Selasa, Ogos 07, 2012

Isu Air Selangor - Sampai Bila MB Khalid Nak Menipu Rakyat?



Cuba kita renung-renungkan dan nilaikanlah dengan bijaksana. Apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengulas sahaja isu air di negeri itu, beliau mengelak untuk bercakap pasal loji air bersih. Atau air terawat.

Dan Abdul Khalid akan bercakap pula tentang air empangan. Ditunjuknya air empangan - banyak sekali. Melimpah ruah, katanya. Ya, 'memang betul'.

Apa yang diungkapkan Abdul Khalid adalah berkenaan air empangan - air sungai yang belum dirawat. Empangan dianggap simpanan stok air. Katakanlah Abdul Khalid bercakap soal padi.

Namun rakyat di Selangor termasuk Putrajaya dan Wilayah Persekutuan bukannya hendakkan padi, tapi beras. Dia bercakap pasal menanam padi di sawah, betullah. Kalau padi banyak sekalipun, tidak diproses menjadi beras, tidak guna juga.

Padi memang hak kerajaan negeri, tetapi ia perlu diproses, mesti ada kilang padi. Siapa bertanggungjawab ke atas kilang padi itu? Kerajaan negerilah.

Itu analogi yang dilontarkan oleh Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar kepada pemberita di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Putrajaya petang kelmarin.


Air adalah jelas di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukkan dua tugas bagi kerajaan negeri. Iaitu yang pertama menyediakan bekalan air bersih dan kedua, mengedarkan bekalan air bersih itu.

Sebab itu di bawah Seksyen 188 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 Akta 655 menyebut, kerajaan negeri Selangor sebagai pemilik aset air negeri itu diberikan kuasa oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk bertanggungjawab memastikan kesediaan bekalan air di negeri tersebut, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Maksudnya, tugas kerajaan negeri adalah menyediakan loji air bersih atau air terawat. Tugas Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di bawah Sekyen 191 ialah sebagai operator atau pengendali air untuk membekalkan dan mengagihkan air terawat.

Syabas bukannya berperanan untuk memastikan bekalan air terawat. Sebaliknya, kerajaan negeri di bawah Seksyen 188 kena menyediakan air terawat. Seksyen 191 tugas Syabas. Itu isunya kini.

"Sekarang, apa yang Menteri Besar Selangor tidak cakap adalah tanggungjawabnya untuk menyediakan air dalam loji. Itu sebab kita cabar menteri besar supaya mengeluarkan kenyataan apa sebenarnya air terawat dalam loji ini?

"Kita ada 34 loji, adakah air yang ada dalam 34 loji ini cukup untuk membekalkan kepada keseluruhan penduduk Selangor?

"(Analogi) 'Kilang padi' ini sekarang kita ada 34 tidak cukup. Orang hendak makan beras tapi kilang padi ini ada 4.5 juta kampit sedangkan rakyat mahu gunakan 4.3 juta kampit. Esok kalau pendatang asing datang, keperluan beras mungkin 4.8 juta kampit. Tidak cukuplah nanti.


"Itu sebabnya terdapat 129 kilang yang dilulus Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) tetapi tidak boleh 'take off' sebab Syabas tidak berani hendak bagi air kerana khuatir tidak cukup. Ini sekali gus menyebabkan 12,000 peluang pekerjaan hilang. Sekiranya mereka boleh beroperasi menjelang 2014 hingga 2015, kita boleh jana sejumlah 12,000 pekerjaan dan nilai pelaburan RM38 bilion.

"Pada masa sama sebanyak 70 peratus projek perumahan baru tidak boleh 'take off'. Surat memang ada, tapi tidak boleh beri Deliverance Order (DO) kerana air tiada. Syabas tidak boleh memberi komitmen salur air, jadi tidak boleh mulalah projek," katanya.

Pada masa ini, ekoran senario air yang tidak cukup, Kerajaan Pusat membina satu loji baru di Sungai Labu. Ia dilakukan Kerajaan Pusat dengan tidak membeli tanah kerajaan negeri namun membeli tanah Sime Darby serta membangunkan loji berkenaan dengan kos RM200 juta.

Loji dah siap tetapi kerana masih baru, ia hanya boleh menampung di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kerajaan Pusat buat loji , keluar modal dan bila sampai loji ini siap, diberikan kepada kerajaan negeri untuk uruskan, yang tidak keluar modal langsung.

"Sungai Labu ini diambil daripada sumber sedia ada untuk mengatasi masalah kekurangan air. Sekarang ia telah beroperasi. Ia dapat menampung di kawasan KLIA sahaja. Kalau Sungai Labu kita tidak buat, harapkan kerajaan negeri buat, akibatnya kawasan KLIA akan ada masalah air.

"Ini menunjukkan Kerajaan Pusat serius dalam menangani masalah air. Sebab itu, loji Langat 2 ini penting, isunya kini kerajaan negeri tidak bersetuju bina loji Langat 2, kenapa tidak setuju? Kalau loji ini tidak buat, masalah air ini tidak akan selesai," kata Noh lagi.


Langat 2 tidak boleh dibina selagi kerajaan negeri tidak keluarkan Perintah Pembangunan (Development Order) kepada kerajaan Pusat.

Kata beliau: "Itu sebabnya Menteri Besar cakap putar-putar, mula-mula mengatakan segala kelulusan mesti pergi kepadanya. Semalam saya baca suratk habar pula, dia kata dia tidak akan setuju.

"Tetapi Kerajaan Pusat buat keputusan yang kita akan tenderkan sebab ia (pakatan pembangkang) antaranya menuduh Langat 2 yang bernilai RM3.9 bilion untuk kroni UMNO, tapi kini kita cakap tender terbuka.

"Kerajaan negeri dijemput, tapi dia tidak mahu masuk (tender), itu hak mereka. Kemudian dia kata dia tidak setuju buat Langat 2 kerana takut harga air naik. Kelmarin dia kata pula, dia setuju Langat 2 dengan penstrukturan dikira sendiri. Dia sendiri tidak tahu pendiriannya sendiri," kata beliau.

Tetapi, kata Noh, isu yang Menteri Besar Selangor cakap adalah isu berasingan. Ia tidak boleh dikaitkan dengan Langat 2. Namun, bolehkah Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan jika mereka memerintah, harga air tidak naik? Mesti ada naik namun yang pentingnya kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat kena dengar kritikan rakyat. Apa juga tindakan jangan sampai menyusahkan rakyat.

Kerajaan Pusat waktu ini 10 kali fikir pasal rakyat. Langat 2 jadi kecoh tapi bina juga loji baru di Sungai Labu dan dapatlah menampung keperluan bekalan air penduduk di KLIA.

Kemudian, Abdul Khalid membangkitkan pula isu penstrukturan. Cuma, kalau penstrukturan dilakukan, air tiada, apa gunanya?

Untuk menjaga kepentingan rakyat, air diberi percuma disebabkan air ada. Tapi kalau esok air kering bagaimana? Mana datangnya nak jaga kebajikan rakyat? Ini semua politik.

Dan bila air tiada, dia (kerajaan negeri Selangor) hantar lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan tertentu ketika ini. Daripada mana dia dapat air? Bukankan tugas mereka memberi air? Kenapa sekarang baru pula prihatin?

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan