Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Jumaat, Mei 25, 2012
Putrajaya jadi tumpuan orang muda!
Tirai Himpunan Jutaan Belia Putrajaya 2012 dibuka hari ini dan Persiaran Perdana di sini mula mencuri tumpuan selaku saksi penganjuran acara yang disasar sebagai perhimpunan orang muda terbesar di dunia.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menjadi penggerak utama acara itu yang menyimpan harapan menggunung dan dibentuk khusus untuk membuka ruang serta peluang bagi anak muda mempamerkan bakat serta kreativiti, selain menyuarakan pandangan secara terbuka lagi tersusun.
Sejak berbulan lalu, setiap kesempatan yang diperolehi akan beliau ketengahkan berita dan maklumat terkini mengenai Himpunan Jutaan Belia dan usahanya itu jelas mendapat sokongan setiap kementerian yang terletak di laluan Persiaran Perdana di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini.
"Kita serahkan Putrajaya untuk anak-anak muda di sini bagi menunjukkan kreativiti, tenaga dan pandangan mereka secara terbuka dan tersusun," katanya kepada pemberita.
Ahmad Shabery Cheek bersama Ahmad Zahid Hamidi menyertai konvoi kereta dan motosikal sempena Himpunan Jutaan Belia 2012 di Putrajaya, semalam.
Membawa harapan untuk menjadi antara 10 karnival tahunan terbesar, perhimpunan itu menampilkan 38 segmen yang menyediakan kira-kira 500 aktiviti, tersusun di laluan sejauh enam kilometer dengan 24 pentas dibangunkan untuk dikunjungi orang ramai, mulai semalam sehingga Ahad.
Hari ini, beberapa laluan sudah ditutup dan 16 kawasan letak kereta dengan 5,670 ruang letak kenderaan secara percuma sudah dibuka, sementara 12 trem ulang-alik di Persiaran Perdana pula akan digerakkan petang ini.
Khemah mula didirikan di kaki lima bangunan kementerian di sepanjang laluan itu, dengan bahagian hadapan Istana Kehakiman yang terletak di tengah-tengah laluan sudah bertukar wajah, membangkitkan "mood" karnival.
Di situ juga bakal berlangsung majlis perasmian perhimpunan belia terbesar itu yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu ini.
Umum mengetahui pemimpin nombor satu negara itu sentiasa memberi sokongan padu terhadap usaha memacu dan memantapkan golongan belia, yang mewakili 45 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.
Dalam perutusannya sempena Hari Belia minggu lepas, Perdana Menteri berkata, perhimpunan ini merupakan manifestasi pengiktirafan kerajaan bagi menjadikan Putrajaya sebagai medan besar untuk belia mempamerkan tenaga dan kreativiti masing-masing.
Untuk rekod, lebih 500 acara dalam 35 segmen diadakan sepanjang sambutan sempena Hari Belia Nasional itu berlangsung dengan pelbagai kemudahan disediakan termasuk pengangkutan awam percuma yang membawa pengunjung ke seluruh lokasi program.
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan