Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Isnin, September 05, 2011
Sememangnya Mat Sabu berfikiran kontot dan dangkal tafsiran!
Setelah meneliti ucapan Mohamad Sabu atau Mat Sabu dalam YouTube, sememangnya beliau adalah seorang tokoh penglipur lara politik yang sifatnya menghibur. Soal benar atau tidak fakta yang dibawanya, tidak diambil kira. Yang penting pendengar akan tidak kering gusi dengan gelak ketawa kerana cerita yang dibawanya.
Dalam menanggapi Mohd Indera yang bersubahat dengan komunis sebagai hero dan sebaliknya anggota polis yang mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong sebagai pengkhianat, terdapat elemen anarki yang tinggi dan tafsir yang songsang. Mana mungkin pendekatan membunuh manusia dianggap sebagai hero. Mana mungkin fahaman komunis yang tidak selari dengan Islam diletakkan dalam martabat tinggi.
Tidak ada alasan syarie atau syarak yang membolehkan perjuangan komunis diiktiraf sebagai perjuangan yang sah. Kafir harbi pun secara syarienya ada kedudukan dalam hukum fiqah Islam. Ini pula fahaman komunis yang menentang agama dan melakukan kekejaman dan kezaliman terhadap orang lain.
Meneliti kecenderungan Mat Sabu dalam ucapannya itu, maka elemen-elemen radikal dan revolusioner amat nyata. Apakah Mat Sabu yang mengkagumi Revolusi Iran dan Imam Khomeini ingin membawa faham dan cara tersebut ke Malaysia. Sekiranya hal ini benar ianya amat bahaya.
Semua orang Islam tahu bahawa fahaman komunis adalah bercanggah dengan Islam. Pendekatan komunis terhadap orang Islam di mana-mana amat zalim dan penuh dengan sejarah hitam. Atas rasional apa Mat Sabu mengangkat orang komunis sebagai wira sebenar. Komunisme dan pergerakan komunis mempunyai rangkaian di seluruh dunia dan bercita-cita menjadikan komunis suatu fahaman politik dan ingin menguasai dunia.
Apakah Mat Sabu pernah terbaca sejarah perjuangan Chandra Bosh di India memperjuangkan fahaman komunisnya. Apakah Mat Sabu terlupa dengan Stalin dan Lenin di Rusia dan Mao Tse Tong di China semuanya ingin membawa fahaman komunis ke seluruh dunia. Tidakkah dengan mentafsir Mohd Indera sebagai hero menyebabkan Chandra Bosh, Stalin dan Lenin serta Mao Tse Tong juga dianggap sebagai hero antarabangsa.
Di sinilah kontotnya pemikiran Mat Sabu dan dangkal tafsirnya semata-mata niat politiknya untuk memenangi hati golongan tertentu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Kenyataan Mat Sabu itu adalah suatu penghinaan yang amat jijik kerana ia berlaku ketika umat Islam berada di sepuluh hari terakhir Ramadan yang besar ertinya dalam mengukuhkan akidah dan ibadah umat. Tiba-tiba lahir suatu kenyataan yang menyatakan komunis itu sebagai pejuang sebenar. Tidakkah kenyataan ini bercanggah dengan akidah tauhid kerana fahaman komunis bercanggah dengan Islam.
Kedua, ia berlaku pada saat Malaysia sedang menghadapi ulang tahun kemerdekaan. Kenyataan itu seolah-olah menafikan sama sekali pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu seperti Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dan pasukan keselamatan negara bahawa mereka adalah pengkhianat dan bukan hero yang sebenarnya.
Kita percaya tidak semua orang Cina atau Melayu atau India yang percaya kepada fahaman dan perjuangan komunis. Pengalaman menentang komunis di Malaya (kemudian Malaysia) adalah perjuangan semua pihak khususnya orang Melayu yang beragama Islam. Banyak pengorbanan yang dilakukan oleh orang Melayu tidak saja pada zaman penjajah tetapi selepas merdeka dalam menentang angkara komunis di Malaysia.
Kalau zaman penjajah Mat Sabu mengatakan polis dan tentera adalah alat penjajah. Kalau selepas merdeka dan komunis masih ada - mereka itu alat siapa pula?
Mat Sabu akan menjawab mereka alat kepada kerajaan. Maksud Mat Sabu ialah mengajak orang ramai menentang kerajaan atau menentang UMNO. Inilah inti penglipur lara Mat Sabu sebenarnya. Tetapi mengapa nak bandingkan dengan komunis. Apakah sampai begitu kebenciannya terhadap kerajaan dan UMNO?
Apakah tidak cukup dengan label-label taghut, kafir, sekular, liberal sehingga perlu dilabel komunis pula kerana pada hemat Mat Sabu, komunis adalah hero dan orang lain adalah pengkhianat.
Kalau Mat Sabu berjaya menumbangkan kerajaan yang ada kerana mereka adalah pengkhianat, apakah Mat Sabu bila memerintah nanti akan mendukung faham komunis kerana mereka adalah hero dan bagaimana pula dengan perjuangan Islamnya sekian lama.
Mat Sabu harus mampu meneliti jejak-jejak sejarah secara waras. Mat Sabu mungkin tak pernah dengar kisah kekosongan sewaktu Jepun menyerah kalah selama 13 hari sebelum pentadbiran Tentera British sampai dari India. Ramai orang Melayu dibunuh dengan kejam dan komunis secara paksa cuba menguasai tempat-tempat strategik dalam negara ini.
Kedatangan Jepun ke Malaya sebenarnya ingin menentang penjajah British juga disamping membawa kesedaran baru "Asia untuk Orang Asia." Apakah Jepun juga boleh dianggap sebagai hero kerana Jepun menentang British dan melakukan kezaliman yang luar biasa terhadap masyarakat Tanah Melayu khususnya orang Islam.
Oleh itu pandangan Mat Sabu terhadap isu ini amat dangkal dan tafsirannya amat cetek sekali. Mengapa dikatakan begitu kerana Mat Sabu tidak meletakkan sejarah dan tafsirannya dalam perspektif yang betul. Datuk Sagor, Mat Kilau, Datuk Bahaman dan lain-lain dalam buku-buku teks sejarah Malaysia dilihat sebagai pejuang. Sumbangan tokoh-tokoh ini dan yang seumpamanya diletakkan dalam perspektif yang betul.
Begitu juga banyak kajian ilmiah dibuat terhadap Abu Bakar Bakir, Burhanuddin al Helmi dan lain-lainnya mempunyai sumbangan dalam perjuangan kemerdekaan seperti juga peranan yang dimainkan oleh Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman.
Malah tokoh seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan ada juga peranannya dalam perjuangan kemerdekaan. Sejarah adalah cerminan kisah silam dan boleh diberi dengan pelbagai tafsiran. Tetapi tafsiran biarlah munasabah dan tidak mengambil pendekatan yang ekstrem.
Yang hairannya kenyataan Mat Sabu itu tidak diberi reaksi oleh pemimipin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Karpal Singh ada membuat kenyataan yang tidak bersetuju dengan Mat Sabu. Apakah dengan Pas dan PKR mendiamkan diri itu menyatakan dua perkara. Pertama, bersetuju dengan kenyataan Mat Sabu itu atau kedua, tidak bersetuju tetapi tidak mahu berbeza dengan Mat Sabu dibimbangi ia sesuatu yang tidak bijaksana.
Yang pastinya bekas-bekas anggota polis dan tentera dalam Pas akan merasa tidak senang dengan kenyataan Mat Sabu itu. Ia tidak baik bagi Pas dan PKR. Orang bukan Melayu pun rasanya tidak akan berasa selesa dengan kenyataan Mat Sabu itu. Sebahagian besar orang Cina senang dengan sistem kapitalis laizzerfaire atau pasaran bebas yang bercanggah dengan sistem komunis. Apakah kenyataan Mat Sabu itu menemui nasib seperti kata pepatah "yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran."
Mat Sabu kena faham bahawa orang Malaysia tidaklah sebodoh yang beliau sangka. Sebahagian besar orang Malaysia ada ilmu dan sebahagiannya lagi adalah pengamat kritis tetapi ada etika dan tanggungjawab. Sekiranya Mat Sabu membuat justifikasi yang cetek dan dangkal dalam analisisnya, ia memperlihatkan integriti yang rendah terhadap pemimpin nombor dua Pas itu.
Dan sekiranya pendapat Mat Sabu dianggap benar maka seluruh tradisi akademik atau pun ilmiah dianggap tidak mempunyai nilai apa-apa. Dan sekiranya seluruh tafsiran sejarah akan diubah apabila Mat Sabu dan sekutunya berkuasa nanti (minta dijauhkan Allah) perjalanan sejarah akan menjadi kacau dan perspektif perjuangan komunis dianggap sesuatu yang unggul - pastinya bercanggah dengan Islam itu sendiri.
Apakah ini membawa petanda Mat Sabu dan kawan-kawannya akan bertukar ke arah konsep negara berkebajikan kepada liberal, pluralis, sosialis dan komunis? -UM.
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan