Isnin, Oktober 22, 2012

Antara amanat Hadi dan kerjasama DAP


Mampukah Abdul Hadi Awang menyakinkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menerima undang-undang Islam yang diperjuangkan Pas?

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila DAP Kedah sekali lagi menegaskan akan menentang undang-undang berunsurkan Islam jika mahu dilaksanakan di negeri itu. Sebenarnya, penentangan DAP terhadap sebarang usaha sedemikian bukanlah perkara baru sejak mereka menjalani kesepakatan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Di Selangor, sebelum ini kita juga menyaksikan bagaimana DAP menentang langkah Pas melalui Datuk Dr. Hasan Ali yang ketika itu Exco Kerajaan Negeri untuk melarang jualan arak di kedai-kedai serbaneka.

Malahan kita juga sudah mengetahui bagaimana kerasnya penentangan DAP melalui pemimpin-pemimpin kanannya terhadap perjuangan Pas untuk menegakkan negara Islam dan hukum hudud.

Tetapi malangnya Pas masih lagi mahu bekerjasama dengan DAP sehinggakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan bahawa parti itu akan meneruskan kerjasama dengan DAP bagi mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Alasan Nik Abdul Aziz mudah iaitu Pas memerlukan sokongan undi bukan Islam dan kenyataan beliau disambut oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang yakin kerjasama dengan DAP tidak akan merugikan parti itu pada masa depan malah strategi itu memberikan harapan ke arah kemenangan lebih besar.

Kedua-dua pemimpin itu sepakat bahawa Pas mahukan sokongan dan undi kaum Cina, justeru kerjasama dengan DAP perlu dipertahankan. Tambahan pula seperti mana kata Abdul Hadi, Pas akan terus bekerjasama dengan DAP kerana beliau percaya kebangkitan Pas secara beransur-ansur adalah hasil usaha seumpama itu.

Berdasarkan kepada hujah Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz jelaslah, Pas kini berada dalam kedudukan yang terdesak untuk mendapat sokongan bukan Melayu.

Oleh itu mahu tidak mahu mereka terpaksa menjalin kerjasama dengan DAP dan berpakat dengan PKR biarpun perjuangan Islam Pas menjadi taruhan. Jika benar Pas masih mahu memperjuangkan Islam dan menegakkan hukum hudud, sudah pasti mereka akan meninggalkan DAP yang sejak dulu, kini dan mungkin selamanya akan menghalang cita-cita Pas itu.

Bayangkanlah, kalau hendak memasang papan iklan yang menggunakan model berpakaian sopan dan perlu bertudung pun ditentang oleh DAP seperti mana berlaku di Kedah, bagaimana dengan soal-soal pelaksanaan hukum Islam yang lebih besar? Apakah Pas akan berupaya untuk berhadapan dengan penentangan DAP itu, jika pakatan pembangkang menenangi pilihan raya umum akan datang?

Sebab itu kita ingin bertanya, apakah Pas boleh memberi jaminan bahawa Pas itu tidak akan berada kategori dalam apa yang pernah dilafazkan oleh Abdul Hadi pada 7 April 1981 di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu.


Masih ingatkah amanat ini, ''Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.''

Persoalannya, apakah Pas begitu yakin bahawa DAP akan menyokong mereka untuk menghapuskan apa yang dianggap oleh Abdul Hadi Perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah itu?

Selain itu bagaimana pula dengan surah Ali Imran ayat 28 yang suatu ketika dulu 'diambil separuh-separuh' oleh pemimpin-pemimpin Pas untuk memburuk-burukkan kerjasama UMNO dengan parti-parti bukan Islam seperti MCA dan MIC.

Ketika itu, pemimpin Pas hanya mengambil ayat berkenaan separuh sahaja iaitu, ''Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun....,.

Sedangkan sambungan ayat itu seterusnya bermaksud, ''.... kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali".

Tetapi kini mungkin pemimpin-pemimpin Pas tidak akan mengulangi gelagat membaca surah berkenaan 'separuh-separuh' kerana mereka sudah 'berpeluk rapat ' dengan DAP dalam satu selimut, satu tilam dan berkongsi bantal biar pun mimpi-mimpi lain.

Pada masa ini, penulis percaya biar pun apa juga yang dilakukan oleh DAP terhadap Pas termasuk menentang keras perjuangan Islam, Pas tetap akan bertolak-ansur dan menerima dengan rela.

Pemimpin-pemimpin Pas yang membuat kenyataan kononnya mereka akan tetap melaksanakan hukum hudud dan meneruskan perjuangan Islam hanyalah retorik.

Sebenarnya, kenyataan bahawa Pas masih lagi dengan dasar dan perjuangan Islamnya adalah strategi politik parti itu untuk mengaut sokongan daripada umat Islam serta memastikan Pas tidak dilihat sudah tergelincir daripada hala tuju perjuangan asalnya.

Tetapi dalam masa yang sama, perjalanan politik Pas sejak bersahabat dengan DAP menunjukkan sejauh mana keberanian Pas untuk terus mempertahankan perjuangan Islamnya. Dan apa yang berlaku di Kedah sudah menjadi bukti bahawa DAP tidak akan berkompromi dalam soal Islam yang ingin diperjuangkan oleh Pas.

Walaupun dari satu segi, Pas jauh lebih berwibawa dan berkemampuan daripada DAP, tetapi Pas bersedia menjadi bak kata pepatah 'melukut di tepi gantang' dalam pakatan semata-mata untuk memburu kuasa.

Sebab itulah Ahli Pas seumur hidup, Datuk Shahnon Ahmad menegaskan, sepatutnya, DAP perlukan Pas dan bukan sebaliknya. Bagaimanapun pemimpin-pemimpin utama Pas sendiri tidak mahu menyebut perkara itu, sebaliknya lebih rela mempertegaskan bahawa Pas perlu DAP untuk meraih undi bukan Melayu khususnya orang Cina.

Pas ternyata sudah menunjukkan betapa mereka begitu kemaruk untuk berkuasa sehinggakan apa pun yang akan dilakukan oleh DAP, mereka akan terima dengan hati terbuka.

Dalam soal ini, penulis ingin menasihatkan kepada penyokong-penyokong Pas tidak usahlah mereka bermuram durja apatah lagi mahu memperotes terhadap kerjasama parti itu dengan DAP.

Semua itu hanya sia-sia, sebaliknya berikutan ketegasan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin mereka dalam mempertahankan kerjasama dengan DAP, maka mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk berkempen habis-habisan untuk DAP meraih sokongan orang Melayu.

Maklumlah itu sebagai 'timbal balik' kepada harapan pemimpin Pas untuk melihat DAP berkempen bagi parti itu dalam meraih sokongan masyarakat Cina.

Justeru mereka perlu menjadi ahli atau penyokong setia yang berpegang kepada prinsip 'kami dengar kami patuh' bagi memastikan kemenangan DAP, biar pun perjuangan Islam Pas - satu perjuangan yang menjadi tarikan utama mereka menyokong parti itu - selepas ini entah ke mana.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

  1. Tuan,

    inilah AMANAT HJ HADI YG PAS & PEMIMPIN2 SERTA AHLI2NYA SENDIRI LANGGAR!! maka, natijahnya rosaklah AKIDAH & DIRI MRK SENDIRI... NA'UZUBILLAHIMINZAALIK!!!!

    BalasPadam