaan bekalan air ke rumah mereka sekarang amat menjejaskan kehidupan mereka, terutama bagi penduduk yang ingin mengadakan majlis seperti kenduri dan majlis perkahwinan.

"Kami juga mengharapkan agar disediakan sebuah pusat sehenti di kawasan ini bagi memudahkan para penduduk membuat panggilan aduan atau mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Jamil, sebelum ini penduduk Flat Sri Melaka yang dihuni kira-kira 1,2000 orang telah cuba membuat aduan kepada pihak berkenaan tetapi gagal kerana talian terlalu sibuk.

Sementara itu, seorang penduduk flat tersebut, Fatimah Karim, 68, berkata, mereka sekeluarga terpaksa makan di kedai-kedai berhampiran dan membeli air mineral untuk kegunaan seharian.

"Tangki statik yang disediakan oleh pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) hanya cukup bagi kegunaan untuk mandi dan lain-lain. Kami juga tidak dapat memasak kerana air yang dibekalkan tidak mencukupi," katanya.

Mohd. Khadzari Mohd. Daie, 66, yang telah menetap di situ selama 34 tahun pula hairan mengapa perumahan lain seperti Pangsapuri Pulau Pinang dan di Jalan Ikan Emas mempunyai bekalan air tetapi di tempat tinggalnya tiada.

"Di sini, ramai warga tua. Ada yang sakit kronik, berkerusi roda dan uzur tidak mampu untuk mengambil air dari tangki statik Syabas yang ditempatkan di flat kami.

"Lagipun di sini tiada kemudahan lif dan kami hanya menggunakan tangga," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Datuk Ruslan Hassan dan kakitangannya telah membuat lawatan ke flat itu untuk meninjau masalah penduduk hari ini.

Menurut Ruslan, gangguan bekalan air tidak berjadual yang melibatkan 107,760 akaun atau kira-kira setengah juta pengguna di 90 kawasan sekitar ibu kota terjejas disebabkan masalah kerosakan sistem di Rumah Pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru yang berlaku serentak.

"Syabas menjangkakan gangguan bekalan air ini akan pulih sepenuhnya dalam masa seminggu secara berperingkat-peringkat," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan