Khamis, Mei 10, 2012

Melayu Tak Pernah Derhaka!


Kalau rakyat memilih UMNO/Barisan Nasional untuk menubuhkan Kerajaan baru dalam pilihanraya yang bakal menjelma tidak lama lagi bermakna majoriti rakyat yakin seribu kali yakin dengan kepimpinan UMNO yang menjadi tulang belakang dalam keperkasaan Barisan Nasional.

Ia juga memberi petunjuk bahawa rakyat Malaysia dari berbagai suku kaum menghormati dan menyanjung tinggi kepimpinan UMNO yang terus menerus menjaga kepentingan rakyat dan mempertahankan kemerdekaaan negara. Sejak merdeka hingga sekarang majoriti orang Melayu tidak pernah menderhaka terhadap UMNO oleh kerana mereka menganggap UMNO itulah Melayu dan Melayu itulah UMNO.

Justeru itu Melayu tidak ada pilihan lain untuk memperjuangkan nasib mereka kecuali UMNO. Parti-parti pembangkang tidak boleh mendabik dada bahawa mereka adalah payung perlindungan orang Melayu oleh kerana mereka tidak pernah menerajui kepimpinan kerajaan di peringkat Pusat.

Sekiranya Melayu mengharapkan pembangkang memperjuangkan kepentingan mereka bermakna mereka merelakan diri mereka, orang Melayu, sebagai bangsa pinggiran yang lemah dan tidak mempunyai kekuatan politik untuk memimpin Kerajaan. Memilih UMNO bererti hak dan kepentingan Melayu terjamin dan dengan sendirinya menjadikan Melayu sebagai pemimpin Kerajaan yang akan menentukan destinasi negara, agama dan bangsa.

Rakyat Malaysia bertuah dan patut bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana berbagai bangsa dan suku kaum yang menjadi warganegara sanggup menerima kepimpinan Melayu menerajui Kerajaan pusat sejak merdeka hingga sekarang.

Sejak 55 tahun yang lalu orang Melayu memimpin Kerajaan dan membawa perubahan yang besar dalam kehidupan seluruh rakyat. Banyak negara berbilang kaum di dunia sukar menjamin kestabilan politik, perdamaian dan kesejahteraan untuk semua. Tapi para pemimpin Melayu dalam UMNO telah membuktikan kepada seluruh dunia bahawa mereka berjaya mengekalkan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum dan kepimpinan Melayu tidak pernah dipertikaikan oleh bukan Melayu.

Peristiwa hitam 13 Mei 1969 menjadi pengajaran kepada semua bangsa dan suku kaum bahawa tanahair kita yang tercinta ini perlu dipupuk dan disirami perasaan muhibbah dan hormat menghormati antara satu dengan lain demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara serta kedamaian untuk semua. Oleh itu orang Melayu seharusnya sedar bahawa sekiranya mereka berpecah belah dan menyokong pembangkang bermakna mereka sendiri mengkhianati bangsa sendiri sekiranya orang Melayu hilang kuasa politik selepas pilihanraya diadakan.


Orang Melayu harus sedar bahawa tidak ada parti politik Melayu yang lain yang dapat menguasai kepimpinan negara tanpa kerjasama dengan orang bukan Melayu. Orang bukan Melayu memberi sokongan padu kepada BN kerana mereka yakin dengan kepimpinan UMNO yang mengutamakan perpaduan kaum dan bersifat adil kepada mereka. Hari ini bukan Melayu tidak mempertikaikan kepimpinan BN sebagai Kerajaan tetapi mereka bimbang perbalahan di kalangan masyarakat Melayu boleh menyebabkan UMNO kehilangan sebahagian dari kerusi yang ia sandang sekarang.

Kalau ini berlaku bermakna wakil rakyat UMNO dalam Parlimen akan berkurangan dan menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan orang Melayu sebagai pemimpin kerajaan. Mereka bimbang kestabilan politik akan tergugat sekiranya UMNO lemah.

Sekiranya kuasa politik orang Melayu menjadi lemah akibat UMNO kehilangan sebahagian dari kerusi Parlimen yang dipegangnya sekarang bermakna maruah dan penghormatan Melayu juga tercemar. Parti-parti pembangkang Melayu tidak boleh berbangga kerana UMNO hilang beberapa kerusi Parlimen yang dipegangnya sekarang bermakna maruah dan penghormatan Melayu juga tercemar.

Parti-parti pembangkang Melayu tidak boleh berbangga kerana UMNO hilang beberapa buah kerusi yang berpindah kepada mereka. Sekiranya pembangkang Melayu memenangi beberapa buah kerusi dari UMNO mereka masih lagi kekal sebagai pembangkang dan selaku pembangkang mereka tidak boleh melaksanakan dasar untuk memperjuangkan nasib orang Melayu.

Akibatnya Melayu menjadi lemah oleh kerana perpecahan di kalangan Melayu menyebabkan kekuatan Melayu dalam kepimpinanan kerajaan lemah dan tidak berdaya mengimbangi kekuatan dan pengaruh bukan Melayu.

Perlulah diingat kejatuhan kerajaan-kerajaan Melayu di zaman silam dan penjelmaan kuasa-kuasa asing dalam kancah politik orang Melayu adalah disebabkan oleh perpecahan dan kerakusan raja-raja Melayu di zaman silam. Sejarah tragedi ini akan berulang sekiranya masyarakat Melayu berpecah-belah dan meruntuhkan kekuasaan Melayu yang wujud dewasa ini. Memanglah rakyat boleh mengubah selera politik mereka sekali dalam lima tahun melalui pilihanraya.

Ini jaminan demokrasi yang kita amalkan. Tetapi sejak 55 tahun yang lalu rakyat telah memberi sokongan dan kepercayaan yang tulus ikhlas kepada UMNO untuk membela nasib mereka, dan kita dapat saksikan reformasi dalam berbagai bidang hidup rakyat yang dilaksanakan oleh kepimpinan UMNO.

Tentulah tidak masuk akal orang Melayu menolak UMNO yang banyak jasanya kepada mereka untuk menyokong PAS atau Parti Keadilan Nasional yang tidak punya rekod kepimpinan negara langsung. Juga tidak masuk akal sekiranya orang Melayu terlalu taksub terhadap seorang pemimpin yang tercemar hingga sanggup menyingkirkan UMNO yang banyak berjasa dan berkorban untuk mereka.

Fikirlah dengan mata hati yang terbuka. Janganlah bangsa kita dianggap sebagai bangsa yang tidak tahu membalas jasa orang lain, yang tidak tahu menilai antara intan dengan batu jalanan. Janganlah sekali-kali bangsa kita hanya menang sorak tetapi kampung halaman dan negara tergadai.

Lebih sepuluh tahun yang lalu pihak pembangkang membuat fitnah kononnya mereka membenci Tun Dr. Mahathir dan bukan UMNO. Bukankah Tun Dr. Mahathir pada masa itu adalah Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia? Membenci Mahathir bermakna membenci kerajaan yang dipimpin Mahathir. Ini bermakna pembangkang hendak mengelirukan fikiran rakyat supaya rakyat menolak UMNO/BN dan memilih pembangkang.

Kita percaya orang Melayu tidak sebodoh itu. Kita yakin orang Melayu inginkan perubahan nasib, kemajuan dan pemimpin yang dinamik memimpin kerajaan . Justeru itu mereka mesti memberi sokongan penuh kepada parti politik yang banyak berjasa dan banyak membawa reformasi dalam kehidupan mereka.

Jasa Tun Dr. Mahathir besar. Usah kita nafikan itu hanya kerana diruntun oleh kemarahan dan emosi yang tidak terkawal. Jangan marahkan pijat kelambu dibakar. Jangan kita menjadi Lebai Malang menang sorak kampung halaman tergadai. Bangsa yang berjiwa besar adalah bangsa yang tahu menghargai jasa-jasa pemimpin, mempunyai maruah negara, bangsa dan agama.

Kita bukan orang asing di tanahair kita tercinta, Malaysia. Inilah bumi subur yang memberi rezeki kepada kita dan langit biru yang kita junjung. Selama 55 tahun negara kita mencapai kemerdekaan rakyat tetap setia kepada UMNO/BN. Sekiranya pucuk pimpinan UMNO dianggap kurang memuaskan dan tidak mencerminkan perjuangan sebagai pembela rakyat sudah pasti UMNO sudah lama terkubur tanpa nisan dan tidak akan sampai 55 tahun memimpin kerajaan.


Tetapi rakyat sedar dan tahu bahawa mereka tidak dapat mempercayai parti pembangkang yang ada untuk memimpin negara. Ya, memang mereka mahu pembangkang menegur kerajaan tetapi mereka tidak mahu mana-mana parti pembangkang memimpin kerajaan. Mereka sedar pembangkang lebih banyak menabur angan-angan tentang jenis kerajaan yang mereka khayalkan dalam fikiran mereka. Kerajaan yang ada dan banyak berbakti tetap UMNO/BN.

Memanglah orang ramai amat gemar mendengar pembangkang mengecam dan memaki-hamun kerajaan kerana ia merupakan keseronokan dan hiburan dalam politik. Tapi bila memberi undi dan memimpin kerajaan majoriti rakyat tetap memilih UMNO/BN. Ini kenyataannya. Orang Melayu tidak ada pilihan lain kecuali UMNO untuk mewakili kepentingan mereka.

Kalau mengharapkan PAS mereka terlepas. Hanya sibuk berkuntau dengan serban leso mereka sahaja. Harapkan Keadilan mereka akan mati beragan sebab ia hanya ingin memulihkan Anwar ( Brother Anuar sebagai bakal Perdana Menteri ).

Ini yang dijaja oleh isteri Anwar, Wan Azizah. Nampaknya PAS dan Keadilan lebih percaya kepada DAP untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dari UMNO hingga mereka sanggup menggugat kepimpinan UMNO yang banyak berjasa. Tapi majoriti orang Melayu tahu kilat dalam kilau mainan politik DAP dan mereka akan menghanyutkan PAS dan Keadilan seperti mana majoriti orang Melayu menghanyutkan DAP dalam beberapa pilihanraya yang lalu.

Yang lebih penting ialah sikap ahli-ahli dan para penyokong UMNO lebih dari 2 juta orang itu. Mereka mesti memberi sokongan padu kepada semua calon UMNO dan BN untuk mencapai kemenangan yang gemilang. Jangan sekali-kali menjadi gunting dalam lipatan atau talam bermuka dua.

Jangan sekali-kali ada ahli UMNO sanggup menjadi pengkhianat bangsa dan parti setelah menikmati rahmat Allah S.W.T dari perjuangan UMNO. Sekiranya seluruh ahli UMNO memainkan peranan mereka memenangkan semua calon parti, besar kemungkinan parti-parti pembangkang tidak berjaya menumbangkan BN dan menubuhkan kerajaan baru di bumi bertuah ini.

Pendayung sudah ada di tangan, perahu sudah di air dan marilah kita bersama-sama dengan penuh semangat, sebagai patriot bangsa dan negara, menjamin kemenangan yang besar kepada UMNO/BN dalam PRU ke-13 nanti. Hanya Allah S.W.T yang menentukan segala tetapi ikhtiar dan usaha mestilah di pihak kita.

Selamat menyambut hari ulang tahun yang ke-66 Penubuhan UMNO. Semuga UMNO kembali menjadi lebih kukuh dan mantap dari sebelumnya. Para pemimpinnya lebih insaf, ahli-ahlinya lebih berusaha dan bersatu hati bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO. Rakyat perlu diutamakan serta di bela sepenuhnya. InsyaAllah.

Terima kasih UMNO kerana menjadikan Malaysia lebih dari apa yang dijangkakan.

HIDUP UMNO DULU,KINI DAN SELAMANYA..

Salam perjuangan.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan