Rabu, September 05, 2012

Adakah prinsip Rukun Negara sudah tidak relevan bagi segelintir rakyat Malaysia?



Dilihat kegagalan menghayati semangat Rukun Negara menjadi antara punca segelintir anak muda bertindak biadab menghina pemimpin dan Jalur Gemilang semasa menyambut ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Amatlah malang ketika majoriti rakyat Malaysia, tua dan muda, menghayati kemerdekaan negara ke-55, terdapat segelintir bertindak sebaliknya. Mereka seakan tidak merasai nikmat kemerdekaan, seolah-olah tiada apa kelebihan yang mereka peroleh daripada pencapaian Malaysia sekarang, selepas negara mencapai kemerdekaan.


Perbuatan terbabit tiada langsung menggambarkan elemen Kesopanan dan Kesusilaan, prinsip kelima Rukun Negara. Sebenarnya kerajaan tidak gagal dalam membentuk penghayatan di kalangan rakyat terbanyak terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara. Kita yakin segelintir rakyat yang bertindak biadap itu terpengaruh dengan agenda buruk pihak tertentu. Apapun alasan mereka, ia bukan budaya sebenar rakyat negara ini!

Dalam sejarah bernegara, perbezaan fahaman politik bukan tiket untuk menghina pemimpin; apatah lagi untuk mengibarkan 'bendera baru' semasa menyambut Hari Merdeka. Justeru perbuatan menghina pemimpin dan Jalur Gemilang yang menjadi lambang negara tidak boleh dibenarkan atas apa juga alasan sekalipun.

Apa perasaan anda apabila gambar anda dipijak hingga lumat dan bendera negara kesayangan anda ditukar warna dan reka bentuknya?

Sudah tentu orang yang waras akan marah. Tambahan yang memijak gambar berkenaan terdiri dalam kalangan anak-anak remaja dan orang berumur yang sudah tentu mempunyai akal dan fikiran yang rasional.


Apakah dosa pemimpin negara pada sambutan malam menjelang kemerdekaan bila ada sekelompok manusia yang entah apa usul fikirannya tergamak memijak gambar pemimpin negara dan mengibar bendera entah mewakili negara apa. Ada juga yang menayangkan punggung terhadap gambar pemimpin nombor satu negara itu.

Kebiadapan yang berlaku pada malam tersebut bukannya kali pertama, jika dibuka rekod pijak-memijak gambar ia merupakan budaya dalam parti pembangkang.

Maka, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera dan tegas terhadap segelintir rakyat yang terbabit dengan gelagat buruk tersebut memandangkan tindakan itu amat melampau sehingga boleh menjejaskan perpaduan rakyat pelbagai kaum.

Semakin hari, semakin banyak laporan polis mengenai perkara itu dibuat oleh pelbagai pihak. Bertindaklah demi negara dan rakyat terbanyak.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan