Khamis, Januari 17, 2013

Anwar perlu buktikan benarkah rakyat Kelantan tertindas?



Kenyataan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim bahawa UMNO perlu memohon maaf kerana menindas rakyat Kelantan merupakan satu tuduhan serius.

Bagi orang politik seperti Anwar, tuduhan seumpama itu sudah dapat difahami sebagai strateginya untuk mencetuskan sentimen kebencian orang Kelantan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dalam reaksinya kepada tuduhan Anwar itu mempersoalkan: "Apakah benar penindasan berlaku ke atas rakyat Kelantan? Jika benar, mengapa dia (Anwar) sendiri tidak memohon maaf ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu?''

Anwar Ibrahim sendiri mungkin lebih maklum mengenai apa yang dikatakan sebagai 'penindasan' itu.

Sebagai anak Kelantan dan pernah pula memegang jawatan penting sama ada dalam UMNO atau kerajaan Pusat, beliau tentunya lebih mengetahui sejauh manakah 'tidak adilnya layanan' kerajaan Pusat terhadap rakyat Kelantan.


Walaupun negeri itu sudah lama berada di bawah genggaman Pas, ramai yang tidak mengetahui bahawa kerajaan Pusat tidak pernah mengetepikan peruntukan tahunan besar kepada Kelantan seperti mana diterima oleh negeri-negeri diperintah oleh BN.

Malah ada ahli politik di Terengganu yang pernah mempersoalkan kenapa kerajaan Pusat memberi layanan hampir sama termasuk daripada segi peruntukan tahunan dan penyediaan pelbagai infrastruktur kepada Kelantan.

Sebelum 2007 misalnya, Lapangan Terbang Sultan Mizan di Kuala Terengganu lebih kecil saiznya berbanding Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra - yang bukan saja besar tapi memiliki reka bentuk lebih menarik.

Di bandar Kota Bharu, infrastruktur termasuk saiz jalan-jalan Persekutuan jauh berbeza berbanding keadaannya pada 1980-an dan sebelumnya. Apa yang kita lihat di bandar itu seolah-olah ia bukan negeri pembangkang.

Berbalik kepada tuduhan Anwar, para pemimpin UMNO di Kelantan perlu tampil untuk memberi penjelasan kepada rakyat.

Mereka tidak boleh memandang remeh tuduhan itu kerana Anwar seperti diketahui mempunyai kelebihan untuk mengapi-apikan perasaan dan sentimen orang ramai serta membuatkan ramai yang terpengaruh.


UMNO perlu mendedahkan statistik lengkap bagi menjawab tuduhan Anwar dan disebarkan bukan sahaja melalui ceramah atau media massa tetapi menerusi risalah yang diedarkan dari rumah ke rumah.

Antara maklumat yang perlu disebarkan termasuk peruntukan tahunan kerajaan Pusat kepada Kelantan dan jumlah anak Kelantan di sektor awam dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Yang penting, tindak-tanduk dan kelicikan politik Anwar perlu dipatahkan. Setelah mengucar-ngacirkan politik Perak dengan idea yang pernah dicetuskannya dan "memakan diri sendiri" di bawah teori "melompat parti", kini Anwar mahu mencucuk jarum kebencian orang Kelantan terhadap UMNO.

Strategi Anwar dapat difahami. Sebagai lubuk terkuat Pas, kedudukan politik Kelantan amat penting bagi menentukan isu kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Meminjam kata-kata bekas Menteri Besar Selangor dalam blognya mengenai Anwar: "Bagi mereka yang teruja (dengan dakwaan Anwar) hanya perlu bertanya, apakah yang beliau lakukan semasa menjadi Ketua Pemuda UMNO, Naib Presiden UMNO dan Timbalan Presiden UMNO untuk menyatukan orang Islam dan Melayu di negara ini?

Orang Melayu tidak akan bersatu selagi mendengar cakap Anwar. Beliau telah menetapkan agenda peribadinya sendiri jauh lebih penting daripada lain-lain agenda termasuk agenda Islam dan Melayu.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

  1. Hanya melayu yang biol dan pekak saja yang masih percaya kepada halatuju perjuangan Anwar, Nik Aziz dan Hadi Awang untuk membuka laluan bagi memudahkan DAP sampai ke Putrajaya.

    Minta simpang malaikat 44 dengan berkat doa para ulamak dalam kerajaan dan dalam Umno.

    BalasPadam