Rabu, November 07, 2012

Hospital Shah Alam 50 peratus siap?


Pelan asal Hospital Shah Alam

Warga bandar raya ini akan menikmati kemudahan rawatan yang lebih baik apabila Hospital Shah Alam (HSA) di Seksyen 7 di sini siap dibina menjelang hujung tahun depan sebagaimana disasarkan kerajaan.

Penyelaras Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Nawawi Md. Zin berkata, setakat ini projek itu berjalan lancar dengan mencatatkan kemajuan kerja 17 hari lebih awal berbanding jangkaan asal pihak kontraktor dengan keseluruhan siap sebanyak 50 peratus.

"Bangunan utama, pentadbiran dan asrama jururawat hampir siap sepenuhnya dan secara kasarnya bangunan tersebut sebenarnya sudah siap, cuma menunggu proses pembinaan bahagian dalaman.

"Tahun depan, kita jangkakan bahagian dalaman dapat disiapkan sepenuhnya dan hanya menunggu peralatan khas sebelum projek tersebut diserahkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sesi taklimat antara pihak kontraktor, Gadang Engineering (M) Sdn. Bhd. (GESB), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Penyelaras Parlimen BN Shah Alam.

Yang turut hadir, Pengarah Projek GESB, Tan Yong How dan pegawai-pegawai daripada ICU.


Projek pembinaan Hospital Shah Alam dengan kos kontrak RM482.6 juta dimulakan pada 15 November 2007 dan sepatutnya siap pada 25 Jun 2011. Bagaimanapun, projek berkenaan termasuk dalam 97 'projek sakit' yang telah diambil tindakan oleh kerajaan Pusat ekoran ketidakupayaan kontraktor asal.

Berikutan itu, projek hospital tersebut ditenderkan semula pada 4 November 2010 dengan kerajaan melantik sebuah kontraktor penyelamat. Apabila siap pada Oktober 2013 kelak, hospital yang didirikan di tapak seluas 12.2 hektar itu bakal menempatkan 300 katil, selain bangunan kediaman termasuk kuarters jururawat.

Ahmad Nawawi berkata, pihaknya berharap HSA akan siap mengikut jadual pada 18 Oktober tahun depan sebagaimana ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"Mengikut penerangan pihak kontraktor, projek tersebut tidak menghadapi sebarang masalah kewangan dan keadaan itu memudahkan pihak kontraktor menjalankan kerja-kerja seterusnya.

"Dengan siapnya 50 peratus projek HSA, diharap tiada lagi pihak terutamanya pembangkang yang mengatakan projek hospital kerajaan pertama di S hah Alam kembali terbengkalai," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan