Khamis, Mei 31, 2012

Orang Cina Pun Sudah Mula Bosan Dengan Pembohongan Anwar?



Akhbar China Press bertarikh 26 Mei 2012 menyiarkan artikel mengenai dakwaan terbaru Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim bahawa ramai pemimpin politik Sabah akan berpaling tadah untuk menyokong pembangkang.

Artikel bertajuk ‘Mulut Anwar Ibrahim celupar lagi’ tulisan Tan Wei Min disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C17.

Ramalan Anwar sekali lagi kecundang dan ini menyebabkan beliau menerima pelbagai kritikan daripada kalangan orang-orang Cina.

Beliau berkali-kali berbohong dengan mencipta isu untuk mendapatkan tiket undi kasihan. Pada mulanya ramai orang menyokong dan mempercayai beliau, tetapi kini mereka yang sudah bosan dengan pembohongan terbabit tidak lagi yakin terhadap beliau.

Tiga tahun lepas iaitu pada 2008, Anwar menyebarkan berita menyatakan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan melompat parti bagi menyertai Pakatan Rakyat.


Beliau mendakwa kerajaan BN akan tumbang pada tarikh 16 September 2008. Akhirnya Peristiwa 916 tidak berlaku dan tidak kesampaian. Ia adalah satu pembohongan besar dalam arena politik. Kesan daripada perbuatan beliau, orang ramai sudah hilang kepercayaan terhadap dirinya.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan semua kata-kata Anwar itu adalah satu pembohongan dan menyindir Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana menggunakan taktik berkenaan bagi mencapai impiannya untuk menjadi Perdana Menteri.

Menurut Abdullah: “Saya sudah lama kenal Anwar, beliau pandai berkata-kata untuk menarik ramai hadirin datang mendengar ceramah beliau dan masih ramai orang mempercayai kata-katanya."

Baru-baru ini, Anwar bercakap besar lagi dengan mendakwa dalam tempoh seminggu dua ini akan ada perubahan di Sabah yang boleh memeranjatkan seluruh rakyat Malaysia. Dikatakan ada sekumpulan pemimpin politik berwibawa di Sabah akan membuat satu pengumuman untuk membantu Pakatan Rakyat melangkah ke Putrajaya dan mengambil alih Kerajaan Pusat.

Anwar berkata, kumpulan itu ialah pemimpin daripada kalangan orang Islam dan Kadazan yang sangat rapat dengan UMNO. Mereka bukan sahaja memberi laluan kepada Pakatan Rakyat malah akan turut membantu pihak pembangkang. Mereka berharap dengan bantuan itu, negara akan mengalami perubahan besar dari segi ekonomi dan politik.

Bagaimanapun, berikutan pembohongan yang dibuat Anwar sebelum ini, orang ramai sudah tidak percaya ramalan yang dibuat beliau. Mereka menganggap jika ramalan itu benar-benar berlaku pun, ia hanya satu kebetulan.

Yang sangat mengecewakan adalah setelah dua minggu ramalan itu berlalu dan ditambah masa dua minggu lagi sehingga kini, ia hanya senyap begitu sahaja. Rakyat tidak membantah mana-mana pemimpin politik untuk membuat kenyataan, kerana ia adalah salah satu cara berpolitik, tetapi rakyat tidak akan mengizinkan orang yang suka bercakap bohong.

Jika pembohongan sudah menjadi kelaziman Anwar, rakyat tidak akan terpedaya lagi. Seorang ahli politik yang pandai bercakap tetapi tidak boleh dipercayai, akhirnya akan ditinggalkan oleh pengundi.-UMO

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan