Selasa, Disember 25, 2012

Isu Selangor : 12 penghuni tiga keluarga di PJ berhimpit satu rumah?


NorHabatin Mohd. Khan (kiri) dan ibunya, Fatimah Baharin (kanan) terpaksa berkongsi rumah bersama 10 yang lain di sebuah unit pangsapuri di Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor kerana sukar mendapatkan rumah mampu milik lain.

Sebuah keluarga terpaksa tinggal bersesak dalam sebuah unit pangsapuri di Petaling Utama di sini sejak lima tahun lalu kerana sukar mendapatkan rumah mampu milik.

Ini menyebabkan ruang tamu rumah mereka juga dijadikan tempat tidur, selain tempat makan mereka sekeluarga pada setiap hari.

Norhabatin Mohd. Khan, 40, yang tinggal bersama ibu, empat anaknya, tiga adik perempuan, dua adik ipar dan seorang anak saudaranya terpaksa berhimpit disebabkan masing-masing tidak mampu menyewa secara bersendirian.

Ibu tunggal itu berkata, harga rumah sekarang yang tidak mampu dimiliki golongan sepertinya turut menjadi faktor mengapa mereka berkongsi rumah beramai-ramai.

"Sudah lima tahun kami tinggal begini dengan membayar sewa bulanan RM500, yuran penyenggaraan RM55 dan bil elektrik dan air kira-kira RM50," katanya ketika ditemui sempena lawatan Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang) ke atas keluarganya baru-baru ini.

Bukan tidak mahu mendiami rumah yang lebih selesa, tetapi di mana mahu mencari duit untuk memiliki rumah kos rendah di sini, kata kerani di sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya itu.

Bagaimanapun, ketika lawatan itu, kebanyakan ahli keluarga berkenaan keluar bekerja.


Sementara itu, Pengerusi Serang, Budiman Mohd. Zohdi yang mengetuai lawatan itu berkata, pihaknya masih menanti jawapan kerajaan negeri mengenai percanggahan maklumat yang dikeluarkan dalam sebuah akhbar tempatan dengan ucapan Exco terbabit Sidang DUN pada Mac lalu.

"Kami ingin bertanya di mana lokasi 6,470 rumah kos rendah yang kononnya dibina kerajaan negeri, malah kami juga mahu mengetahui apakah syarat-syarat permohonan yang ditetapkan dan berapa ramai anak muda Selangor berpeluang memiliki rumah itu," katanya.

Budiman turut mempersoalkan status Skim Perumahan Pasangan Muda yang dilancarkan pentadbiran terdahulu yang difahamkan sebidang tanah di Seksyen 24, Shah Alam sudah pun diperuntukan untuk tujuan itu.

"Hari ini, kami mengunjungi rumah seorang anak muda yang mengalami masalah untuk memiliki rumah kos rendah, malah terpaksa berkongsi dengan tiga pasangan lain," ujarnya.

Dalam pada itu, Serang turut mengedar 1,000 topeng kempen Mana Rumah Selangorku (Mask) kepada golongan muda di Pasar Malam Taman Sri Manja.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan