Selasa, Disember 04, 2012

Isu banjir Selangor : Penduduk terkilan dengan sikap pemimpin Pakatan yang 'lepas tangan'?


Air melimpah ke jalan disebabkan longkang sepanjang satu kilometer di Taman Rantau Panjang Jaya, Klang yang tidak diselenggara sehingga tersumbat oleh mendapan sampah, tanah dan minyak.

Penduduk Taman Rantau Panjang Jaya di sini terkilan dengan sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Kim dari DAP yang didakwa menafikan bahawa kawasan perumahan itu tidak di bawah seliaan beliau setiap kali aduan berkaitan banjir dibuat.

Speaker DUN Selangor itu sebaliknya dikatakan memaklumkan bahawa kawasan perumahan itu adalah di bawah seliaan ADUN Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil dari Barisan Nasional (BN).

Seorang penduduk, Tan Lai Teck, 35, berkata, kenyataan Chang Kim itu mengejutkan mereka kerana beliau dilihat seolah-olah cuba lepas tangan, dan penduduk tidak percaya alasan sedemikian boleh dikeluarkan seorang wakil rakyat yang sepatutnya mendengar dan mengambil berat masalah rakyat.

"Saya tidak sangka beliau bersikap begitu, kalau pun tidak mahu bertanggungjawab janganlah sampai menafikan kawasan perumahan kami adalah di bawah kawasannya sedangkan kebanyakan penduduk perumahan ini merupakan pengundi DUN Sungai Pinang.

"Jika benar sekali pun kawasan perumahan kami bukan di bawah seliaan beliau, tidak salah jika beliau turut mendengar dan membantu menyelesaikan masalah banjir ini kerana Chang Kim merupakan Speaker DUN Selangor," katanya ketika ditemui di kawasan perumahan tersebut baru-baru ini.

Lai Teck berkata, selain penafian Chang Kim, pihaknya turut kesal dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang tidak menghiraukan masalah penduduk di situ meskipun telah berpuluh-puluh aduan berkenaan banjir dibuat sejak empat tahun lalu.

Kata beliau, pihaknya dan beberapa penduduk lain bukan hanya membuat aduan kosong sebaliknya turut menyatakan sebab utama kejadian banjir yang dipercayai berpunca daripada longkang tersumbat kerana tidak disenggara dengan baik.

"MPK tidak buat kerja. Itu yang dapat saya katakan sepanjang mendiami perumahan ini. Saya tidak pernah melihat kakitangan MPK menyenggara longkang yang menjadi punca banjir.

"Longkang yang asalnya mempunyai kedalaman lima meter kini hanya tinggal dua meter kerana dipenuhi mendapan sampah, tanah dan minyak," katanya.

Tinjauan mendapati, kawasan longkang sepanjang satu kilometer itu ditumbuhi rumput dan lalang yang tinggi serta dipenuhi sampah-sarap seperti tin kosong, kayu, bekas makanan dan bungkusan plastik.

Selain itu, warna air longkang tersebut juga telah bertukar hitam dan mengeluarkan bau busuk.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Jessy berkata, biarpun banjir belum sampai ke tahap memasuki rumah, namun dia tidak menolak kejadian lebih buruk boleh berlaku pada masa akan datang sekiranya tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berwajib.

Suara politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan