Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Isnin, Julai 16, 2012
PNSB tanggung hutang RM316j?
Setelah membuat beberapa pendedahan sebelum ini, Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong tampil sekali lagi mendakwa sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor terpaksa menanggung beban hutang berjumlah RM316 juta untuk membayar balik hutang hasil pembelian aset Talam Corporation Bhd. (Talam).
Beliau berkata, Permodalan Negeri Selangor Bhd. (PNSB), iaitu anak syarikat milik penuh kerajaan negeri yang sebelum ini bebas hutang dan mempunyai simpanan kira-kira RM76 juta, terpaksa membuat pinjaman itu bagi membayar balik kepada kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang telah menjual aset berkenaan.
Katanya, PNSB telah mencagar beberapa aset untuk meminjam sebanyak RM230 juta daripada sebuah institusi kewangan dengan kos faedah pinjaman adalah berjumlah RM86 juta.
Menurut beliau, pembelian aset itu membabitkan kawasan Bukit Beruntung 2 dan Bestari Jaya, namun sehingga kini tiada pembangunan besar dilakukan di kedua-dua kawasan.
''Persoalannya sekarang kenapa kerajaan PKR Selangor tidak mengambil langkah untuk membantu aliran wang tunai anak syarikat berkenaan dengan menjual tanah-tanah terlibat kepada pihak swasta,'' katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Pada minggu lalu, Tee Yong mendedahkan kerajaan PKR Selangor telah membeli tanah seluas 2,263 ekar (905.2 hektar) di Bestari Jaya dari Talam dengan harga RM181 juta iaitu RM42 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.
Beliau turut mendedahkan satu lagi pembelian oleh kerajaan negeri berkenaan berjumlah RM87.7 juta di Danau Putra iaitu kawasan yang 80 peratus daripada tanahnya di bawah air.
Semalam, MCA Bahagian Pandan membentangkan dokumen resolusi perjanjian penyelesaian hutang Talam, bagi menyokong pendedahan Tee Yong.
Ketua Biro Guamannya, Gary Lim Chin Yee berkata, dokumen mengandungi tandatangan Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), yang membuat keputusan agar hutang bernilai RM115 juta yang ditanggung Talam diserahkan kepada kerajaan negeri Selangor untuk diselesaikan.
Dalam pada itu, Tee Yong turut mempersoalkan sama ada kerajaan PKR Selangor telah mengambil kira kos bayaran faedah itu semasa berunding untuk membeli aset berkenaan daripada Talam bagi memastikan rakyat mendapat keuntungan maksimum.
''Hasil lawatan dan maklumat yang kita peroleh, tiada sebarang pembangunan besar dilakukan di kawasan berkenaan dan kini apakah rancangan kerajaan PKR Selangor bagi membolehkan PNSB membayar balik pinjaman berkenaan,'' ujarnya.-UMO
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan