Isnin, November 05, 2012

Isu Selangor : Kerajaan negeri digesa tunai janji?


Penduduk PJS 1 membuat bantahan kepada kerajaan negeri Selangor apabila perjanjian pembinaan rumah Blok E PJS1 yang dijanjikan cuba dilengah-lengahkan di hadapan rumah panjang PJS1, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kira-kira 50 pembeli rumah Blok E PJS1 dan anggota keluarga mereka berkumpul secara aman di hadapan rumah panjang di sini bagi mendesak kerajaan negeri segera menunaikan janji meneruskan pembinaan kediaman mereka yang terbengkalai sejak sembilan tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Blok E PJS1, M. Sugumaran berkata, kerajaan negeri seolah-olah sengaja bermain tarik tali dengan pembeli walaupun sebelum ini berjanji untuk menyelesaikan masalah itu dengan segera.

"Sekiranya kerajaan negeri masih cuba melengah-lengahkan perkara ini, kami tidak teragak-agak untuk berkhemah di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dalam masa terdekat ini," katanya ketika mengetuai bantahan aman di sini, baru-baru ini.

Menurut M. Sugumaran, pihaknya telah pun menghantar surat kepada Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Ir. Iskandar Abdul Samad pada 7 Ogos lalu dan menyatakan 26 perkara yang perlu dijelaskan oleh pihak kerajaan termasuk isu pembinaan blok, penyelenggaraan rumah panjang, faedah bank dan sebagainya.

Surat itu telah dijawab pada 20 September tetapi sehingga kini masih belum ada hitam putih mengenai semua 26 perkara yang dibangkitkan itu. Menurutnya, pembeli tersebut merupakan bekas peneroka bandar dari kampung berhampiran.

Antaranya, Kampung Muniandy, Kampung Petaling, Kampung Pinang, Kampung Tandang, Kampung Medan Sel, Kampung Semarak, Kampung Seri Manja, Kampung Jaya Murni dan Kampung Benggali di sekitar Jalan Klang Lama.

Kampung itu terlibat dalam pembangunan semula dan seramai 276 keluarga telah menerima tawaran rumah kos rendah Blok E PJS1 pada 2003 dan 262 telah menandatangani perjanjian jual beli dengan pemaju Peter Brickworks.

Namun begitu, kegagalan pemaju menyiapkan rumah yang dijanjikan telah menyebabkan pembeli terpaksa menanggung derita termasuk bebanan hutang dengan pihak bank.

Sementara itu, seorang lagi pembeli, Samsudin Tasrio, 47, yang kini tinggal sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang turut melahirkan rasa kecewa kerana rumah mereka masih gagal disiapkan sehingga ke hari ini.

"Kami bukan sahaja terpaksa membayar sewa rumah yang diduduki sekarang, dalam masa sama perlu membayar ansuran rumah yang terbengkalai setiap bulan," katanya.

Dalam pada itu, A. Pusparani, 47, berkata, dia berasa kesal dengan kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana masih gagal menunaikan apa yang dijanjikan.

Tahun lepas rumah panjang kami telah dirobohkan. Saya sudah pun berjumpa dengan Iskandar dan berjanji tidak akan merobohkan rumah saya.

"Tetapi janji itu tidak ditepati dan rumah saya tetap dirobohkan tanpa sempat menyelamatkan barang-barang dirumah," jelasnya.

Suara Politik
Taminsari


Tiada ulasan:

Catat Ulasan