Selasa, November 15, 2011

Seksualiti Merdeka - Benarkah ada agenda tersirat?

Akhirnya, program Seksualiti Merdeka yang sepatutnya berlangsung dari 9 November hingga 13 November dibatalkan selepas mendapat tentangan keras banyak pihak. Walaupun dari satu sudut pembatalan tersebut dialu-alukan, namun keberanian pihak-pihak tertentu menganjurkan program yang bertentangan dengan semua agama di negara ini dan menyinggung perasaan umat Islam tetap menjadi persoalan.

Biarpun pihak penganjur cuba mempertahankan penganjuran acara yang dianggap cukup asing bagi rakyat negara ini dengan alasan ia hanyalah berbentuk forum bagi membincangkan hak golongan Lesbian, Biseksual, Gay dan Transgender (LGBT), namun hujah itu masih boleh dipersoalkan.

Ini memandangkan golongan bijak pandai yang terlibat dalam penganjuran itu termasuklah ada antara mereka yang beragama Islam sudah pasti memahami sentimen rakyat negara ini dan mengetahui apa reaksinya terhadap tindakan yang dianggap membawa budaya songsang tersebut.

Namun begitu kita tidak harus hairan kerana kebanyakan mereka yang terlibat adalah dari kumpulan yang selama ini menunjukkan mereka menegakkan hak asasi manusia, kebebasan dan pematuhan pada undang-undang, tentunya menurut tafsiran mereka.

Dan kita juga tidak harus lupa bahawa ini bukanlah kali pertama kelompok seumpama itu cuba menguji kesabaran sebahagian besar rakyat terutamanya umat Islam kerana ada antara mereka pernah menganjurkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang menyokong murtad.

Persoalannya kenapakah seolah-olah wujud satu keberanian luar biasa di kalangan golongan tertentu bagi menganjurkan program-program yang mereka tahu terang-terang akan mencetuskan bantahan dan polemik.

Apakah ia bermotif politik? Atau mereka ingin mengambil kesempatan dengan alasan bahawa sekarang adalah masa sesuai untuk memperjuangkan kebebasan dalam apa juga perkara.

Sebab itulah penganjur Seksualiti Merdeka ini tidak boleh marah dengan pelbagai tafsiran yang dibuat berhubung program berkenaan kerana mereka sendiri yang mencari fasal kerana menganjurkan satu acara yang sama sekali tidak boleh diterima oleh hampir keseluruhan rakyat Malaysia.

Ini jelas apabila pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang agama bangkit menentang kerana mereka merasakan bahawa perjuangan dalam atas nama kebebasan terhadap satu program yang dianggap songsang ini tidak wajar dibiarkan.

Seperti mana dihujahkan oleh banyak pihak memperjuangkan kebebasan dan menegakkan hak asasi manusia sememangnya satu perkara yang perlu disokong tetapi biarlah ia bertempat dan betul caranya.

Langkah untuk memperjuangkan hak sekelompok manusia yang sengaja memilih jalan songsang dalam soal hubungan seks bukanlah satu kebebasan tetapi hanya akan membawa kemudaratan kepada masyarakat negara ini yang selama ini terkenal dengan pegangan agama dan adat resam mereka.

Sebab itulah ketika diminta mengulas perkara ini, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd.Noor membangkitkan apakah agenda tersirat di sebalik penganjuran program Seksualiti Merdeka tersebut.

Ketika dihubungi beliau berkata, ‘‘Ia bukan sahaja soal seks, ia soal agenda terancang untuk merosakkan negara asas negara yang kukuh dengan nilai agama dan budaya sebab itulah ada banyak dana asing untuk NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang terlibat.”

Malahan Ezam juga secara terbuka mempersoalkan kenapa begitu banyak dana asing disalurkan kepada sebuah NGO di Malaysia dalam tempoh 10 tahun ini. Mungkin sekali lagi, NGO-NGO terlibat akan menafikan apa yang diperkatakan oleh Ezam namun persoalannya kenapakah berlakunya promosi secara terbuka dan meluas?

Malahan lokasi untuk mengadakan pameran program itu juga dibuat di tempat yang menjadi tumpuan ramai iaitu Pasar Budaya atau Central Market. Jika penganjur benar-benar ikhlas dan memikirkan secara mendalam implikasinya terhadap tindakan itu sudah tentulah mereka tidak memilih kawasan berkenaan.

‘‘Kita juga mesti perhatikan strategi provokasi yang digunakan. Memang program Seksualiti Merdeka ini sudah bertahun-tahun diadakan tetapi mengapa sekarang sengaja dibuat besar- besaran? Apakah ini strategi untuk mewujudkan suasana tegang,” tanya beliau.

Atas sebab itulah Ezam berpendapat, semua ini seolah-olah satu perancangan menjelang pilihan raya seperti mana mereka menganjurkan perhimpunan haram Bersih yang menghuru-harakan ibu negara baru-baru ini.

Menyentuh soal pilihan raya ini, salah seorang penganjur program Seksualiti Merdeka memberitahu sebuah stesen radio bahawa mereka beranggapan bahawa tindakan ke atas penganjuran program itu bermotifkan politik dan bukan kerana bantahan orang Islam.

Kenyataan itu dengan jelas menunjukkan bahawa penganjur tidak mahu mengakui kesilapan mereka menganjurkan program itu sebaliknya menuding jari menyalahkan kerajaan yang melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tegas mengharamkan program tersebut.

Dasar profesional

Polis bertindak atas dasar profesional memandangkan program budaya songsang tersebut telah mendapat bantahan meluas pelbagai pihak dari seluruh negara.

Dan perlu diperingatkan sekali lagi bahawa ia bukanlah datang daripada pertubuhan Islam sahaja, malahan juga daripada agama lain sehinggakan seorang tokoh Kristian menganggap program tersebut adalah ‘kerja gila’.

Dalam erti kata lain, tidak ada unsur politik dalam tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, kecualilah ada pihak yang sengaja mahu mempolitikkan tindakan tegas pihak berkuasa itu.

Apa yang anehnya, kenapakah mereka berani menganjurkan satu program yang melibatkan pelakunya boleh didakwa atas kesalahan jenayah?

Ini ditegaskan oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang menolak program Seksualiti Merdeka ada kena-mengena dengan hak asasi manusia kerana ia jelas merupakan satu jenayah.

Ini kerana kata beliau, program itu menyalahi undang-undang seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 377A-D yang jika sabit kesalahan, pesalahnya boleh dihukum penjara dan sebatan.

“Oleh itu tidak timbul soal hak asasi manusia atau kebebasan amalan seks. Melakukan jenayah, termasuk mempromosi perlakuan jenayah tidak termasuk dalam ruang-lingkup hak asasi manusia. katanya dalam blognya di http://zul4kulim.blogspot.com.

Kalaulah hujah Zulkifli hendak diambil kira apakah selepas ini akan ada mana-mana kumpulan yang akan tampil memperjuangkan agar kesalahan meliwat dibatalkan kononnya atas nama hak asasi manusia.

Sedangkan berdasarkan hujah Zulkifli yang juga seorang peguam, ‘‘Amalan seks songsang dan luar tabii ini adalah satu kesalahan jenayah di dalam peruntukan undang-undang negara ini. Seksyen 377A-D Kanun Kesiksaan memperuntukkan (bahawa setiap) pengamal seks songsang dan luar tabii ini, jika sabit kesalahan hendaklah dihukum tidak melebihi 20 tahun penjara ataupun sebatan”, katanya.

Berdasarkan hujah berkenaan, apa lagi yang mahu dikatakan oleh penganjur program itu. Mereka bukannya calang-calang individu, masing- masing cukup professional dalam bidang tertentu termasuklah undang-undang.

Apa yang lebih menghairan dan mengecewakan umat Islam apabila ada individu dan NGO Islam yang sanggup bersekongkol menyokong program ini atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.

Kelompok ini yang terdiri daripada golongan cerdik pandai dan sering kali juga cuba menunjukkan kepandaian mereka berhubung isu-isu berkaitan Islam perlu diperingatkan mengenai firman Allah dalam surah Al-A’raaf ayat 81-84 berhubung peristiwa kaum Nabi Luth yang mengamalkan homoseksual.

Dan mereka juga perlu ingat bahawa Rasulullah SAW bersabda; ‘‘Laki-laki tidak boleh melihat aurat laki-laki. Dan perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan. Laki-laki tidak boleh berkumpul dengan laki-laki dalam satu kain. Dan perempuan tidak boleh berkumpul dengan perempuan dalam satu kain.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Abud Dawud dan Tirmidzi)

Oleh itu kenapakah mereka perlu menyokong program Seksualiti Merdeka tersebut yang jelas-jelas bertentangan dengan perintah Allah dan Rasulullah SAW?

Apa pun golongan yang terlalu teruja untuk memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan ini tidak boleh dibiarkan melepasi had yang ditetapkan. Ia kerana perjuangan kebebasan tanpa had boleh mengundang bahaya kepada negara. Apatah lagi jika ia dilihat mempunyai agenda tersirat seperti mana dipersoalkan oleh Ezam dan Zulkifli.

Zulkiflee Bakar
Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan