Khamis, September 20, 2012

Kenapa BN perlu dipertahankan?



''Negara baru Malaysia sama seperti anak yang baru dilahirkan, kita tidak boleh membiarkan anak kita yang baru dilahirkan ini lemah dan dihinggapi penyakit. Ia mesti dipelihara dan dididik sama seperti tiap-tiap seorang daripada kita mendidik dan memelihara keluarga kita sendiri.

''Anak kecil ini tidak ternilai harganya. Ia muncul sebagai satu benda yang kita sama-sama pusakai dan sama-sama kita bergantung harapan. ''Kesejahteraannya bergantung kepada cara bagaimana ia dididik dan dipelihara supaya sentiasa sihat dan bertambah kuat dari masa ia masih kecil sehingga kepada masa meningkat umur dewasa. Oleh itu masa hadapannya bergantung kepada panduan daripada jagaan yang diberi oleh rakyat negeri ini sendiri.''

Ucapan ini disampaikan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Perhimpunan Agung UMNO pada 6 september 1964, iaitu kira-kira setahun selepas Malaysia ditubuhkan.

Kini tanah air bersama Malaysia yang suatu ketika wujud di bumi Allah ini bernama Tanah Melayu, semakin berkembang maju dan pada Ahad lalu (16 September) kita menyambut ulang tahun ke-49 penubuhannya.

Dalam usia sedemikian Malaysia yang dipimpin oleh Perikatan dan kemudiannya ditukar nama kepada Barisan Nasional (BN) mencapai pelbagai kemajuan.

Sememangnya kejayaan yang dicapai oleh Malaysia bukan diperolehi dalam satu malam, kita menempuh pelbagai kesukaran, dugaan dan cubaan. Ia memandangkan bukan mudah untuk menguruskan sebuah negara yang mempunyai latar belakang kaum dan agama berbeza.

Tetapi BN yang bermula dengan kepimpinan Tunku Abdul Rahman hinggalah sekarang di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berjaya memimpin Malaysia mencapai cita-citanya untuk menjadi sebuah negara contoh kepada negara-negara lain.

Kejayaan Malaysia itu sekali gus memenuhi impian Tunku Abdul Rahman yang pada 25 Ogos 1963 menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama berazam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang boleh dibuat contoh teladan kepada seluruh dunia.

Namun begitu apa yang menjadi persoalan kepada kita, ialah apakah yang kita kecapi sekarang akan dapat dipertahankan? Apakah sanjungan dunia kepada kestabilan perpaduan rakyat negara ini akan berkekalan?.


Kita tidak harus lupakan bagaimana kelompok yang rakus mahukan kuasa politik melaungkan reformasi pada sekitar tahun 1999, mereka merasakan sudah tiba masanya BN digantikan.

Malahan sekarang, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), laungan perubahan pula dijeritkan.

Persoalannya, apakah Malaysia sudah berada keadaan begitu buruk sehingga pemerintahan kerajaan di bawah BN mahu ditukarkan sewenang-wenangnya.

''BN baru memerintah 55 tahun, kalau kita lihat kepada sejarah dunia, terdapat negara-negara yang beratus-ratus tahun hendak mencapai negara maju dan berjaya. Oleh itu kita tidak harus mudah terpengaruh dengan laungan pembangkang yang mahukan perubahan demi kepentingan politik mereka,'' kata Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Star, Datuk Yusof Ismail.

Sebagai seorang yang menjadi ahli perniagaan berjaya melalui USIMA Sdn. Bhd., Mohd. Yusof tidak mahu apa yang dikecapi oleh rakyat Malaysia sekarang tergugat hanya semata-mata termakan dengan janji dan hasutan pembangkang.

''Cuba fikirkan sejak merdeka dahulu, BN melalui gabungan tiga parti iaitu UMNO, MCA dan MIC telah berjaya membangunkan negara ini, ia semakin rancak apabila parti-parti di Sabah dan Sarawak bergabung dalam BN.

''Pelbagai dasar kita rancang dan laksanakan sehingga semua kaum mendapat manfaat, tiada siapa dipinggirkan, sebab itu kita harus pertahan BN bukannya 100 tahun lagi tetapi 500 tahun lagi kerana parti itu sahaja mampu membela nasib rakyat negara ini,'' katanya dalam pertemuan dengan penulis di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Atas sebab itulah dalam berhadapan pilihan raya umum akan datang, rakyat harus bersama-sama bertanggungjawab bagi mempertahankan apa yang kita kecapi sekarang.


Pakatan pembangkang memang mahukan kuasa politik sebab itulah biar pun berbeza ideologi politik mereka sedia bergabung dalam satu kerjasama. Namun kerjasama mereka hanya berteras hasrat untuk menumbangkan BN dan menguasai Putrajaya tetapi soalnya mampukah mereka mentadbir seperti mana dilakukan oleh BN selama ini?

Mereka tidak ada perancangan, apa yang mereka lakukan sekadar menjadi 'saudagar mimpi dan pemborong janji'. Mereka hanya tahu menyalahkan BN seolah-olah mereka pilihan terbaik untuk memimpin negara.

Kita tidak menafikan dalam pentadbirannya, BN juga ada kelemahan tetapi ia tidak sampai kepada menghumban rakyat dan negara ini dalam lembah kesengsaraan dan kekacauan.

Segala permasalahan rakyat sentiasa menjadi keutamaan BN sebab itulah dari semasa ke semasa biar pun bertukar kepimpinan tradisi membela rakyat yang dipelopori oleh parti itu tidak pernah ditinggalkan.

BN sentiasa prihatin dengan nasib rakyat sebab itulah jika ada sebarang kekurangan atau kelemahan, kepimpinan parti itu akan memerah otak untuk mengatasinya.

Justeru, janganlah kita mudah menggadaikan masa depan negara hanya kerana taksub dan ghairah kepada slogan perubahan dan reformasi serta janji kononnya pembangkang boleh memerintah lebih baik daripada BN.

Percayalah, untuk membentuk, membangun dan menstabilkan sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia bukan mudah.

''Kita sekarang menjadi contoh kerana tidak ada satu pun negara di dunia seperti Malaysia yang mana pemimpin utamanya orang Islam dan dibantu oleh bukan Islam membangunkan negara ini sampai ke tahap sekarang.

''Tetapi pembangkang mahu merosakkan semua ini semata-mata kerana kemaruk kuasa,'' kata Ahli Dewan Negara Senator Ezam Mohd. Noor dalam ceramahnya di Gombak, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Sebab itulah dalam keadaan negara berhadapan dengan mainan politik pembangkang sehingga mereka hampir berjaya menumbangkan BN dalam pilihan raya umum lalu, rakyat perlu menarik nafas lega apabila, Perdana Menteri muncul dengan gagasan 1Malaysia dengan slogan 'Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.'

Gagasan ini bukan slogan politik tetapi bagi meniupkan semangat kepada rakyat untuk bertaut di bawah satu payung dengan mengutamakan kesejahteraan masa depan negara.

Rakyat perlu diperingatkan selama 55 tahun merdeka, mereka hidup dalam aman damai kerana berpegang teguh kepada semangat toleransi dan muhibah serta kebijaksanaan BN memerintah.

Justeru kenapa perlu semua itu mahu dikorbankan hanya kerana ingin memenuhi tuntutan politik sesetengah puak yang kemaruk kuasa? Fikirkanlah!

Oleh : ZULKIFLEE BAKAR

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan