Sabtu, November 03, 2012

PAS 'pertaruhkan' hukum hudud demi kemaruk kuasa?



Ketaksuban berpolitik dalam kalangan pemimpin dan penyokong Pas ternyata tiada batasnya. Tidak kira khutbah Jumaat mahupun khutbah Aidilfitri, tazkirah atau khutbah Aidiladha semuanya akan diselit dengan unsur-unsur politik seolah-olah untuk menunjukkan merekalah yang paling Islam berbanding UMNO dan merekalah penegak hukum Allah di muka bumi bernama Malaysia ini.

Sebenarnya, bukan sekali malahan sudah banyak kali kita menyaksikan bagaimana umat Islam yang hadir ke masjid-masjid terpaksa mendengar khutbah dan tazkirah berbaur politik, terbaru berlaku di Kelantan apabila sebuah masjid membaca teks khutbah berbentuk sedemikian.

Mungkin juga dalam kehangatan orang bercakap mengenai hukum hudud, Pas sudah tidak senang duduk, mereka merasakan hukum hudud yang sebelum ini menjadi modal setiap kali pilihan raya mula menggugat kedudukan mereka. Tindakan Pas kembali bercakap soal hukum hudud sebenarnya menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan parti itu dalam melaksanakan hukum berkenaan.


Oleh itu bagi menutupi kelemahan berkenaan maka seperti mana berlaku di Kelantan Dewan Ulama Pas negeri itu mengeluarkan teks khutbah Aidiladha yang secara jelas menuding jari kepada orang lain kerana kegagalan mereka melaksanakan hukum itu di Kelantan.

Berikut sebahagian intipati khutbah tersebut seperti mana didedahkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali pada Jumaat lalu:

(a) Hendaklah kita perbetulkan dasar perjuangan kita dengan meletakkan al-Quran dan Hadis sebagai rujukan tertinggi

(b) Kenapakah setelah sekian lama kita diperintah oleh mereka yang mengaku menjadikan Islam sebagai agama rasmi tetapi umat Islam masih gagal menjadikan Islam sebagai cara hidup yang terbaik?

(c) Kita bukan disuruh sembelih anak tersayang seperti Nabi Ibrahim, sebaliknya kita disuruh mengerat tangan pencuri, menyebat dan merejam orang yang berzina, menyebat peminum arak dan membunuh orang murtad

(d) Kenapa masih ragu-ragu terhadap hukum yang ditentukan oleh Allah untuk menghukum penjenayah?

(e) Tidak ada kemungkaran yang lebih besar kecuali kemungkaran menolak hukum Allah yang penuh kebaikan dengan menerima pelbagai hukum ciptaan manusia yang ingkar terhadap Allah.

Jelaslah apa yang ingin perkatakan ialah mengenai hukum hudud - satu janji yang dilafazkan oleh Pas Kelantan dalam pilihan raya umum 1990. Bagaimanapun sampai sekarang hukum berkenaan tidak dilaksanakan dan dalam suasana untuk menghadapi pilihan raya umum, Pas cuba menutupi kegagalan mereka dengan menuding jari kepada kerajaan Pusat.


Di mana-mana saja kini, mereka 'menjaja' bahawa UMNO bertanggungjawab apabila hukum hudud tidak dapat dilaksanakan dan hukum itu diperlekehkan oleh bukan Islam. Tiada keinsafan di kalangan pemimpin Pas untuk mengkaji kelemahan sendiri sehingga memungkinkan hukum hudud seolah-olah dilihat sekadar mainan politik parti itu setiap kali menjelang pilihan raya.

Mengulas perkara ini, penganalisis politik Ahmad Masrizal Muhammad berkata, sebenarnya rakyat negara ini dan Kelantan khususnya sudah lama menanti Pas menunaikan janji mereka untuk melaksanakan hukum kanun Jenayah Syariah II negeri Kelantan atau yang 'dijual' namanya sebagai hudud. Semenjak daripada mula memenangi memegang tampuk pemerintahan negeri Kelantan kira-kira 20 tahun yang lalu, maka itulah harapan rakyat.

''Semua rakyat pada awalnya bangga dengan janji-janji sebegini. Namun, ternyata itu semua tidak menjadi kenyataan. Saban pilihan raya rakyat didendangkan dengan lagu yang sama iaitu Pas akan melaksanakannya tetapi, selepas menang pilihan raya visi itu tidak pun cuba dilaksanakan apatah lagi mahu bersungguh-sungguh melaksanakannya,''katanya ketika dihubungi.


Dalam soal ini Ahmad Masrizal menegaskan, cuba tanya pimpinan Pas, berapa banyak konvensyen, bengkel, seminar atau ruang ilmiah yang dibuka kepada rakyat untuk membincangkan perkara itu secara mendalam. Jadi apa langkah persediaan untuk membuktikan kesungguhan mereka ?

''Jawapannya tiada! Lantas perjuangan undang-undang yang kononnya dipanggil hudud itu dilakukan atas paksi apa? Paksi agama, ilmu atau paksi politik semata-mata ? Jika mahu dikatakan paksi agama dan ilmu kenapa mereka menikus dengan herdikan ahli pakatan yang lain seperti DAP dan PKR akan hal ini? 'Mana keberanian dan istiqamah mereka sebagaimana garang dan kerasnya mereka menentang UMNO, parti yang juga dikuasai oleh orang sedarah sedaging dengan mereka?.

''Yang utama bagi mereka ialah tumpaskan UMNO dan menangkan Pakatan Pembangkang. Maka tidak hairanlah kepada kita jika kita melihat mereka mengamalkan politik multidualistik. Di kampung bercakap soal negara Islam , di bandar lain pula nadanya iaitu bercakap soal negara kebajikan dan dengan kariah pakatan bercakap soal demokrasi,'' katanya.


Sememangnya itulah sikap Pas tetapi malangnya pemimpin-pemimpin parti tersebut termasuklah khatib atau penceramah Pas yang bercakap soal hukum hudud tidak mahu mengakui kelemahan sendiri.

Sebab itulah, Ibrahim menyifatkan tindakan Dewan Ulama Pas Kelantan (DUPK) sebenarnya hanya memperlihatkan tembelang sebenar parti itu yang bertopengkan agama semata-mata.

''Bagi saya, teks khutbah DUPK ini tidak lebih daripada satu cubaan Pas untuk memindahkan kegagalannya melaksanakan hukum hudud di Kelantan kepada kerajaan Pusat sahaja,'' katanya ketika dihubungi.

Ibrahim berhujah sedemikian kerana menurut beliau Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Guaman Pas Pusat, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong, sendiri mengakui betapa kerajaan Kelantan sebenarnya berkuasa untuk melaksanakan hukum hudud, hanya ia tidak melaksanakannya sahaja.


Mungkin bagi Pas mereka tidak perlu melayan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas itu tetapi dalam masa yang sama kita ingin bertanya sampai bilakah Pas mahu menjadikan hukum hudud sebagai modal politik. Tahukah Pas tindakan mereka yang bercakap hukum hudud secara bermusim telah menyebabkan hukum Allah itu dipersoal dan perlekehkan?

Tambahan pula Pas sendiri tidak dapat memberi penjelasan terhadap pelbagai kekeliruan dan persoalan yang timbul berhubung enakmen undang-undang syariah yang mereka bentangkan di Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu.

Justeru hentikanlah sandiwara politik berhubung hukum hudud ini. Kalau pun Pas hendak pilihan raya atau kemaruk sangat mahu berkuasa bersama-sama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, janganlah 'mempertaruhkan' hukum hudud di pentas-pentas politik.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan