Khamis, November 01, 2012

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Abdul Khalid Ibrahim tidak pernah menjenguk kawasan?



Masalah kebersihan di Perumahan Kos Rendah Taman Desa, Desa Petaling, di sini dijangka dapat diselesaikan selepas Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) hari ini menyumbang sebanyak 50 buah tong sampah kepada penduduk perumahan itu.

Ketua Pemuda UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, sumbangan itu merupakan inisiatif pihaknya selepas mendapat maklumat dan aduan berhubung ketiadaan tong sampah di perumahan itu.

Menurutnya, kawasan yang dikategorikan dalam bandar ini seolah-olah terpinggir dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak pernah menjenguk kawasan ini biarpun sudah empat tahun memegangnya.

"Kawasan ini memiliki 21 blok dengan penghuninya dianggarkan kira-kira 5,000 orang, tetapi tahap kebersihannya kurang memuaskan tambahan pula keadaan bangunan yang sudah usang dan uzur," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan tong sampah bersaiz 1,100 liter yang akan ditempatkan di setiap blok perumahan itu.

Rizalman Mokhtar (tiga kanan) bersalaman dengan Mohd Idris Mohamed Yusof dalam Majlis penyerahan 50 buah tong sampah kepada penduduk di Perumahan Kos Rendah Desa Petaling, Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir, Pengurus Operasi Alam Flora Sdn. Bhd., Mohd. Idris Mohamed Yusof dan Ketua Pasukan Perkhidmatan Parti Gerakan Bandar Tun Razak, Simon Sim.

Tambah Rizalman, penduduk juga diminta bekerjasama dengan pihaknya dan Alam Flora untuk memastikan kebersihan di kawasan itu sentiasa dijaga selepas tong sampah diberikan.

"Bagi memastikan kawasan ini indah dan selesa, penduduk perlu bersama-sama menjaga kebersihan kawasan ini," katanya.

Menyentuh mengenai bangunan usang, Rizalman berkata, pihaknya bercadang untuk membawa perkara itu ke peringkat atasan bagi memohon Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M).

"Bangunan ini sudah berusia 22 tahun, namun ia seakan-akan dibiarkan dan tersisih jadi atas dasar itu kita akan mencari jalan untuk membantu dan meningkatkan kebersihan perumahan ini," katanya.

Sementara itu, Mohd. Idris berkata, pihaknya akan memastikan kerja-kerja mengutip sampah dikawasan itu mengikut jadual yang ditetapkan.

"Kita mengutip sampah di kawasan ini enam kali seminggu dan berharap penduduk dapat memberi kerjasama bagi melancarkan kerja-kerja pengutipan.

"Ini termasuklah tidak membuat halangan dengan kenderaan mereka seperti yang berlaku di kawasan-kawasan perumahan bertingkat lain," katanya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan