Sabtu, Ogos 13, 2011

JAIS : Bukan serbuan tapi hanya pemeriksaan!

Selepas lebih seminggu isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang didakwa sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya diperkatakan, pihak berkuasa agama itu hari ini menjelaskan bahawa tiada serbuan dilakukan ke atas premis itu pada 3 Ogos lalu.

Pengarah JAIS, Marzuki Hussin menegaskan, apa yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa JAIS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dream Centre hanyalah pemeriksaan untuk memastikan kehadiran orang Islam di gereja berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan itu dilakukan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 setelah menerima maklumat bahawa terdapat majlis berbuka puasa diadakan bersama majlis 'Thanksgiving Dinner' di sebuah gereja.

“Maka berdasarkan maklumat itu, satu pemeriksaan telah dibuat bersama-sama anggota polis kira-kira pukul 9.45 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Marzuki, sebenarnya tiada sebarang kekasaran atau pecah masuk dilakukan oleh penguat kuasa agensi tersebut semasa pemeriksaan di Dream Centre milik gereja berkenaan sebagaimana yang ditohmah oleh segelintir pihak.

Malah, beliau sekali lagi menegaskan bahawa tiada serbuan dilakukan ke atas premis yang dikatakan gereja itu pada malam 3 Ogos sebagaimana dilaporkan oleh sesetengah media dan pihak tertentu sebelum ini.

Menurut Marzuki, perundingan sebenarnya diadakan antara JAIS dengan pihak penganjur di luar dewan berkenaan sebelum pemeriksaan itu dilakukan, malah pasukan penguat kuasa juga telah meminta keizinan untuk masuk dan hanya dibenarkan berbuat demikian selepas majlis itu selesai pada pukul 11 malam.

“Ini membuktikan tuduhan kononnya JAIS membuat serbuan, kekasaran serta pecah masuk adalah tohmahan semata-mata. Tiada sebarang kekasaran yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa JAIS pada malam tersebut," katanya.

Marzuki kesal dan kecewa apabila banyak pihak mengatakan pemeriksaan tersebut dilakukan secara tidak beretika oleh anggota penguat kuasa JAIS.

“Pemeriksaan di dalam dewan berkenaan hanya dilakukan selepas majlis yang dihadiri seramai 100 orang itu tamat. Dalam masa lebih kurang 10 minit sahaja, anggota penguat kuasa JAIS dan polis telah diarahkan keluar dari dewan tersebut oleh pihak penganjur.

“Walaupun tindakan tersebut seolah-olah mempertikaikan kuasa JAIS dan PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang ke atas orang Islam, JAIS dan polis tidak menggunakan kuasa menahan pihak penganjur atau membuat sebarang tangkapan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan tiada sebarang tangkapan dibuat walaupun seramai 12 orang Islam didapati hadir, sebaliknya hanya butiran diri mereka diambil dan diminta untuk menghadiri sesi bimbingan dan kaunseling di JAIS.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan