Isnin, Julai 09, 2012

Tuntut RM1juta, Penjelasan MB Khalid?



Sebanyak enam peniaga yang beroperasi di Restoran Look Out Point Western Food Sdn. Bhd. hari ini menuntut ganti rugi lebih RM1 juta daripada kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berikutan penutupan restoran itu dan pusat rekreasi di Menara Tinjau Hulu Langat di Bukit Ampang pada awal tahun lalu.

Wakil peniaga, E. Manuel berkata, tuntutan itu meliputi bayaran sewa para peniaga berjumlah kira-kira RM35,000 sebulan kepada kerajaan negeri melalui Pinang Harmoni Kembara Sdn. Bhd. selama enam tahun sejak 2006 hingga Januari lalu.

Beliau menjelaskan, selama enam tahun kumpulan peniaga terlibat dibenarkan berniaga di kawasan berbukit itu, namun secara tiba-tiba kerajaan negeri menerusi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyatakan bahawa ia tidak selamat kerana tiada sijil layak menduduki (CF).

“Jika benar kawasan itu tiada CF, kenapa selama enam tahun kami dibenarkan berniaga di atas bukit itu. Adakah mereka tidak pernah membuat ‘kerja rumah’ mengenai keadaan di situ sebelum membenarkan kami menyewa kedai? Bagaimana pula dengan duit sewa yang kami bayar setiap bulan?

“Kami mahu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjawab isu ini secara terperinci. Kami perlukan jawapan. Kami berharap tidak dijadikan sebagai mangsa politik di Selangor," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Ali Baharom.


Seorang lagi peniaga, Norhayati Khairuddin berkata, lebih membuatkan para peniaga kecewa apabila mendapati barangan serta perabot yang ditinggalkan di restoran berkenaan hilang setelah pusat rekreasi itu ditutup oleh pihak MPKj.

“Kami dimaklumkan bahawa MPKj terpaksa memperuntukkan sejumlah wang bagi meletakkan pegawai keselamatan di Menara Tinjau itu, tetapi bagaimana barangan kami boleh hilang? Siapa yang ingin bertanggungjawab ke atas kerosakan dan kehilangan aset kami?

“Tindakan Kerajaan PKR Selangor yang secara tiba-tiba mengarahkan kami menutup perniagaan membuatkan peniaga mengalami kerugian besar. Justeru kami minta Menteri Besar tampil menyelesaikan isu ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Ali yang hadir memberi sokongan kepada pihak peniaga menggesa kerajaan Selangor untuk tampil menjawab persoalan pihak peniaga yang terpinga-pinga kerana tidak dimaklumkan situasi sebenar.

Seharusnya, kata beliau, Abdul Khalid turun padang bagi melihat kawasan Menara Tinjau yang ditinggalkan tanpa penyeliaan sedangkan pusat rekreasi tersebut amat bersesuaian untuk orang ramai datang beriadah bersama keluarga.

“Kami berharap selain Menteri Besar, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu juga bertanggungjawab ke atas nasib peniaga di sini. Adalah lebih baik mengadakan perbincangan dengan para peniaga," katanya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan