Khamis, November 15, 2012

Isu banjir Selangor : Kerajaan regim MB Khalid perlu bertindak?


Sekumpulan remaja bergotong-royong membersihkan sampah-sarap yang menyekat aliran air tali air Kampung Bukit Changgang di Dengkil, Selangor.

Aktiviti perlombongan pasir yang tidak terkawal, terusan atau ban yang tidak disenggara dengan baik dan kelemahan pengurusan sampah didakwa antara penyebab utama banjir buruk di kawasan Bukit Changgang, Kuala Langat dan Dengkil, Sepang dekat sini.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, perkara itu dikenal pasti pihaknya berdasarkan maklumat dan tinjauan yang dilakukan di sekitar kawasan yang dilanda banjir sejak sembilan hari lalu.

"Kita tidak nafikan banjir berlaku akibat perubahan cuaca di luar jangkaan dan fenomena air pasang besar yang sedang berlaku. Tetapi ia dapat dikawal sekiranya langkah-langkah sepatutnya diambil oleh pihak yang bertanggungjawab terutamanya pihak berkuasa tempatan.

"Di Dengkil dan Bukit Changgang misalnya, banjir semakin buruk apabila terusan pecah dan ia kemungkinan besar disebabkan penyenggaraan yang tidak baik selain aktiviti perlombongan pasir tidak terkawal yang berlaku di situ," katanya kepada pemberita di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.

Ahli Parlimen Sepang itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian banjir di Dengkil dan Bukit Changgang di sini yang disifatkan sebagai terburuk dengan mencatatkan jumlah mangsa dipindahkan lebih 1,000 orang.

Menurut Mohd. Zin, selain masalah ban pecah dan aktiviti perlombongan pasir, kelemahan pengurusan sampah hingga menyebabkan sistem saliran terganggu ketika banjir memburukkan lagi keadaan.


Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan pantas membaiki terusan yang pecah dan menyenggara infrastruktur di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) agar keadaan yang berlaku dapat dikawal.

"BN Selangor sebenarnya telah beberapa kali membangkitkan perkara itu sebelum ini dan kami berharap masalah tersebut dipandang serius oleh kerajaan negeri memandangkan banjir yang berlaku memberi kesan dan kesengsaraan kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Zin memberitahu, pihaknya juga telah meminta bantuan Jabatan Perparitan dan Saliran Malaysia (JPS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut selain memberikan bantuan khas kepada mangsa banjir di Sepang dan kawasan lain yang terjejas.

"Kami ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui 1Malaysia Development Berhad dan semua pihak serta agensi yang telah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Sepang dan Kuala Langat," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Rakyat (Pakar) BN, beliau memberitahu, antara yang banyak ditimbulkan selain daripada masalah infrastruktur ialah kenaikan harga rumah yang mendadak di Selangor.

Ujar beliau, BN Selangor meneliti masalah itu dengan serius dan menganggapnya berpunca daripada kelemahan kerajaan negeri mengurus dan mengawal isu perumahan dengan baik dan berkesan serta gagal menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat .

"Kami kesal dengan tuduhan kononnya Kerajaan Persekutuan yang sepatutnya bertanggungjawab untuk membina rumah kos rendah sedangkan segala hal berkaitan dengan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Sepatutnya, kerajaan negeri lebih dulu perlu berusaha menyediakan rumah yang mampu dimiliki untuk rakyat," katanya.

Menurut Mohd. Zin, sikap kerajaan negeri yang lebih berminat dalam urusan korporat hingga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diwujudkan untuk membantu rakyat memiliki rumah mampu milik turut dijadikan alat bagi meraih keuntungan tanpa memikirkan kebajikan rakyat, juga amat dikesali.

"Jika corak pemerintahan sebegini berterusan, tidak mustahil akan timbul kembali penempatan setinggan di Selangor pada masa akan datang," ujar beliau.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan