Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Khamis, Januari 19, 2012
Sehebat mana para peguam mempertahankan manusia 'hebat' bernama Anwar, Saiful juga berhak mendapat keadilan yang sewajarnya!
Benarkah Anwar Ibrahim manusia hebat. Ada yang bersetuju, tidak kurang juga menolak. Namun kalau dilihat daripada reaksi selepas pembebasannya, boleh juga dikatakan beliau manusia hebat. Manakan tidak, dunia memberi puji-pujian. Pertubuhan bukan kerajaan malah duta-duta asing mengalu-alukan keputusan itu. Hanya orang hebat mendapat perhatian seumpama itu. Apa lagi kalau perhatian datangnya daripada pertubuhan yang mewakili kumpulan gay, tentu agak luar biasa.
Rata-rata yang memuji memberi penghargaan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang hakimnya mendapati tidak cukup bukti untuk mensabitkan Anwar bersalah. Mereka percaya sistem kehakiman di negara ini bebas. Tiada sebarang campur tangan mana-mana pihak. Tiada juga plot disusun untuk menyumbat Anwar di dalam penjara.
Tetapi mengapa dalam sibuk-sibuk orang luar mengiktiraf terpisahnya eksekutif, kehakiman dan legislatif di negara ini, ada suara di kalangan orang Anwar sendiri tidak mahu kes itu dibawa ke peringkat rayuan. Bukankah pencarian keadilan itu tidak ada hadnya, malah prinsip menjunjung keadilan itu tentunya melengkari dunia guaman.
Memang agak pelik tetapi benar. Peguam-peguam hebat seperti Karpal Singh mahu menghentikan proses keadilan setakat di Mahkamah Tinggi. Begitu juga dengan Majlis Peguam. Sedangkan peguam itu dan rakan-rakannya memang terkenal dengan kegigihan mengheret kes sehingga ke Mahkamah Persekutuan.
Cuba lihat timbunan fail di mahkamah, peguam mana yang namanya terkenal mengheret kes sehingga ke peringkat tertinggi? Peguam mana yang berjuang-juang habis-habisan membawa kes sehingga ke Mahkamah Persekutuan demi menegakkan keadilan? Waima ada celah-celah atau lubang kecil mereka akan menyelinap untuk memastikan ruang ke peringkat rayuan dan seterusnya tidak dinafikan.
Tentunya semua orang ingat kes Anwar sebelum ini. Ke peringkat mana kes tersebut. Ketika itu tidak timbul pula soal menghabiskan duit rakyat. Tidak juga berbangkit nasihat kepada pejabat Peguam Negara supaya menumpukan kepakaran yang ada untuk menangani kes-kes jenayah yang lebih serius.
Bagi barisan peguam itu, tidak mengapa menangguh kes berkali-kali. Tidak kisah membuang masa. Tidak ada ruginya duit rakyat untuk membawa kes ke peringkat paling tinggi.
Bagi kumpulan itu memperjuangkan keadilan mesti ke peringkat teratas hatta tidak mustahil sehingga memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong. Dan sememangnya itulah proses mengangkat keadilan yang sebenar.
Tetapi apabila Anwar dibebaskan, proses mengangkat keadilan kepada pihak pengadu iaitu Saiful Bukhari Azlan cuba dihadkan. Sedangkan pihak tertuduh diberi kebenaran menangguhkan kes sebanyak 55 kali. Dibenarkan mengheret kes sehingga hampir tiga tahun.
Adakah kehebatan Anwar menyebabkan Karpal, Majlis Peguam dan beberapa pihak lagi terasa bahawa mereka sebenarnya tidak kuat? Rata-rata yang memuji pembebasan dan pelepasan Anwar langsung tidak menyebut sumbangan serta peranan peguam-peguam Anwar.
Yang dipuji adalah hakim. Hakim tidak berpihak. Hakim mengangkat kebenaran. Orang luar memuji mahkamah sebagai bebas, malah persepsi negatif terhadap sistem keadilan di negara ini yang sebelum itu telah diwarnahitamkan oleh Anwar dan penyokongnya bertukar putih.
Salahkah jika mahkamah yang dilihat saksama dan bebas itu menjadi platform untuk pasukan pendakwaan terus mencari keadilan? Bayangkan betapa suci dan murninya imej Anwar jika didapati tidak bersalah di peringkat mana juga beliau dibicarakan.
Baik di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan. Tentunya para peguam Anwar akan berbangga dengan kehebatan mereka berhujah mempertahankan kebenaran untuk anak guam. Tentunya penyokong-penyokong Anwar akan lebih terpesona lantaran pemimpin mereka berani merentasi proses keadilan sebagaimana yang pernah dilalui sebelum ini.
Tetapi peguam dan penyokong Anwar tidak mahu semua itu. Karpal sendiri merumuskan tempoh hampir tiga tahun yang dilalui terlalu lama. Tetapi mungkin Karpal terlupa - siapa yang mengheret kes tersebut sehingga menjangkau satu tempoh yang hakikatnya amat menyeksa banyak pihak.
Tidak mungkin hakim, jauh sekali pasukan pendakwaan mahu berbuat begitu. Penyokong Anwar juga lupa siapa sebenarnya yang membuang duit rakyat dengan memohon penangguhan demi penangguhan.
Tetapi Anwar masih dilihat hebat sehinggakan barisan peguamnya tidak mahu kes tersebut dibawa ke peringkat rayuan. Adakah disebabkan Karpal sendiri sudah letih dan penat untuk mempertahankan pemimpin yang hebat itu.
Tentunya proses yang panjang akan dilalui sekali lagi jika kes tersebut dibawa ke Mahkamah Rayuan. Bermakna barisan peguam Anwar mesti bekerja keras membuktikan bahawa anak guam mereka tidak melakukan jenayah liwat. Apatah lagi dalam hujah-hujah mereka sebelum ini tidak dinyata secara terang-terangan bahawa Anwar tidak meliwat.
Sebaliknya hujah berkisar kepada soal mengapa Saiful Bukhari tidak bertindak itu dan ini termasuk tidak melarikan diri semasa Anwar ingin melakukan perbuatan tersebut terhadapnya.
Tentunya untuk mempertahankan manusia yang hebat menuntut peguam yang hebat juga. Tetapi jika peguam itu sendiri mahu berhenti berjuang setakat di Mahkamah Tinggi semata-mata kerana anak guam mereka dibebaskan lantaran tidak cukup bukti, tentu ada makna di sebaliknya.
Sama ada Karpal sudah terlalu penat menyongsong timbunan fail ke mahkamah sejak kes liwat pertama dahulu tetapi jasanya tidak dihargai, atau Karpal sendiri tahu cerita sebenar di sebalik kes-kes yang diperjuangkannya.
Semalam bapa Mohd Saiful Bukhari dalam satu kenyataan masih terus berharap agar Yang Berbahagia Tan Sri Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya dapat memfailkan Notis Rayuan keatas keputusan Mahkamah Tinggi pada 9hb Januari yang lepas.
Beliau melahirkan kerisauan kerana sehingga ke hari ini tiada perkembangan berkenaan pemfailan rayuan tersebut oleh kerana beliau percaya tempoh masa untuk memfailkan Notis Rayuan tersebut hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Beliau masih menaruh harapan yang tinggi agar Yang Berbahagia Peguam Negara akan mengambil pertimbangan yang sewajarnya didalam pemfailan Notis Rayuan tersebut.
Penulis juga percaya hak untuk Saiful sebagai seorang warganegara dan rakyat yang menjunjung Perlembagaan Malaysia untuk melalui proses Rayuan dan hak untuk aduan beliau diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Yang Tertinggi tidak akan diabaikan dan tidak dinafikan oleh pihak Yang Berbahagia Peguam Negara.
Wallahuallam.
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan