Rabu, Januari 23, 2013

1,500 nelayan Klang terima elaun!


Abdul Rahman Palil (kanan) menyerahkan elaun sara hidup nelayan kepada salah seorang penerima dalam majlis di Klang, Selangor, semalam.

Sebanyak 1,500 nelayan berdaftar di daerah ini menerima elaun sara hidup bulanan RM200 setiap seorang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM300,000. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, elaun yang diluluskan kerajaan Persekutuan itu melibatkan dua sesi.

Tambahnya, sesi pertama yang melibatkan 500 nelayan menerima bantuan sara hidup hari ini manakala selebihnya diberikan esok di Jeti Pulau Ketam dekat sini. Beliau berkata, kerajaan Persekutuan memperuntukkan bantuan khas untuk setiap nelayan bagi membantu meringankan bebanan golongan berkenaan yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Pemberian elaun sara hidup nelayan ini tidak mengira fahaman politik kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin terhadap golongan nelayan yang mempunyai pendapatan tidak menentu dan bergantung pada keadaan cuaca.

"Dengan elaun sara hidup, para nelayan akan mempunyai pendapatan tetap iaitu RM2,400 setahun, jadi sedikit-sebanyak dapat menyara kehidupan mereka, selain untuk membaiki jaring serta membeli kelengkapan ke laut," katanya dalam Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan kawasan Parlimen Klang di Dewan Ahmad Razali, di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, pihaknya berharap dengan adanya elaun itu, yang diberikan secara bulanan, dapat menaikkan semangat nelayan untuk mencari rezeki. Para nelayan bukan sahaja menerima elaun sara hidup, malah mereka turut diberikan subsidi petrol, kemudahan membaik pulih rumah rosak, insurans dan tuntutan tangkapan ikan segar.

"Kerajaan BN berasa golongan nelayan memerlukan bantuan sebegini kerana merasa mereka memerlukan pembelaan yang sewajarnya," katanya.

Sementara itu, salah seorang nelayan dari Kampung Telok Gong, Johari Samlat, 59, berkata, dia berasa terharu apabila kerajaan memperuntukkan pelbagai bantuan untuk golongan nelayan.

"Sejak kecil saya membantu ayah dan sehingga hari ini saya menjadikan pekerjaan nelayan sebagi sumber pendapatan untuk menyara lima anak-anak yang masih bersekolah.

"Dengan adanya bantuan tersebut, golongan nelayan berasa perjuangan kami di laut mendapat pembelaan kerana kami tidak akan mempunyai pendapatan harian jika tidak turun ke laut," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan