Khamis, Disember 13, 2012

'Mohon maaf' PM resahkan pembangkang?


Sikap merendah diri Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak amat disenangi bukan sahaja ahli UMNO tetapi juga rakyat biasa.

Seminggu lalu, ketika berucap menyampaikan ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012, Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kekhilafan yang dilakukan oleh kerajaan dan parti Barisan Nasional (BN).

Biar pun permohonan maaf itu diterima baik oleh rakyat namun berlainan pula bagi pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Pemimpin ketiga-tiga parti itu ternyata resah gelisah, tidur tak lena dan menggelabah kerana bagi mereka permohonan maaf itu adalah satu tamparan hebat.

Jika sebelum ini mereka sudah terpukul dengan tema hari kemerdekaan Janji Ditepati, kini permohonan maaf itu dianggap menambahkan lagi kesengsaraan mereka dari segi imej politik dari kaca mata rakyat.

Oleh itu, pakatan pembangkang memandang sinis permohonan maaf Najib dengan membuat pelbagai andaian.

Mereka memperlekeh tindakan Najib itu dan menganggap ia petanda awal UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

''Adakah perwakilan ini (UMNO) menangis kerana takut kehilangan kuasa,'' kata Anwar ketika menghadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat di Alor Setar, kelmarin. Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga mempersoalkan, apakah sebenarnya diminta maaf oleh Presiden UMNO itu.

Kenyataan ini belum lagi mengambil kira bagaimana Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan, permohonan maaf Najib itu hanya boleh diterima jika UMNO menukar dasar kebangsaannya kepada dasar Islam.

Manakala Dewan Pemuda Pas juga mahu tumpang semangkuk mencari publisiti apabila Ketuanya, Nasruddin Hassan menyatakan permohonan maaf Perdana Menteri itu menunjukkan kerajaan mengakui kesilapan mereka dalam mentadbir negara, namun kata beliau ia tidak boleh diselesaikan dengan meminta maaf sahaja tetapi perlu diiringi dengan mengembalikan hak rakyat.

Demikianlah angkuh dan bongkak pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang yang merasakan seolah-olah mereka tidak pernah melakukan kesilapan dan kesalahan sepanjang bergelumang dalam dunia politik.

Sekurang-kurangnya, Najib menunjukkan keikhlasan dengan bersedia memohon maaf jika kerajaan BN dan UMNO adalah melakukan kesilapan sepanjang menjalankan pemerintahan.

Tetapi kajilah apakah sikap ini ada kepada pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang? Sudah pasti tidak, apa yang kita sering saksikan bagaimana mereka begitu selesa untuk bersandiwara daripada mengakui kesilapan.

Persoalannya apakah pembangkang meminta maaf apabila berpuluh-puluh janji yang dibuat dalam manifesto dalam pilihan raya umum lalu di negeri-ngeri yang mereka perintah tidak ditunaikan?

Apakah kerajaan Pas Kelantan meminta maaf apabila rakyat negeri itu sejak 20 tahun lalu terpaksa meneguk air keruh dan isu itu tidak mampu diselesaikan sehingga ke hari ini?

Apakah pemimpin Pas memohon maaf apabila mereka 'menipu' umat Islam kononnya DAP sudah menerima perjuangan Islam mereka?

Apakah pemimpin Pas memohon maaf apabila para ulama menyifatkan tindakan Pas sewenang-wenangnya mendoakan kehancuran UMNO dan BN adalah salah di sisi Islam?

Apakah pemimpin-pemimpin PKR memohon maaf apabila pentadbiran mereka di Selangor menyaksikan rakyat semakin tidak berpuas hati dan bangkit melakukan pelbagai demonstrasi sebagai bantahan?

Apakah pemimpin-pemimpin PKR memohon maaf apabila ada dalam kalangan mereka terlibat dalam pelbagai skandal?

Apakah pemimpin-pemimpin DAP memohon maaf apabila pentadbiran mereka di Pulau Pinang dilihat semakin mengecewakan rakyat khususnya orang Melayu?

Hakikatnya, banyak lagi tindakan yang menjadi bukti bagaimana pemimpin pembangkang tidak berjiwa besar seperti Najib yang sedia memohon maaf. Apa yang pembangkang tahu ialah cuba memaparkan kepada rakyat kononnya merekalah kelompok terbaik dan tidak pernah melakukan kesilapan serta kesalahan.

Sebab itulah apa pun berlaku, pakatan pembangkang tidak akan sesekali memohon maaf kerana pada fikiran mereka tindakan itu akan menyebabkan imej politik mereka terjejas.

Mereka lebih bersedia bersikap hipokrit dan cuba menggambarkan apa pun berlaku kepada mereka, semua itu adalah agenda, konspirasi dan fitnah politik UMNO dan BN.

Demikianlah sikap pakatan pembangkang, justeru kita tidak perlu berasa hairan apabila mereka memperlekehkan permohonan maaf Najib kerana sikap merendah diri itu tidak ada pada diri mereka.

Biar pun Najib tahu, permohonan maaf itu akan dipolitikkan oleh pakatan pembangkang namun bukan itu yang menjadi perhitungan utama. Apa yang lebih penting ialah rakyat diberi pemahaman bahawa BN dan UMNO bukanlah sebuah parti hipokrit apatah lagi bongkak dan angkuh.

Jika terdapat kesilapan dan kesalahan, kerajaan BN dan UMNO sedia memohon maaf serta bersedia untuk melakukan penambahbaikan demi kesejahteraan rakyat.

Sebab itulah ketika mengemukakan permohonan maaf itu, Najib menegaskan bahawa ''saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.''

Bagi Najib, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya, begitulah juga permohonan maaf yang dibuat, ia bukanlah bererti kerajaan BN dan UMNO lemah tetapi bagi menggambarkan kepada rakyat bahawa parti itu bersedia melakukan apa sahaja perubahan atau transformasi demi kesejahteraan rakyat dan negara ini.

Oleh itu tidak perlulah pakatan pembangkang yang semakin kehabisan modal dan isu menjelang pilihan raya umum mahu mempersendakan permohonan maaf Najib itu.

Percayalah, rakyat menerima dengan penuh positif tindakan Najib itu, malahan rakan-rakan penulis dalam pakatan pembangkang mengakui tindakan itu adalah satu tamparan kepada PKR, DAP dan Pas.

Ia disebabkan selama ini rakyat tidak pernah mendengar pemimpin pembangkang memohon maaf berikutan pelbagai tindak tanduk mereka. Berikutan itu, penulis percaya, pakatan pembangkang hakikatnya berasa rimas dengan permohonan maaf Najib dan mereka bimbang rakyat akan memahami betapa tulus kepimpinan BN dalam membela nasib mereka.

Justeru mahu tidak mahu, mereka cuba meneutralkan tindakan Perdana Menteri itu dengan mempersendakan perkara berkenaan biar pun mereka memahami rakyat menerima baik langkah berkenaan.

Apa pun, penulis percaya tindakan pembangkang itu tidak akan membuahkan hasil kerana rakyat semakin memahami mainan politik pakatan yang ditubuhkan semata-mata untuk merebut kuasa tersebut.

Kepada pemimpin-pemimpin Pas, walaupun kita memahami mereka semakin kemaruk mahu berkongsi kuasa dengan PKR dan DAP tetapi sebagai sebuah parti yang dianggotai oleh ramai ulama janganlah melupakan firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 237:

''Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalal) itu lebih hampir kepada takwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.''

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

  1. Walaupun pangkat tinngi sanggup mohon maaf. Yang dok lepak, malas n asyik nak mengutuk sanggup ke? Time raya je tupun lepas tu lupa kemaafan pasal x ikhlas

    BalasPadam