Selasa, Januari 17, 2012

MB Khalid GAGAL lagi - Panik dengan kunjungan PM ke Kompleks PKNS, Shah Alam!


Lebih baik ambil alih semula kerajaan negeri! Begitulah kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak semasa mengadakan pertemuan dengan peniaga/penyewa premis perniagaan di Kompleks PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor), Shah Alam pada hari Jumaat lalu.

Ada cadangan supaya Kerajaan Pusat mengambil alih kompleks itu bagi menjaga kebajikan peniaga/penyewa berikutan cadangan kenaikan kadar sewa antara 70 hingga 100 peratus.

Jika dulu kadar sewa RM6,000 tetapi dengan kadar baru itu, ia meningkat kepada RM12,000. Bagaimanapun kata Perdana Menteri (PM), jika diambil alih, banyak syarat akan dikenakan kerajaan negeri yang diterajui DAP-PKR-Pas (3P) dan baginya adalah lebih mudah masalah itu diselesaikan dengan mengambil alih kerajaan negeri. Memang benar kata PM.

Kalau setakat ambil alih kompleks, akan banyak syarat yang dikenakan. Masalah mungkin tidak selesai atau sukar diselesaikan. Bagaimanapun PM berjanji akan membantu mengurangkan beban peniaga/penyewa termasuk menarik kunjungan para pelancong.

Sekurang-kurangnya dengan langkah itu, kebajikan penyewa di kompleks itu akan terbela. Tetapi sesuatu yang menarik, pada hari yang sama, muncul pula kenyataan PKNS yang mengumumkan dana bernilai RM3 juta bagi membantu peniaga di kompleks itu meningkatkan daya saing mereka.

Menurut laporan Bernama, Pengurus Besar PKNS Othman Omar berkata, dana itu akan disalur menerusi Perbadanan Menteri Besar secara berperingkat kepada peniaga yang rugi dalam tempoh enam bulan lepas.

PKNS juga akan melabur hampir RM8 juta dalam usaha menambah baik kompleks itu, termasuk menyediakan sebuah gelanggang futsal di tingkat empat. Ada lagi! PKNS juga membuat perancangan baru termasuk meningkatkan daya saing dan memberi nafas baru kepada 400 peniaga yang menyewa.

Apabila perancangan itu dilaksanakan, PKNS menjangka mampu menarik 30 peratus lebih ramai pengunjung ke kompleks berkenaan dan sekali gus meningkatkan pendapatan peniaga. PKNS juga komited mencari jalan penyelesaian terbaik dengan peniaga berhubung isu kenaikan sewa baru-baru ini.

Begitulah pantasnya PKNS bertindak apabila PM berkunjung ke sana. Tidak pasti pada hari berkenaan siapa dulu yang 'datang bersuara' bagi menjaga kebajikan peniaga itu, sama ada PM atau PKNS.

Kalau keprihatinan PM yang datang dulu, maka ada sesuatu yang tak kena di sebalik kenyataan PKNS itu. Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar dan Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam bolehlah lihat masalah ini kerana isu ini adalah isu lama.

Kalaulah kenyataan PKNS itu pula yang datang dulu, maka kenapa baru disuarakan pada hari lawatan PM? Apa pun, diharapkan dua kenyataan tersebut akan membantu 'memulihkan' kompleks itu. Yang penting, kedua- dua pihak ikhlas untuk menjaga kebajikan peniaga-peniaga ini. Diharapkan masalah lain yang berkaitan kebajikan rakyat tidak dijadikan 'mainan politik'.

Rakyat tidak mahu kerana politik, kebajikan mereka dipermainkan. Isu sampah, jalan berlubang, masalah air, rumput tidak dipotong dan sebagainya jangan dijadikan bahan untuk menunjukkan keegoan berpolitik.

Jangan kerana sibuk berpolitik untuk menawan Putrajaya atau mempertahankannya, kebajikan rakyat tidak terurus. Kalau benar ada ugutan berkaitan kerja-kerja mengutip sampah di Shah Alam, lakukan siasatan, bukan menuding jari ke arah orang lain.

Memang menjadi hak kerajaan negeri untuk menamatkan kontrak Alam Flora tetapi perubahan itu biarlah ke arah yang lebih baik. Kata orang berhijrah ke arah kebaikan. Jika pembangkang yang menggabungkan DAP-PKR- Pas menganggap mereka lebih baik daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa memerintah Selangor, maka buktikannya. Dalam soal sampah misalnya, kita mahu melihat perkhidmatan kontraktor yang dilantik lebih baik, cekap dan cepat berbanding sebelumnya.

Bukan setakat kutipan sampah lebih cekap tetapi juga penggunaan kenderaan yang mengangkut sampah juga perlu diberi perhatian. Bukannya menggunakan kenderaan seperti lori perabot atau lori surat khabar lama untuk mengutip sampah.

Semalam, ketika melintasi kawasan perumahan Impian Putra dan Bandar Seri Putra berhampiran Bangi Lama, kelihatan lalang dan rumput yang semakin panjang, hampir menyamai pokok-pokok bunga hiasan yang ditanam.

Di satu kawasan, jalan juga berlubang kerana banyak lori pasir dan simen melalui kawasan berkenaan. Menurut rakan- rakan di situ, sudah lama lalang dan rumput itu tidak diuruskan. Kata seorang rakan, kalau gajah sembunyi pun tak nampak.

Kalau gajah masih okey tetapi kalau penagih, penyamun, atau perogol macam mana? Tidak pasti tanggungjawab siapa yang perlu memotong rumput dan lalang itu, sama ada pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) atau pihak pemaju.

Tetapi kata seorang pemotong rumput yang diupah pemaju melakukan kerja-kerja itu di kawasan perumahan memberitahu, rumput atau lalang di pinggir jalan bukan tanggungjawab dia. Tetapi kalau diupah mungkin dia boleh melakukannya.

Wakil rakyat yang mewakili rakyat dan ahli majlis yang mewakili PBT tolonglah pantau keadaan ini demi kesejahteraan rakyat. Ini kerana lalang dan rumput yang tidak terurus itu bukan sahaja menyakitkan mata memandang (walaupun hijau) tetapi juga boleh mengundang bahaya.

Lebih- lebih lagi jika kawasan begini menjadi laluan anak- anak kita berjalan kaki berulang alik ke sekolah pada awal pagi dan pulang menjelang senja. Penduduk taman perumahan yang tidak terlepas daripada membayar cukai pintu dan cukai tanah mengharapkan bayaran itu 'dikembalikan' dalam bentuk sampah dikutip, rumput/ lalang dipotong, jalan diperbaiki demi kebersihan alam sekeliling.

Menjaga kebajikan bukan sekadar menjanjikan wang tunai RM100 untuk pelbagai tujuan itu ini atau menghulurkan barang makanan tetapi ia lebih besar daripada itu. Memang ramai yang hanya melihat RM dan barang keperluan sebagai kebajikan tanpa menyedari banyak lagi yang boleh dikaitkan dengan kebajikan.

Contohnya kebajikan yang dilakukan oleh kerajaan BN untuk rakyat melalui pelbagai subsidi dan bantuan sama ada secara langsung atau tidak langsung, sama ada yang boleh dilihat atau tidak mampu kelihatan pada mata kasar. Justeru hayatilah konsep kebajikan yang sebenarnya, jangan sekadar menjadikan kebajikan sebagai slogan politik demi kelangsungan hidup parti.










Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan