Khamis, Jun 28, 2012

Apa alasan MB Khalid mahu berpindah ke kawasan selamat! ...Adakah beliau takut dengan bayang-bayang sendiri?



Amat mudah untuk memahami perjalanan politik MB Khalid ini. Setelah merasakan diri nya sudah 'ditolak' oleh pengundi-pengundi sendiri di DUN Ijok, maka jalan terbaik untuk beliau 'selamatkan diri' adalah dengan berpindah ke kawasan yang difikirkan selamat!

Agak pelik juga apabila MB Khalid yang sebelum ini selalu mendabik dada mendakwa beliau adalah Menteri Besar terbaik untuk rakyat Selangor, tetapi amat mendukacitakan kerana takut dengan bayang-bayang sendiri untuk berhadapan dengan rakyat di DUN Ijok?

MB Khalid nampaknya terpaksa menggunakan 'talian hayat' iaitu SPR yang selama ini mereka tolak dan bangkang semata-mata untuk menyelamatkan 'sisa-sisa politik' beliau!

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak bantahan beberapa pihak terhadap permohonan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menjadi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.

Keputusan itu diputuskan dalam sesi perbicaraan awam yang berlangsung selama 15 minit pada pukul 9 pagi di Pejabat Daerah Sabak Bernam di sini dan dikendalikan Pengarah SPR Selangor, Dzulkifli Ab. Rahman.

Perbicaraan itu diadakan selepas penduduk setempat termasuk beberapa ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan bantahan kepada SPR kerana merasakan tindakan Abdul Khalid itu seperti ada 'udang di sebalik batu'.


Keputusan itu sekali gus memberikan bayangan bahawa Abdul Khalid mungkin tidak akan mempertahankan DUN Ijok yang diwakilinya sekarang, sebaliknya berpindah ke kawasan yang difikirkan lebih selamat iaitu DUN Bukit Melawati.

Difahamkan, Abdul Khalid yang menggunakan alamat Lot 173, Batu 22, Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan dekat sini telah membuat pendaftaran penukaran alamat bagi kawasan mengundi berasaskan pada alamat kad pengenalannya.

Pendaftaran tersebut akan meletakkan Abdul Khalid sebagai pengundi dalam DUN Bukit Melawati dengan daerah mengundi di Api Api manakala lokaliti di Kampung Pasir Tuntong iaitu dalam Parlimen Kuala Selangor.

Pembantah yang juga Pengerusi Aktivis Rakyat Bersatu Selangor (Akrab), Ahmad Hisham A. Manaf berkata, pihaknya melakukan bantahan tersebut kerana keliru dengan tujuan sebenar Abdul Khalid berbuat demikian.

"Abdul Khalid merupakan pemastautin tetap di Petaling Jaya, jadi mengapa beliau mahu mengundi di kawasan ini. Tindakan beliau itu kelihatan seperti mempunyai agenda tersembunyi.

"Adakah benar beliau mahu menjadi pengundi atau sebenarnya bercadang untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati atau Parlimen Kuala Selangor," katanya selepas perbicaraan tersebut di sini.

Ahmad Hisham berkata, Abdul Khalid sepatutnya menunjukkan kesetiaan dan sokongan di kawasan tempat tinggalnya.


Sementara itu, Dzulkifli berkata, perbicaraan tersebut dibuat demi membuktikan ketelusan SPR dalam permasalahan seperti itu termasuk bantahan yang dikemukakan terhadap seorang Menteri Besar.

"SPR telah menjalankan siasatan terperinci ke atas kedua-dua pihak iaitu permohonan Abdul Khalid dan juga bantahan yang dikemukakan penduduk.

"Maka, bicara awam ini penting diadakan untuk mencapai persetujuan yang disenangi kedua-dua pihak sekali gus membuktikan ketelusan SPR dalam menangani permasalahan berkaitan," katanya.

Daripada pergerakan yang ditunjukkan oleh MB Khalid ini, mungkinkah desas-desus sebelum ini mengatakan yang PKR akan memberi laluan kepada DAP untuk bertanding di DUN Ijok, PKR di DUN Bukit Melawati manakala PAS di DUN Jeram akan menjadi kenyataan? Sama-samalah kita tunggu dan lihat semasa PRU ke-13 nanti!

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan