Isnin, Disember 05, 2011

'Apakah bila kita balik, kita akan berubah?'


Pelbagai seruan dan laungan kita dengar sehari dua ini sempena Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung di PWTC. Banyak tekak yang serak kerana ingin mengatasi desibel penceramah sebelumnya.

Tidak ada bantahan yang perubahan mental, anjakan paradigma yang diperlukan daripada ahli UMNO. Kalau dulu kita kata kena berubah, kini kita kata transform.

Soalnya, apakah bila kita balik ke kawasan kita, cawangan kita, bahagian kita, kita akan berubah? Misalnya yang ingin merebut sesuatu jawatan tak kiralah jawatan apa, sanggup beralah beri pada orang lain yang kita fikir lebih layak untuk memimpin? Apakah amalan politik wang yang semua orang tahu entah dari mana datangnya akan dibelanjakan untuk memenangi sesuatu jawatan akan berhenti?

Katakanlah seseorang yang tidak terpilih jadi calon Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 ini akan terus menyokong parti seperti yang dikehendaki pucuk pimpinan? Dan tidak terus mencah keting atau sabotaj sesiapa yang terpilih?

Itu adalah utopia kerana hari ini pun kita boleh lihat siapa yang dulu ada, sekarang dah tak ada dan dah tak ada langsung.

Walaupun keputusan muktamad di tangan Presiden parti, lazimnya sebelum sampai di pucuk pimpinan pun, nasib seseorang itu akan tamat. Dia ada selisih sikit dengan orang tertentu, memanglah namanya tidak akan naik.

Usah kira jasa bakti, tungkus lumus yang dicurahkannya, itu tak penting. Yang penting sehaluan atau tidak. Kalau tidak sehaluan, akan dihumban keluar. Yang penting sebulu.

Zaman sekarang ini banyak warlords yang call the shots dan power brokers di belakang tabir. Mereka yang mempunyai aspirasi hendak jadi calon akan terdedah dengan tindak-tanduk "power brokers" ini.

Semboyan perang sudah dilaungkan maka tawar-menawar akan bermula. Sebenarnya semboyan perang patutnya kepada diri ahli-ahli sendiri supaya perubahan diri yang diceritakan tadi berlaku. Apakah seruan dan laungan seminggu ini akan mengubah sikap ahli-ahli?

Ini mengingatkan saya kepada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila beliau seorang diri berceramah selama tiga hari tidak berhenti kepada penjawat awam, ahli korporat, pegawai kanan kerajaan dan menteri sekalipun di beberapa tempat kem Biro Tata Negara di seluruh negara hanya untuk mengubah pemikiran dan sikap.

Saya masih ingat yang saya diperlukan hadir (tidak ada pilihan) di Langkawi dan bersama-sama saya di katil sebelah ialah Anwar Ibrahim dan di katil atas ialah Tan Sri Hamid Othman. Tidak ada privacy di bilik air, semua diminta lupa akan rentangan kepada jawatan masing-masing.

Selama tiga hari itu, melakukan riadah diketuai oleh bekas ketua komando yang tengok kita macam nak telan. Semasa bersenam, kita kena bawa telur sebiji dan telur tidak boleh pecah, kalau pecah digantikan batu bata. Aktiviti merentas desa dan mendaki bukit bagi yang sihat juga dimasukkan diikuti dengan ceramah dari pagi sampai malam, rehat untuk makan dan solat sahaja. Satu orang saja yang berceramah.

Hasilnya Tun sendiri mengaku dia gagal mengubah pemikiran orang Melayu.

Ahli UMNO atau orang Melayu kena melihat lebih daripada apa yang diperkatakan apabila tiba sahaja perhimpunan agung parti. Fitnah yang terus ditaburkan oleh pihak pembangkang perlu dianggap sebagai lumrah pembangkang, biadab, kurang ajar, tak bermaruah, berlumuran dengan skandal dan benak otak. Kita kena letak mereka ini sebelah dan cepat menangkis fitnah dan cerekarama mereka.

Orang Melayu kena melihat di sekeliling mereka, apakah persekitaran-persekitaran yang mengelilingi mereka dari segi ekonomi, fabrik sosial yang semakin rapuh, teknologi yang bergerak pantas yang tidak semestinya memberi kelebihan kepada yang tidak celik.

Yang bermaklumat berkuasa dan menggunakan kecanggihan teknologi untuk menguasai tanpa disedari. Perubahan perlu berlaku sama ada kita suka atau tidak dan kadang kala langkah yang kita ambil itu salah dan kita menerima padahnya seperti 2008 dahulu.

Kita patut sudah tahu secara terperinci apa yang menyebabkan kita kalah begitu teruk selain daripada kepimpinan yang lemah. Kini, ketika kita di ambang satu lagi pilihan raya umum apakah kita sudah siap sedia dengan segala analisis dan fakta yang menyebabkan kekalahan tempoh hari.

Ubat yang pahit kadang kala boleh menyembuhkan penyakit.

Oleh : DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur ( kini Bursa Malaysia )

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan