Khamis, November 24, 2011

DUN Sarawak dengan Selangor berbeza : Noh Omar!


Siaran Akhbar

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu tidak menjadikan Pilihan Raya Negeri Sarawak sebagai contoh untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kerana hanya memperlihatkan pengetahuannya yang cetek.

Bagi saya, agak menghairankan apabila Abdul Khalid sebagai seorang pemimpin Kerajaan Negeri tidak memahami perkara asas mengenai pembubaran Dun dengan menjadikan Sarawak sebagai perbandingan.

‘Tarikh luput’ DUN Sarawak berakhir pada 21 Julai tahun ini manakala tarikh akhir bagi pembubaran Parlimen adalah pada 24 April 2013 dan negeri itu baru sekali mengadakan Sidang Dun.

Contoh yang diberikan Abdul Khalid itu tidak masuk akal kerana tarikh tamat DUN di negeri itu tidak sama, bezanya hampir dua tahun dengan pembubaran Parlimen. Negeri itu pula baru sahaja selesai pilihan raya negeri, takkan hendak dibubarkan.

Kalau buat dua kali pilihan raya, kos akan lebih tinggi dan menyusahkan rakyat untuk mengundi. Abdul Khalid sepatutnya mengikut langkah Kerajaan Kelantan yang turut membubarkan Dun sama seperti tarikh pembubaran Parlimen sejak Pas memerintah negeri itu.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sebuah akhbar yang menegaskan pendirian bahawa Selangor tetap tidak akan membubarkan DUN sehingga Jun 2012 walaupun dikritik banyak pihak.

Abdul Khalid turut mempersoalkan mengapa tindakan Sarawak yang mengumumkan pilihan raya secara berasingan sebelum ini tetapi tidak dijadikan isu sebagaimana di Selangor.

Sebelum ini beliau dilaporkan berkata, kerajaan Negeri hanya akan membubarkan DUN selepas enam bulan dari tarikh pembubaran Parlimen bagi memastikan Bajet Selangor 2012 dapat dilaksanakan pada tahun depan.

Tindakan Kerajaan Negeri pimpinan pakatan pembangkang itu jelas menunjukkan mereka takut dengan bayang-bayang sendiri kerana sudah seronok berkuasa dan tidak yakin mampu mempertahankan kemenangan di Selangor.

Rakyat memang sudah faham mengenai perbezaan Dun Sarawak dan Parlimen tetapi Abdul Khalid sengaja tidak mahu faham kerana mahu menjaga kepentingan pakatan pembangkang di negeri ini.

Sementara itu saya menyifatkan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin sebagai ‘tidak tahu berpolitik tetapi cuba berpolitik’ apabila mendakwa saya cuba menonjolkan diri dan menenggelamkan peranan Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Satim Diman.

Faekah juga tidak memahami hierarki politik tetapi mahu komen tentang politik. Dia tidak faham jawatan saya sebagai Timbalan Pengerusi Umno Selangor dan jawatan Satim sebagai Ketua Pembangkang di Dun Selangor. Masing-masing ada peranan dalam pentadbiran dan politik. Jangan komen jika tidak faham kerana hanya akan memalukan diri sendiri.

Ini tidak ada dalam hierarki PKR yang sudah terbalik songsang apabila menteri besar tiada jawatan dalam parti, sebaliknya Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali hanya menjadi wakil rakyat biasa dalam Dun.

Sebab itu ada desakan dari ahli parti itu agar Abdul Khalid diturunkan sebagai menteri besar. Perkara ini diakui Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ternyata pentadbiran Abdul Khalid semakin tidak dipercayai oleh ahli parti itu sendiri.

Datuk Seri Noh Omar
Timbalan Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO Selangor

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan