Isnin, September 17, 2012

Jalan RM37 juta terbengkalai?


Liew Yuen Keong (tengah) menunjukkan kepada wakil media projek pembinaan jalan sehala di Seri Kembangan, Serdang, Selangor yang sepatutnya siap pada bulan ini tetapi kini tiada kerja-kerja dilaksanakan.

Pembinaan jalan sehala yang baru di Seri Kembangan yang kononnya dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan itu didapati terbengkalai memandangkan tiada kerja-kerja pembinaan dilakukan ketika ini.

Sepatutnya, pembinaan jalan yang meliputi Jalan Serdang Jaya, Jalan Besar Seri Kembangan dan Jalan SK 1/10 yang sebelum ini mendapat tentangan penduduk dijangka siap pada September.

Penyelaras MCA Parlimen Serdang, Datuk Liew Yuen Keong berkata, pihaknya mendapati perkembangan projek tersebut tidak sampai 50 peratus ketika ini.

Dakwa Yuen Keong, projek itu terbengkalai disebabkan ia dilaksanakan secara tergesa-gesa dan tiada perancangan terperinci termasuk tiada perbincangan dengan penduduk setempat.

"Kita mempersoalkan mengapa projek ini tidak berkesan dan apa yang dijanjikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada majlis pecah tanah Januari lalu tidak dikotakan.

"Projek bernilai RM37 juta ini hanya membazir wang rakyat kerana ia bukan langkah penyelesaian jangka panjang dan hari ini ia terbengkalai pula," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selain membimbangkan jemaah Surau Al-Firdaus di Jalan SK 1/10 sebelum ini, pembinaan projek itu juga merisaukan penduduk di Kampung Kembang Sari Fasa 2 yang gusar ia akan mengganggu ketenteraman mereka.

Tambah Yuen Keong, pihaknya difahamkan projek tersebut dibahagikan kepada empat fasa dan fasa pertamanya menelan belanja sehingga RM8.9 juta.

"Fasa pertama sepatutnya siap pada September, tetapi kini sudah di pertengahan bulan dan perkembangannya tidak menampakkan hasil yang positif," katanya.

Tegas beliau, kerajaan negeri dan wakil rakyat kawasan itu sepatutnya memberi peluang kepada masyarakat dan peniaga melontarkan pandangan sebelum projek itu dilaksanakan.

"Sebagai orang tempatan, saya sendiri tidak bersetuju dengan projek tersebut kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah kesesakan di pekan Seri Kembangan," katanya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan