Isnin, Disember 31, 2012

Karnival Sayangi Selangor 2012 : 'MBS Job Fair' disambut baik!



Golongan muda menyifatkan penganjuran program 'MBS Job Fair' sepanjang empat hari Karnival Sayangi Selangor 2012 yang bermula hari ini sebagai usaha yang perlu diteruskan pada masa hadapan.

Rata-rata mereka yang ditemui hari ini menyatakan program tersebut adalah satu langkah yang baik kerana ia memberi peluang kepada lepasan sekolah dan graduan untuk mendapat peluang pekerjaan yang sesuai.

Seorang pelajar, Fauziah Johari, 24, berkata, kehadiran beliau ke program yang dikendalikan Majlis Belia Selangor (MBS) itu setelah mendapat maklumat terdapat 6,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh pelbagai syarikat termasuk syarikat milik kerajaan (GLC).

"Peluang pekerjaan yang ditawarkan begitu banyak dan sewajarnya mereka yang sedang mencari pekerjaan seperti saya mengambil manfaat daripada program ini," katanya yang berminat dalam bidang jualan dan pemasaran.

Pandangan sama dikongsi oleh S. Tamilmohli, 27, yang ketika ini tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan program 'MBS Job Fair' sebagai medan untuk mencari pekerjaan yang sesuai.

Katanya, peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam program tersebut meliputi pelbagai bidang termasuk bidang yang dipelajarinya iaitu bioteknologi.

Sementara itu, graduan Kejuruteraan Elektronik Politeknik Shah Alam, Cairull Barrydynn, 34, mahu mencari peluang lain untuk meningkatkan lagi pengalamannya dalam bidang yang dipelajari.

"Saya lihat banyak pekerjaan yang ditawarkan. Bagi mereka yang ingin mencari pengalaman kerja baru, inilah tempat yang harus dikunjungi," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan