Jumaat, Disember 07, 2012

Kedangkalan Menteri Besar adalah punca kepada segala masalah yang berlaku di Selangor?



Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata masalah utama rakyat Selangor adalah terpaksa berhadapan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sering berdolak dalih untuk menyelamatkan diri.

Katanya, tindakan kerajaan negeri yang seolah-olah menipu rakyat dengan menawarkan jaminan kebajikan dalam manifesto pilihan raya umum tanpa mengambilkira kemampuan untuk melaksana akan mengakibatkan rakyat berubah arah.

"Dulu semasa berjanji tidak bagi tahu bahawa ada syarat-syarat kepada janji itu tetapi sekarang setelah berkuasa ada pula syarat-syaratnya.

"Tidak betul jika tindakan memberikan manifesto hanya sekadar untuk berjanji untuk buat tetapi kita tidak buat," katanya ketika dihubungi.

Khalid pada Rabu memberitahu bahawa bukan semua rakyat di Selangor layak untuk mendapat manfaat daripada manifesto yang diisytiharkan pakatan pembangkang sebelum berjaya menjadi kerajaan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri hanya bertanggungjawab menjaga kepentingan golongan yang kurang berkemampuan.

Sehubungan dengan itu Agus menggesa agar kerajaan Pakatan Rakyat menilai terlebih dahulu kemampuan kewangan negeri sebelum berjanji kepada pengundi di Selangor terutamanya.

"Lain kali dalam pilihan raya yang akan datang kalau tidak dapat buat sesuatu yang baru kepada rakyat jangan berjanji.

"Begitu juga dengan isu PTPTN, penurunan harga kereta, jadi mereka perlu fikir baik-baik sebelum berjanji," beliau menjelas.


Ketua Pembangkang negeri Selangor, Datuk Satim Diman sebelum ini mendakwa sumber kewangan yang tidak kukuh adalah faktor kerajaan PKR Selangor tidak mampu melaksanakan program-program rakyat sepertimana yang dijanjikan dalam manifestonya.

Beliau berkata Khalid mencari pelbagai alasan untuk mengenepikan hak rakyat Selangor yang dianggarkan berjumlah RM2.4 bilion. Pengakuan Khalid bukti pembangkang tidak ikhlas.

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus berkata pengakuan Khalid itu semalam membuktikan janji-janji yang dimuatkan dalam manifesto pembangkang bertujuan mengaburi mata pengundi untuk mendapatkan kuasa di negeri itu.

"Mereka sebenarnya mudah membuat janji, dan hari ini mereka tidak mampu untuk melaksanakannya pelbagai alasan yang diberikan untuk mengatakan janji-janji itu bersyarat.

"Dengan kenyataan MB itu, sudah terbukti kesemua janji yang telah dibuat oleh mereka tidak pasti samada boleh dilaksanakan hanya untuk menarik minat rakyat sebelum mendapatkan kuasa," kata beliau.

Abdul Shukor selain itu mendakwa pembangkang tidak berlaku ikhlas dengan memaklumkan syarat-syarat manifesto lebih awal.

"Kalau begitu mengapa sebelum ini semasa membentangkan manifesto mereka terus maklumkan apa syaratnya," katanya.

Justeru katanya, Buku Jingga yang ditawarkan kepada rakyat akan mengalami nasib yang sama.

"Ini bererti apa juga manifesto selepas ini termasuk Buku Jingga adalah untuk mengaburi mata rakyat semata-mata dan ianya belum pasti untuk diberikan kepada rakyat.

"Ianya telah pasti akan menjadi janji palsu jugak dan harapan kita janganlah rakyat terpedaya lagi dengan janji mereka yang sebegitu atau manifesto yang akan datang kerana sudah pasti tidak akan dilaksanakan," ujar beliau. - AntaraPos

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan