Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Selasa, Jun 19, 2012
Mengimbau Semula Pengakuan Bersumpah Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Pada Tahun 1999?
Pembangkang Cari Jalan Tolak Pengakuan Murad?
Pengakuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid pada tahun 1999 berhubung dakwaan bahawa Anwar Ibrahim mengawal 20 akaun induk berjumlah RM3 bilion, bukanlah mudah direka-reka. Dalam akuannya, Abdul Murad turut menyatakan nama beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan urusan dana berkenaan.
Sebagaimana dinyatakan dalam akuan bersumpahnya, beliau menyelesaikan masalah individu tertentu setelah mendapat arahan Anwar menggunakan dana berkenaan. Risiko pendedahan Abdul Murad adalah besar jika beliau mereka-reka dakwaan berkenaan.
Setakat ini pun penafian mengenai dakwaannya sudah pun dibuat oleh mereka yang terbabit. Beliau juga terdedah kepada tindakan mahkamah oleh individu yang dibabitkan dalam pengakuannya itu. Ini bermakna kebenaran dakwaan Abdul Murad memerlukan penyiasatan rapi.
Jika Badan Pencegah Rasuah (BPR) mula menjalankan siasatannya, BPR tidak boleh dianggap sebagai memihak. Setakat ini, dakwaan Abdul Murad mungkin boleh dianggap berasas manakala penafian individu terbabit pula tidak boleh diketepikan begitu saja. Hanya penyiasatan rapi saja yang dapat menentukan segala-galanya.
Begitu juga, disebabkan kedudukan Abdul Murad di Bank Negara Malaysia sebelum ini begitu penting dan beratnya dakwaan yang dibuatnya itu, sepatutnya BPR tidak boleh menunggu masa yang terlalu lama untuk menjalankan siasatan. Tambahan pula, maklumat yang diberikannya itu adalah dalam bentuk akuan bersumpah.
Sebagaimana dijelaskan oleh Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Zaki Husin (ketika itu), hampir setiap perenggan dalam akuan bersumpah itu adalah maklumat mengenai rasuah. Dalam sesuatu akuan bersumpah, setiap dakwaan perlu dibuat dengan rasa penuh tanggungjawab. Oleh itu, pengakuannya itu perlu ditangani segera.
Rakyat akan mempersoalkan BPR jika tidak ada siasatan segera dijalankan. Rakyat seharusnya boleh membezakan antara dakwaan rasuah yang dibuat oleh sesetengah pihak bermotif politik dengan dakwaan yang dilakukan oleh orang yang terbabit secara langsung dalam urusan dana berkenaan.
Abdul Murad mengaku beliau menerima beberapa arahan daripada Anwar untuk menyelesaikan masalah beberapa individu sebagaimana disebut dalam akuannya. Berbeza dengan dakwaan pihak tertentu lain yang hanya membuat dakwaan tetapi mendapat maklumat daripada sumber yang tidak jelas. Ini menyebabkan BPR tidak mempunyai asas yang kuat untuk menjalankan siasatan, apatah lagi jika tuduhan-tuduhan dibuat atas pentas politik.
Berhubung dakwaan Abdul Murad itu, BPR sudah pun membuat laporan polis dan dengan ini, siasatan dianggap sudah bermula. Abdul Murad pastinya orang pertama yang akan mempertahankan pengakuannya.
Pengakuannya akan lebih jelas jika beliau dapat mengemukakan bukti, umpamanya segala dokumen berhubung urusan dengan bank terbabit. Mereka yang disabitkan dengan tuduhan itu juga seharusnya memberi kerjasama untuk memudahkan tugas BPR.
Satu perkara yang agak jelas Abdul Murad dan Anwar mempunyai hubungan yang rapat, sekurang-kurangnya ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan yang sering berurusan dengan Bank Negara di mana Abdul Murad bertugas. Abdul Murad sudah pun menyatakan beliau diperalatkan. Apa pun, rakyat seharusnya menunggu keputusan siasatan tanpa perlu membuat andaian sendiri.
Disebabkan ini adalah perkembangan dan maklumat baru, parti-parti pembangkang juga tentunya mahukan siasatan dijalankan segera. Tidak perlulah mempertahankan mana-mana individu sekiranya mereka sendiri mahu menuntut keadilan.
Sebelum mempertahankan individu yang didakwa Abdul Murad itu, adalah lebih baik mereka mengikuti perkembangan siasatan tanpa perlu mengeluarkan kenyataan berbau politik. Ini adalah soal undang-undang yang perlu diselesaikan mengikut undang-undang.
Malangnya sebaik sahaja pendedahan Abdul Murad itu, sudah kedengaran pihak terbabit mengatakan segala-galanya dirancang oleh kerajaan. Kenyataan seperti ini adalah 'jalan keluar' untuk mencemuh kerajaan. Mereka seolah-olah mengajak rakyat supaya jangan percaya kepada pengakuan Abdul Murad itu.
Mereka seolah-olah tidak mahu memberi peluang kepada Abdul Murad untuk membuktikan kenyataannya. Tindakan mereka terbabit adalah tidak bertanggungjawab dan sengaja tidak mahu keadilan dilaksanakan dinegara ini. Ada pun, perkembangan ini amat menarik kerana ia mampu membetulkan kekusutan yang berlaku sebelum ini terutamanya mengenai kenyataan Abdul Murad itu!
Dan semalam setelah sekian lama membisu berhubung isu Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengawal 20 akaun induk semasa menjadi Menteri Kewangan, bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid tampil mengesahkan akuan berkanun yang dibuat beliau 13 tahun lalu adalah benar.
Abdul Murad yang selama ini didesak pelbagai pihak supaya tampil menjelaskan perkara tersebut selepas didedahkan media berkata, beliau memang membuat akuan berkanun pada 1999 berhubung pengendalian akaun-akaun berjumlah RM3 bilion membabitkan Anwar semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Pada masa sama, beliau yang dalam akuan berkanunnya mengakui membayar lebih RM120 juta kepada kroni dan organisasi tertentu atas arahan Anwar memberitahu, bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika dikehendaki.
"Saya dengan ini mengesahkan ada membuat akuan bersumpah pada 1999 berhubung pengendalian akaun-akaun berjumlah RM3 bilion yang saya percaya melibatkan Anwar. Saya juga telah memberi keterangan yang diminta pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Isu Anwar mengawal 20 akaun induk dengan menggunakan kroni-kroninya semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kembali hangat selepas ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali mengesahkan abangnya yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali memiliki kekayaan luar biasa berjumlah RM30 juta.
Kekayaan Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin dipercayai ada kaitan dengan Anwar kerana ketika tahun 90-an iaitu semasa menjadi Setiausaha Sulit kepada Timbalan Perdana Menteri, beliau yang bergaji RM2,442 sebulan sudah memiliki aset bernilai jutaan ringgit sehingga disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Malah, Abdul Murad sendiri dalam akuan berkanunnya itu secara jelas mengaitkan nama Shamsidar apabila mendakwa isteri Azmin tersebut dibayar gaji lumayan dan disediakan sebuah kereta lengkap dengan pemandu walaupun pada kebanyakan masa wanita itu tidak perlu ke tempat kerja.
Dalam akuan berkanun sama juga, beliau mendakwa Anwar telah mengarahkannya melaksanakan eksesais korporat yang memihak kepada kawan-kawan dan kroni serta membersihkan hutang mereka dengan menggunakan keuntungan daripada rundingan menggunakan pengaruh Bank Negara Malaysia (BNM).
Antaranya, dakwa Abdul Murad, eksesais korporat melibatkan pengambilalihan Sikap Power, pemegang konsesi Projek Kuasa Bebas (IPP) di Lumut, Perak yang dijual kepada Malaysia Resources Corporation Bhd. (MRCB) atas arahan Anwar sebelum menyuntik konsesi itu ke dalam Malakof Berhad.
Sama-samalah kita lihat bagaimana pembangkang sekali lagi akan mencari jalan untuk menolak pengakuan terbaru Datuk Abdul Murad ini! Sudah pastinya Anwar tidak akan senang duduk selepas ini untuk menangkis segala tuduhan yang mengaitkannya dalam Pengakuan Bersumpah tersebut!
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan