Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Isnin, Ogos 20, 2012
Menilai 'hadiah' Ramadan pakatan di Selangor?
Bulan Ramadan yang telah berakhir turut sama mengingatkan kita terhadap penerimaan 'hadiah' dari pentadbiran Kerajaan Pakatan DAP-PKR-Pas yang dilabelkan telus dan bertanggungjawab. Mandat yang mereka perolehi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, rupa-rupanya disusuli dengan tindakan-tindakan yang mengguris dan menghiris perasaan orang Melayu beragama Islam khususnya di Selangor.
Pada September 2008 kita dikejutkan dengan petisyen bantahan, 189 penduduk bukan Islam kepada ahli kariah Masjid Al Ehsan, Bandar Kinrara, Puchong supaya tidak lagi menggunakan pembesar suara pada kuliah subuh dengan alasan kuliah subuh pada setiap Sabtu dan Ahad mengganggu tidur mereka.
Di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN), pembesar suara bukanlah isu yang besar. Ia tentunya memudahkan jemaah yang tidak hadir terutama golongan wanita untuk sama-sama dapat mendengar kuliah yang disampaikan.
Adakah mendengar ceramah agama suatu perkara baru yang boleh merosakkan masyarakat? Tentunya kuliah agama di masjid yang bersifat mendidik adalah lebih baik berbanding retorik ceramah politik pembangkang yang penuh dengan cacian dan maki hamun.
Hadiah dari pakatan pembangkang paling bermakna diterima oleh umat Islam di Selangor pada Ramadan tahun lalu, apabila tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan pemeriksaan pada satu majlis di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya atas dakwaan cuba menyebarkan agama lain ke atas penganut Islam, dianggap oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai mengganggu privasi. Lebih menyedihkan beliau meminta maaf seolah-olah perbuatan memurtadkan umat Islam suatu perkara yang tidak salah dalam masyarakat Islam.
Malahan Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasan Ali sendiri menyatakan pihak berkuasa agama itu mempunyai bukti wujudnya penyebaran agama bukan Islam ke atas penganut Islam. Ketika pemeriksaan itu, seramai 12 penganut agama Islam yang hadir pada majlis itu turut diperiksa dan kesemua mereka diarahkan menerusi satu notis supaya menghadirkan diri di Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk siasatan lanjut.
Namun kesan daripada kelantangan Hasan Ali dalam isu tersebut dan isu yang menyentuh pemimpin tertinggi pakatan, akhirnya Exco yang menjaga agama Islam turut dikorbankan. Lebih menyedihkan ahli-ahli Pas membisu seribu bahasa apabila Pesuruhjaya mereka dibuang secara penuh penghinaan seolah-olah Exco adalah jawatan yang bersifat kosmetik.
Apa yang lebih melucukan jawatan tersebut dipegang pula oleh Menteri Besar sendiri yang kini dibelenggu dengan isu Talam dan air. Mengapakah Exco agama tidak diserah kepada Pas yang semenjak dahulu mereka bercita-cita menubuhkan undang-undang Islam. Peluang mentadbir negeri sudah mereka perolehi namun kepercayaan tidak pula diperolehi daripada PKR dan DAP. Pas kehilangan kerusi Exco agama, kerana untuk menjaga hati, mereka tetap membisu.
Pesuruhjaya Pas, Dr. Rani Osman hanya diberi tanggungjawab menjaga pinjaman mikro kredit (Skimsel) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr. Yunus Hairi, menjaga belia dan sukan. Inilah hadiah paling bermakna untuk umat Islam di Selangor. Sepatutnya kedua-dua doktor merawat penyakit sosial umat Islam di negeri yang paling banyak membiakkan anak luar nikah dan bayi terbuang.
Paling terbaru umat Islam di Selangor mendapat hadiah istimewa yang diberi pembangkang setiap kali mereka bersolat sunat tarawih dan kuliah Subuh. Hadiah yang bernama tazkirah politik ala Pas tersebut semakin rancak dihasilkan selaras dengan kempen pilihan raya umum yang bakal menjelma.
Lebih mengecewakan, tazkirah politik disampaikan setelah empat rakaat solat tarawih untuk memastikan makmum mendengar tanpa meninggalkan surau dan masjid untuk menyambung solat berkenaan.
Adakah dengan menjadikan ruang masjid sebagai kempen politik dituntut dalam Islam? Adakah umat Islam yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak perlu mendengar dogma politik yang bersifat klise? Di kalangan jemaah tarawih isu hukum hudud dan negara Islam menjadi manisan ceramah sedangkan Presiden Pas sendiri mengesahkan sudah kendur cita-cita penubuhan negara Islam yang bertukar kepada Negara Berkebajikan.
Percayalah cita-cita Pas tidak akan menjadi kenyataan jika parti itu langsung tidak mempunyai prasarana ke arah tujuan tersebut. Hanya ketika setahun sebelum PRU-13, setelah sokongan atas pagar Melayu meluat dengan Pas maka dendangan lagu hukum hudud didendangkan semula. Tidak siapa mengetahui apakah sebenarnya model hudud ala Pas kerana sehingga kini tiada persefahaman yang diperolehi sesama komponen mereka.
Justeru umat Islam harus memikirkan betapa 'hadiah-hadiah' yang diberi oleh pakatan ini membawa kebaikan kepada kesyumulan Islam atau sebaliknya. Jika ceramah agama Islam tidak didengar umat Islam, jika penentang agenda murtad disingkirkan, jika tazkirah politik terus menjadi zikir rasmi pembangkang, maka hadiah pluralisme agama yang bakal kita terima.
Menerima hadiah dengan perasaan yang pedih dan memilukan bukanlah sesuatu menggembirakan hati. Cuti panjang sempena Aidilfitri ambillah ruang masa untuk berfikir menilai 'hadiah-hadiah' Ramadan semenjak mereka memerintah Selangor.
Tentunya PRU-13, akan memberi noktah kepada kepimpinan yang murah hati memberi 'hadiah' yang rakyat tidak diingini.
Oleh: BUDIMAN MOHD. ZOHDI
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan