Sabtu, Disember 08, 2012

Isu Selangor : Sampah tidak dikutip seminggu?


Lee Kwan Meng menunjukkan kepada wartawan sampah yang bertimbun di Pasar Besar Kampung Cempaka, Petaling Jaya, yang didakwa tidak dikutip.

Peniaga-peniaga di sekitar Pasar Besar Kampung Cempaka, Jalan PJU 1/5 berasa kesal dan kecewa kerana sampah di pasar tersebut tidak dikutip sejak Ahad lalu sehingga mencemarkan pemandangan dan udara di kawasan itu.

Pengerusi Persatuan Penjaja pasar tersebut, Lee Kwan Meng berkata, keadaan itu sekali gus mengganggu kehidupan harian penduduk sekitar serta peniagaan mereka.

Katanya, pihaknya sudah pun membuat aduan kepada Jabatan Kesihatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengenai perkara itu, tetapi tiada tindakan yang diambil.

"Apabila kami membuat aduan mereka berjanji akan menguruskan perkara ini, tetapi tiada sesiapa yang datang dan mengutip sampah sehingga sekarang.

"Selalunya setiap hari sampah ini akan dikutip, tetapi sejak Ahad lalu ia tidak dilakukan dan sampah bertambah banyak," katanya ketika ditemui di pasar itu Jumaat lalu.


Sementara itu Lim Hoon Fatt, 58, yang berniaga nasi ayam di hadapan pasar itu memberitahu perniagaannya terjejas akibat masalah sampah yang tidak dikutip itu.

"Pendapatan perniagaan saya telah berkurangan sehingga 30 peratus disebabkan masalah ini. Ini kerana bau busuk daripada sampah itu boleh dihidu sehingga ke dalam kedai.

"Kalau dulu makanan yang saya jual boleh habis sebelum pukul 1 petang sahaja, tetapi kini kena tunggu sampai pukul 3 petang," ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua MCA Bahagian Petaling Jaya Utara, Datuk Lim Choon Kin berkata, beliau menerima aduan bahawa masalah tersebut bukan sahaja berlaku di situ.

"Peniaga mengadu yang sampah ini tidak diangkat oleh kontraktor sejak Ahad lalu dan ia telah menjejaskan perniagaan mereka.

"Malah, masalah sampah tidak dikutip ini bukan sahaja berlaku di sini sahaja. Saya juga mendapat aduan perkara yang sama berlaku di Pasar Taman Megah dan Pasar Sungai Way.

"Masalah ini berlaku semenjak kerajaan pembangkang tidak menyambung kontrak dengan Alam Flora," jelasnya.

Sementara itu, pemerhatian di Pasar Besar Kampung Cempaka hari ini mendapati hanya sebahagian sampah telah dikutip.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan