Selasa, Oktober 16, 2012

MB Khalid Ibrahim bongkak, hina rakyat miskin?



Dalam satu laporan akhbar 2 Oktober lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan kerajaan negeri tidak akan melayan desakan daripada 350 pembeli rumah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menuntut anak syarikat kerajaan negeri itu mengambil alih hutang perumahan mereka.

Sebaliknya, Abdul Khalid menjelaskan, golongan miskin tidak berkemampuan sepatutnya memohon bantuan zakat dan bukannya mendesak supaya hutang mereka diambil alih oleh PKNS.

Kenyataan itu menarik perhatian pelbagai pihak kerana Abdul Khalid seolah-olah cuba lepas tangan daripada isu sebenar yang dihadapi golongan pembeli rumah PKNS - yang majoritinya daripada golongan berpendapatan rendah dan miskin.

Sebagai sebuah kerajaan negeri, kenyataan Abdul Khalid itu tidak menepati slogan pentadbirannya yang selama ini dicanangkan kepada rakyat Selangor bahawa kerajaan negeri yang dipimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas merupakan sebuah 'kerajaan berkebajikan'.

Di manakah istilah 'kebajikan' yang disebut-sebut oleh kerajaan negeri itu? Isu tuntutan pembeli rumah PKNS tidak boleh dianggap remeh oleh kerajaan negeri memandangkan perkara itu diluahkan sendiri oleh mereka yang berpendapatan rendah dan miskin.

Kamarudin Ahmad (kanan) dan Rushdan Mohamed (tengah) menunjukkan writ saman dan manifesto pilihan raya kerajaan Selangor di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam

Bermula daripada 350 orang pembeli, bilangan mereka yang membuat tuntutan sedemikian saban hari semakin bertambah. Setakat 12 Oktober lalu, bilangan terkumpul yang membuat tuntutan sedemikian meningkat menjadi 1,150 orang melibatkan nilai hutang jutaan ringgit.

Jika Abdul Khalid menyuruh para pembeli rumah PKNS itu memohon zakat, bagaimana pula dengan pembeli yang bukan beragama Islam? Apakah kerajaan negeri merasakan mereka tidak berhak untuk mendapat pembelaan ekoran terhimpit dengan masalah kewangan dan kemiskinan?

Bagaimana pula dengan tindakan kerajaan negeri sebelum ini yang mengambil hutang Talam Corporation Berhad (Talam) berjumlah RM392 juta yang disifatkan para pembeli rumah PKNS tersebut tidak memberi manfaat secara langsung kepada rakyat miskin di negeri ini?

Atas alasan itu penduduk turut menuntut kerajaan negeri mengambil tindakan sama kepada hutang mereka seperti mana mengambil alih hutang Talam termasuk mencari mekanisme sesuai bagi meringankan beban mereka.

Hakikatnya, sehingga ke hari ini kerajaan negeri tidak mengemukakan perancangan khusus untuk membantu golongan pembeli rumah berkenaan melainkan hanya meminta PKNS menyenaraikan nama para pembeli rumah yang miskin.

Apa sudah jadi dengan janji kerajaan negeri melalui manifesto pada pilihan raya umum 2008 yang mahu membantu rakyat Selangor memiliki kediaman sendiri? Janji itu sendiri terkandung di bawah perkara sosial dan kebajikan rakyat dalam manifesto berkenaan.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan