Jumaat, Oktober 26, 2012

Nampaknya Pas semakin faham realiti politik?


Abdul Hadi Awang berucap dalam majlis Ceramah Perdana Sempena 22 Tahun Membangun Bersama Islam di Kota Bharu, baru-baru ini.

''Ada orang yang membaca ayat mengharamkan kerjasama dengan orang kafir dan orang bukan Islam pada tahun 60-an, mengapa sekarang boleh pula, ini ucapan orang yang tidak baca al-Quran seluruhnya, tidak baca amalan Nabi SAW."

Itulah hujah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertahankan kerjasama dengan DAP ketika menyampaikan ceramah sempena 22 tahun pemerintahan Pas di Kelantan, pada Ahad lalu.

Kita tidak pasti siapa yang dimaksudkan dengan Abdul Hadi apabila beliau berkata, ''ini ucapan orang yang tidak baca al-Quran seluruhnya, tidak baca amalan Nabi SAW.''

Tetapi apa yang pasti perjalanan politik Pas dalam soal bekerjasama dengan parti bukan Islam sememangnya diketahui oleh umat Islam di negara ini.

Pada Ogos 1963 Dewan Ulama Pas Kelantan mengeluarkan kenyataan bahawa orang Islam yang berkongsi dengan orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram.

Selain itu seperti mana pernah dipaparkan oleh penulis sebelum ini, pemimpin-pemimpin Pas suatu ketika dulu cukup popular membaca surah Ali Imran ayat 28 'separuh-separuh'.

Mereka membaca: "Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apa pun....''

Sambungan ayat itu, ''...kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.''. - tidak dibaca.

Tetapi tidak mengapalah mungkin pemimpin-pemimpin Pas kini semakin memahami betapa pentingnya kerjasama dengan parti bukan Islam. Mereka sudah faham sekarang realiti politik Malaysia.

Oleh itu bagi membolehkan kesepakatan yang dicapai bersama DAP maka Abdul Hadi menganggap mereka tidak faham hubungan yang dipanggil 'tahaluf siasi' itu sebagai ''...ucapan orang yang tidak baca al-Quran seluruhnya, tidak baca amalam Nabi SAW seluruhnya...''

Sikap Pas mempertahankan kerjasama dengan DAP sememangnya mengagumkan kerana pemimpin DAP secara terbuka menentang pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan oleh Pas.

Sebab itulah pada majlis ceramah yang sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui wujud perbezaan antara parti itu dengan Pas dalam pakatan pembangkang antara lain membabitkan hukum hudud dan negara Islam.

Apa pun dalam soal kerjasama politik dengan bukan Islam ini, UMNO jauh lebih telus berpegang kepada seruan Islam berbanding Pas.

UMNO sejak dulu memahami bahawa kerjasama itu penting dalam membangunkan Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum.

Ini selaras dengan seruan Islam yang menegaskan, berkerjasama dengan orang bukan Islam untuk mencapai perkara yang menjadi maslahah bersama sesama manusia seperti kesejahteraan hidup, keadilan, membanteras kezaliman, penyelewengan, rasuah, menjamin kehidupan rakyat yang lebih baik dan sebagainya tanpa melanggar mana-mana hukum syariat, adalah harus.

Di dalam al-Quran, Allah menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai rahmat untuk sekelian alam seperti mana firman-Nya dalam surah Al-Anbiya ayat 107 yang bermaksud:

"Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam".

Malahan dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 Allah SWT telah berfirman yang bermaksud; "Allah tidak menegah kamu dari berbuat baik dan berlaku adil (kepada orang-orang bukan Islam) yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengusir kamu dari tanah air kamu. Allah mengasihi orang-orang yang berlalu adil."

Selain itu, sejarah Rasulullah SAW menunjukkan baginda mengadakan perjanjian Madinah yang membabitkan bukan sahaja golongan-golongan Islam tetapi juga kabilah-kabilah Yahudi di Madinah.


Jika berpakat dengan orang bukan Islam haram secara mutlaknya, nescaya baginda tidak akan mengadakan perjanjian dengan mereka. Adapun ada kabilah Yahudi yang diusir dari Madinah oleh baginda disebabkan mereka melanggar perjanjian dengan Nabi dan mengkhianati baginda.

Apa pun dalam menjalinkan kerjasama dengan parti bukan Islam seperti MCA dan MIC, UMNO tidak pernah menggadaikan prinsipnya apatah lagi bersikap tidak konsisten dalam memaju dan memperkembangkan Islam.

Sebab itulah, sejak merdeka lagi walaupun pernah dikecam oleh Pas kerana bekerjasama berkenaan, namun UMNO tetap mempertahankan kesepakatan itu.

Ini memandangkan UMNO yakin apa yang mereka lakukan bersesuaian dengan Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 9 yang bermaksud; "Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".

Apa pun, pemimpin-pemimpin Pas tidak boleh marah jika ada pihak menyatakan, kerjasama mereka dengan DAP semata-mata untuk memperoleh kuasa.

Ia memandangkan, Pas sendiri sudah memahami bagaimana penentangan DAP terhadap perjuangan Islam parti itu, biar pun DAP memberi alasan kerjasama tersebut dilakukan demi menegakkan keadilan, mengembalikan demokrasi, memulihkan keutuhan, kebebasan institusi-institusi penting negara.

Dari satu segi, sememangnya menjadi hak Pas untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja tetapi janganlah sampai menggadaikan prinsip dan dasar perjuangannya.

Sepatutnya apa pun berlaku, Pas perlu tegas dengan perjuangan tetapi malangnya apa yang kita lihat kerjasama antara kedua-dua parti itu lebih banyak merugikan Pas.

Malahan ketika DAP konsisten menolak hukum hudud dan perjuangan negara Islam yang diperjuangkan Pas, Pas pula terus terhegeh-hegeh untuk meneruskan kerjasama berkenaan.

Apabila Pas melihat sikap mereka mula menimbulkan perasaan tidak senang orang Melayu dan umat Islam, mereka mula berhujah kononnya perjuangan Islam akan diteruskan.

Oleh itu berikutan kenyataan Abdul Hadi mempertahankan kerjasama dengan DAP, diharapkan mereka juga tidak lagi memandang serong kerjasama UMNO dengan parti bukan Islam dalam Barisan Nasional (BN).

Terimalah hakikat, biar pun bukan sebuah parti Islam, namun dalam pelaksanaan perkara berkaitan Islam, UMNO jauh lebih ke depan berbanding dengan Pas.

Ulama-ulama Pas jangan lagi bercakap soal Islam apatah lagi melaksanakan hukum hudud kerana semua itu hanyalah khayalan selagi Pas bekerjasama dengan DAP.

Mereka perlu membuat kenyataan selari dengan apa yang diputuskan oleh kepimpinan parti supaya mereka tidak dikategorikan '...tok-tok guru yang mengaji bab sembahyang sahaja, tidak mengaji bab politik...''

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan