Rabu, November 21, 2012

Hadi jadi PM: Suara ulama dihina?



PAS berjaya mencegah muktamarnya baru-baru ini daripada membangkitkan isu Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah yang dikata mahukan kebebasan beragama kepada orang Melayu Islam tetapi dilihat gagal pula untuk mencegah Dewan Ulamanya daripada memberikan tamparan moral kepada Anwar Ibrahim dengan menolaknya sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia.

Keputusan Dewan Ulama Pas juga tidak menghiraukan sentimen dalam pakatan pembangkang termasuk pucuk pimpinan Pas sendiri supaya isu-isu sensitif yang boleh memecahbelahkan perpaduan pakatan dalam menghadapi pilihan raya tidak disentuh.

Kata wakil ulama, Hairun Nizam yang berucap membahaskan ucapan dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; "tidak wajar agenda Islam disembunyikan untuk kepentingan politik".

Sebenarnya isu Perdana Menteri Malaysia adalah isu yang lebih sensitif kepada pakatan pembangkang yang telah dibisukan walaupun pemimpin-pemimpin BN meminta pendedahan tetapi nampaknya Dewan Ulama Pas tidak menghiraukan tegahan ini sebaliknya dalam perbincangan mengenai calon Perdana Menteri Malaysia di muktamar itu terdedah perasaan terpendam akar umbi Pas apabila Hairun Nizam yang berucap mewakili ulama diberikan tepuk sorak bergemuruh dan teriakan Allahuakbar bila dia bertanya "Siapakah yang terbaik untuk menjadi Perdana Menteri jika bukan Tok Guru Haji Hadi."

"Presiden kita mempunyai kaliber untuk memimpin negara ke jalan benar dengan restu Allah," katanya.

Seperti diduga hasrat dan desakan ini segera diperkecilkan oleh pemimpin-pemimpin PKR dan DAP.

" Ini hanyalah pandangan individu dalam Pas dan tidak membayangkan keputusan Pakatan" kata Pengerusi DAP, Karpal Singh. Naib Presiden PKR Tian Chua pula berkata: "Itu hanyalah pandangan seorang dua dalam Pas." Apakah benar pandangan Dewan Ulama Pas hanya pandangan seorang dua dan tidak lagi mewakili pandangan Pas pada keseluruhannya?


Betapa rendah pandangan rakan-rakan pakatan terhadap suara ulama Pas tidak lagi dapat disembunyikan walaupun pemimpin-pemimpin tertinggi Pas mendakwa Ulama Pas tetap dihormati.

Lim Kit Siang dan Anwar sudah tentu akan mendiamkan diri tetapi pastinya mereka juga berkongsi dengan pandangan kedua-dua orang ini kerana yang telah dipersetujui ialah Anwar yang dicalonkan jadi Perdana Menteri jika pakatan menang pilihan raya umum depan.

Dengan sikap jelas rakan sepakatan itu, ulama-ulama Pas sudah dapat menduga nasib masa depan mereka apabila pakatan berkuasa kelak. Sesiapa pun yang dapat berfikir dengan rasional dan terbuka sudah dapat memahami itulah pandangan PKR dan DAP terhadap ulama Pas.

Dewan Ulama Pas tidak lagi penting dalam Pas, suara mereka adalah suara tanpa kuasa tanpa bisa, pandangan mereka tidak relevan lagi, tidak terpelajar, ortodok dan jumud dibandingkan dengan Mat Sabu, Husam dan Mahfuz.

Pada keseluruhannya bukan Melayu dan bukan Islam juga mempunyai pandangan yang sama terhadap Pas terutamanya kerana sejak berkongsi dengan rakan pakatan, ulama Pas ternyata tidak lagi dihormati dalam parti, malah dalam soal hudud pun golongan modenis ternyata terpisah daripada mereka.

Suara Hadi hanya sekadar untuk menyembunyikan situasi yang sebenar dalam Pas sekarang.


Pandangan hina dan rendah ini juga dituju kepada Haji Hadi, jika tidak masakan Harakah dan HarakahDaily yang dikuasai oleh 'Order Baru' lebih membesarkan berita Hadi mahu balik jadi nelayan, dan tidak ada langsung suara wakil ulama menuntut Hadi jadi Perdana Menteri yang disuarakan oleh wakil-wakil ulama disiarkan, sebaliknya hanya disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana. Siapakah yang menguasai Harakah sekarang? Ahli-ahli Pas sendiri dapat mencuimnya tetapi semuanya sudah terlambat.

Saya juga faham bahawa bukanlah masanya sekarang untuk ahli-ahli akar umbi dan golongan pro ulama Pas untuk memberontak terhadap keadaan dan tekanan yang mereka hadapi kerana pilihan raya umum ke-13 sudah hampir benar dan yang berlaku adalah sesuatu yang telah mereka sendiri tempah.

Jalan yang sebaik-baiknya hanyalah menyerahkan kepada rakyat menentukan nasib masa depan mereka tetapi rakyat dan ahli-ahli Pas yang cerdik dan berfikiran terbuka sudah dapat membaca nasib ulama dalam Pas dari sekarang.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan