Ahad, Ogos 12, 2012

Unisel salahkan pula SUK dan Jana Niaga?



Masalah kira-kira 3,500 pelajar Universiti Selangor (Unisel) yang gagal memasuki asrama di kampus induk Bestari Jaya semakin rumit apabila pentadbiran universiti milik Kerajaan Negeri Selangor itu menuding jari kepada pihak lain sebagai pencetus kemelut tersebut awal bulan ini.

Krisis tersebut terbongkar semasa sidang akhbar oleh Naib Canselor Unisel, Prof. Dr. Anuar Ahmad kelmarin yang menyatakan punca masalah berkenaan adalah disebabkan syarikat konsesi pengurusan asrama iaitu Jana Niaga Sdn. Bhd. (Jana Niaga) bertindak memfailkan saman terhadap universiti tahun lalu.

Jana Niaga yang mula menandatangani perjanjian dengan Unisel bagi menguruskan asrama kediaman dan penyelenggaraan kampus induk termasuk membabitkan pakej `Bina, Operasi dan Pindah' (BOT) pada Januari 2003 mengambil tindakan saman setelah Unisel gagal membayar kos pengurusan tersebut hingga akhirnya kini dilaporkan mencecah RM15 juta.

Menurut Anuar, pihaknya tidak faham mengapa Jana Niaga boleh memperlakukan Unisel sedemikian rupa. Namun, sebagai sebuah syarikat yang telah menandatangani perjanjian, Jana Naga berhak memfailkan saman kerana Unisel gagal membayar hutang.

Anuar juga bagaikan menuding jari apabila beberapa kali menyebut nama Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang dikatakan lambat mengadakan proses timbang tara sebagaimana dikehendaki Unisel bagi menyelesaikan masalahnya dengan Jana Niaga.

Kata beliau, pihaknya sudah menghantar surat memohon SUK menjadi orang tengah dalam proses timbang tara tiga bulan lalu bertujuan mahu kadar caj pengurusan dan penyelenggaraan dapat dikurangkan berbanding sekarang.

Dalam hal ini, ternyata apabila kemelut sebegini berlaku akhirnya Unisel terpaksa mencari SUK. Alasannya, perkara itu termaktub dalam perjanjian.

Sedangkan sejak pembangkang memerintah Selangor, SUK tidak tersenarai dalam Ahli Lembaga Pengarah Unisel seperti ketika kerajaan BN mentadbir negeri ini. Sebaliknya, jawatan penting dalam lembaga pengarah universiti itu dipenuhi orang politik.

Anuar menyatakan sememangnya Unisel tidak membuat pembayaran sejak Jana Niaga memfailkan saman tetapi dalam masa sama memberitahu tindakan itu bukan kerana faktor tiada wang atau terdapat arahan mana-mana pihak.

Malah beliau menyatakan, kedudukan kewangan Unisel adalah lebih baik kerana hutang universiti tersebut sebelum ini telah diambil alih kerajaan negeri.

Sejak 2010, Unisel tidak membayar kos pengurusan tersebut dan kini telah tertunggak sebanyak 17 bulan bagi penyelenggaraan kampus induk dan lapan bulan pengurusan asrama.

Inilah puncanya kenapa para pekerja Jana Niaga akhirnya ‘mogok’ dan asrama tidak dibuka ketika para pelajar telah diberikan notis pekeliling untuk mendaftar masuk pada awal bulan ini dan kemudian ditunda pula kelmarin.

Bagaimanapun kelmarin, Unisel mengeluarkan pula notis baru memaklumkan pendaftaran pelajar bagi semester ini bermula pada 27 Ogos ini iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri.

Suasana menjadi celaru apabila para pelajar terpaksa membeli tiket pulang pada saat-saat akhir. Jika gagal dapat tiket, maka mereka terpaksa berhari raya di Bestari Jaya! Pelajar Sabah dan Sarawak pula lebih malang kerana terpaksa mengeluarkan belanja membeli tiket kapal terbang yang harganya lebih mahal.

Anuar juga menyatakan dengan makluman tarikh pendaftaran itu bermakna tidak timbul soal pelajar tidak dibenarkan tinggal di asrama atau dihalau keluar.

Sebenarnya, tiada siapa menyatakan pelajar dihalau keluar sebaliknya pelajar yang mendapat notis mendaftar sebelum ini tidak dapat memasuki asrama yang tidak dibuka ekoran Unisel gagal membayar tunggakan hutang!

Sedangkan para pelajar telah membayar yuran asrama melalui potongan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sebagai mana Anuar gagal memberikan kepastian pada hari ini pelajar boleh mendaftar masuk asrama, begitu juga tarikh baru 27 Ogos ini, beliau hanya boleh berkata: “Mudah-mudahan, insya-Allah, sebagai manusia itu saja yang boleh saya kata."

Namun katanya, Unisel sudah mengarahkan peguam memfailkan injunksi di mahkamah agar Jana Niaga membenarkan pelajar mendaftar masuk asrama selepas hari raya ini.-UMO

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan