Rabu, Mei 30, 2012

Anwar arah tutup kes Azmin?



Raja Petra Kamaruddin, pengendali portal pro pembangkang tampil sekali lagi mendedahkan bagaimana Anwar Ibrahim ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri bertindak menutup kes rasuah membabitkan Azmin Ali.

Dalam pendedahan itu, Raja Petra mendakwa Anwar pada 1995 mengarahkan pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menghentikan siasatan berhubung kekayaan luar biasa bernilai jutaan ringgit yang dimiliki Azmin dan isteri, Shamsidar Taharin, walaupun hanya bergaji RM2,442 sebulan selaku setiausaha sulit ketika itu.

Dakwanya, penglibatan Anwar dalam kes rasuah Ahli Parlimen Gombak dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didedahkan sendiri oleh bekas pegawai kanan BPR yang bertanggungjawab menyiasat kes tersebut dalam satu pertemuan di London.

Katanya, satu fail sulit bertarikh 15 Mei 1995 yang diserahkan bekas pegawai kanan BPR itu kepadanya jelas menunjukkan Azmin memiliki kekayaan yang tidak seimbang berbanding pendapatannya selaku penjawat awam dan ia disokong pula dengan bukti pemilikan saham oleh Shamsidar bernilai lebih RM7 juta.

Antara kekayaan Azmin pada ketika itu dakwa Raja Petra adalah memiliki sebuah kereta mewah BMW 325i (RM160,529), Proton Perdana 2.0 SE (RM80,767), rumah banglo dua tingkat di Setapak (RM284,118), rumah berkembar di Taman Melawati (RM210,000) serta sejumlah 1,000 unit saham dalam Hicom.

"Selain itu Azmin juga memiliki dua buah kereta lagi iaitu Proton Wira 1.6 Xli dan Proton Satria 1.6 Xli manakala pemeriksaan ke atas salah satu akuan bank Shamsidar mendapati terdapat kemasukan deposit cek berjumlah RM7.2 juta serta wang tunai bernilai RM708,800 dari November 1992 hingga Mei 1995.

"Tidak terkecuali siasatan BPR juga mendapati terdapat kemasukan cek dari bank-bank tempatan ke atas akuan milik Shamsidar berjumlah RM628,552 selain baki dalam akaun bank beliau yang pernah satu ketika mencecah angka lebih RM300,000," katanya sebagaimana dipetik dari portal http://www.malaysia-today.net hari ini.


Dalam pada itu, semakan Utusan Malaysia ke atas fail sulit yang dimuat naik Raja Petra mendapati laporan hasil siasatan Pegawai Siasatan, Cawangan Siasatan Am, Ibu Pejabat BPR menyarankan supaya tindakan tatatertib diambil ke atas Azmin kerana terbukti beliau memiliki kekayaan tidak seimbang.

"Hasil daripada siasatan yang dibuat mendapati jumlah perbelanjaan yang dibuat oleh Azmin dan isterinya adalah jauh tidak seimbang terutama bagi tahun 1993 dan 1994. Hasil siasatan setakat ini juga mendapati isteri Azmin terlibat dalam pembelian saham bernilai jutaan ringgit sedangkan Shamsidar tidak bekerja.

"Memandangkan jumlah perbelanjaan yang dibuat Azmin jauh tidak seimbang, saya syaki wang dan harta dimiliki datang dari hasil perlakuan rasuah. Saya cadangkan Azmin diambil tindakan tatatertib," lapor pegawai berkenaan tetapi BPR tidak mengarahkan sebarang tindakan lanjut diambil ke atas Azmin.

Sementara itu, dalam kenyataannya, bekas pegawai kanan BPR yang bertanggungjawab mendedahkan segala fail sulit berkenaan kepada Raja Petra pula berkata, hanya orang yang pekak, buta serta tuli sahaja yang sengaja mengatakan segala cerita tentang rasuah membabitkan Azmin hanya suatu rekaan atau konspirasi.

Di samping itu, beliau turut menegaskan, perbuatan pegawai kanan BPR mengarah siasatan ke atas Azmin dihentikan melanggar undang-undang jenayah di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan kerana beliau tiada hak untuk mengarah melainkan arahan pendakwaraya.

"Semasa siasatan dibuat gaji Azmin hanya RM2,442 sebulan tetapi mampu menjelaskan bayaran bulan rumah di Setapak sebanyak RM3,376 dan rumah di Taman Melawati sebanyak RM1,110. Jumlah bayaran ini sahaja menunjukkan hutang Azmin melebihi gaji. Di mana Azmin dapat wang tambahan untuk hutang ini?

"Ini belum masuk bayaran deposit yang dibuat ke atas rumah dan kereta, bayaran bulan kereta BMW berjumlah RM875 dan Proton Perdana pula RM700 sebulan. Bukankah ini sahaja sudah mencukupi untuk menunjukkan Azmin mempunyai pendapatan yang lain," katanya juga dipetik dari portal Malaysia Today.-UMO

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan