Ahad, Mei 06, 2012

Polis tahan Khalid Ismath!


Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Mohd. Ismath ditahan bagi membantu siasatan berhubung kekecohan pada perhimpunan haram Bersih 3.0, ketika dia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Khalid dikehendaki setelah gambarnya yang sedang menendang seorang anggota polis trafik yang terjatuh ketika bertugas pada perhimpunan itu, 28 April lalu disiarkan di akhbar-akhbar kelmarin.

Dia yang ditahan kira-kira pukul 10 pagi bagaimanapun sebelum ini dipanggil polis untuk membantu siasatan berhubung kenyataannya di dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini bahawa dia bersetuju semua anggota polis dibunuh.


Khalid dilihat memasuki pekarangan IPK Kuala Lumpur bersama seorang peguam dan disertai bapanya, Mohd. Ismath Habib Mohamad, yang juga bekas calon Pas semasa Pilihan Raya Umum 1995; ibunya, Junaidah Mohamad; kakak sulungnya, Anissa serta sekumpulan lelaki yang dipercayai rakan-rakannya.

Khalid yang juga pelajar jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu adalah antara 91 individu yang boleh membantu siasatan berhubung kekecohan dan keganasan semasa perhimpunan haram Bersih 3.0 di ibu negara.

Mohd. Ismath berkata, anak bongsunya itu hadir ke IPK Kuala Lumpur selepas mereka didatangi empat pegawai polis baru-baru ini untuk memberi kerjasama berhubung laporan dibuat pihak tertentu.

Katanya, mereka bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa namun terkejut apabila anaknya itu ditahan pihak polis.

“Saya terkejut apabila Khalid ditahan ketika hadir untuk membantu siasatan ini. Oleh itu saya gesa polis membebaskan segera anak saya kerana dia bukan penjenayah," katanya.

Ditanya tentang tindakan tatatertib yang mungkin diambil oleh UiTM terhadap Khalid, Junaidah menegaskan, mereka sekeluarga tidak kisah jika universiti terbabit membuang anaknya itu.

Anissa pula mendakwa, Khalid tidak pernah mengeluarkan kenyataan hasutan sedemikian sebaliknya mendakwa laman sosial Facebook adiknya itu telah digodam sehingga menyebabkan dia menerima pelbagai tuduhan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan Khalid ditahan berhubung gambar seorang individu yang menendang seorang anggota polis trafik semasa Bersih 3.0.

Katanya, polis menahannya untuk disiasat di bawah Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dalam kekacauan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan sengaja.-UMO

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan