Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Rabu, Ogos 17, 2011
Apa ulasan mengenai tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan hukuman bunuh keatas orang murtad?
Ulasan penulis didalam artikel sebelum ini memberitahu bahawa Enakmen Hudud di Kelantan,1993 dan Enakmen Hudud Terengganu, 2002 mengisytiharkan bahawa orang Islam yang telah murtad dan menurut enakmen tersebut mereka ini patut dikenakan hukuman mati.
Untuk pengetahuan, Haji Hadi lah yang mempengerusikan jawatankuasa bagi menggubal Rang Undang-Undang Hudud berkenaan dan juga pemimpin PAS yang lain, mengisytiharkan bahawa orang Islam yang menolak Rang Undang-Undang itu adalah murtad dan menurut Enakmen tersebut mereka ini patut dikenakan hukuman mati.
Beliau jugalah Ahli Parlimen daripada PAS pada ketika itu yang paling aktif secara berterusan cuba untuk membentangkan cadangan rang undang-undang ahli biasa di Parlimen bagi mengenakan hukuman mati atas kesalahan murtad.
Dalam penulisan seterusnya penulis mengambil petikan dari dialog Ibnu Hussin ( Ketua pengarang AT TAJDID ) mengenai ulasan sesetengah pihak yang mempertikaikan hukuman bunuh keatas orang murtad?
Ada baiknya saya membawa saudara sekalian dengan tulisan Dr. Yusuf Al Qardhawi di dalam bukunya Jariimah ar Riddah wa ‘Uquubah al Murtad. Di mana di dalamnya beliau menegaskan pendapatnya bahawa orang murtad yang telah melanggar batas tetapi tidak berusaha untuk memurtadkan masyarakat dan tidak pula membuat fitnah terhadap agamanya, cukuplah dengan menahannya dan mengadakan dialog bagi menghilangkan kesamaran dan kegelapan daripada fikirannya dengan hujjah-hujjah yang jelas dan pemulihan, sebagaimana tindakan demikian sabit dilakukan oleh Khalifah Umar al Khattab r.a. juga ia menjadi pendapat dua orang Imam yang kenamaan iaitu Ibrahim an Nakhai’ dan Sufyan ath Thauri r.a.
Memang telah nyata kepada kita bahawa al Quran tidaklah membiarkan dosa kemurtadan dan tidak pula terhadap seksaan ke atasnya secara keseluruhan. Tidak terdapat dalam as Sunnah akan sebuah hadis mengenai ‘uquubah (seksaan) ke atas orang murtad, cuma terdapat dalam beberapa buah hadis yang diterima daripada beberapa orang Sahabat Rasulullah s.a.w.
Kita tidak menafikan bahaya kemurtadan ke atas masyarakat, di mana ia dapat memisah-misah dan menghancurkan masyarakat, meletakkan masyarakat dalam fitnah yang buta, malah mengheret mereka dalam peperangan antara penduduk, membunuh hamba-hamba Allah, menghancurkan negara dan memusnahkan segala kemakmuran.
Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan lain-lain menyebut, “Siapa yang menukarkan agamanya, maka kamu bunuhlah dia.” Hadis ini dijadikan sandaran utama oleh keseluruhan ulama yang menghukumkan bunuh terhadap orang-orang yang murtad. Tetapi segolongan ulama yang menolak hukuman tersebut mempertikaikan kedudukan hadis ini. Hadis ini adalah hadis ahad. Sesetengah ulama menolak hadis ahad untuk dijadikan sandaran hukum untuk masalah seperti murtad ini sekalipun sanadnya sahih. Tidak hairanlah mereka menentang hukuman hudud terhadap golongan murtad.
Saya berpegang kepada pendapat Al Qardhawi tadi, iaitu tidak semua orang murtad dibunuh, hanya yang dihukum bunuh ialah orang murtad yang membuat kekacauan dalam negara Islam dan mengajak orang lain sama-sama keluar agama. Bagi mereka yang menganggap Malaysia bukan sebuah negara Islam, mereka tidak perlu heboh mendesak kerajaan menghukum bunuh orang murtad kerana relevennya hukuman bunuh terhadap orang murtad dikaitkan dengan penderhakaan terhadap negara Islam seperti yang dijelaskan oleh Prof Datuk Dr. Mahmood Zuhdi.
Menurut Dr. Yusuf al Qardhawi, ahli-ahli Fiqh Islam telah ijmak mengenakan seksaan ke atas orang murtad, bagaimanapun mereka berselisih tentang menentukan seksaannya. Kebanyakan mereka menghukum agar orang murtad di bunuh. Ini merupakan pendapat empat mazhab, malah pendapat lapan mazhab. Ijmak di sini bukanlah dalam masalah hukuman bunuh ke atas si murtad kerana tidak wujud kesepakatan seluruh ulama mujtahidin tentangnya.
Dalam perkara ini terdapat banyak hadis yang diriwayatkan oleh ramai para Sahabat, mereka ialah Abdullah bin Abbas, Abi Musa al Asy‘ari, Mu‘aadz bin Jabal, Ali bin Abi Talib, Uthman bin Affan, Abdullah bin Mas‘ud, ‘Aisyah, Anas bin Malik, Abi Hurairah dan Muawiyah bin Haidah.
Hadis-hadis itu terdapat dalam berlainan bentuk, contoh seperti hadis tadi, man baddala diinahu faqtuluh (sesiapa yang menukarkan agamanya maka bunuhlah dia). Ia disumberkan daripada Ibnu Abbas r.a. yang diriwayatkan oleh al Jamaah kecuali Imam Muslim. Hadis yang serupa diriwayatkan oleh Abu Hurairah di mana ia dikeluarkan oleh At Thabarani dengan isnadnya yang Hasan. Saudara boleh rujuk kepada kitab Majma’ Az Zawaa‘id susunan Al Haithami.
Manakala sumber dari Uthman bin Affan r.a. berbunyi, “… (Kecuali) seorang yang kufur selepas dia Islam, atau dia berzina selepas kahwinnya, atau dia membunuh seseorang bukan sebab dia membunuh seseorang lain (membunuh balas).” (H.R. At Tirmidzi, An Nasaa‘I dan Ibnu Majah)
Ibnu Taimiyyah r.a. telah memisahkan orang murtad kepada dua bahagian. Pertama, orang yang hanya murtad semata-mata, maka taubatnya boleh diterima. Kedua, orang murtad yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta berusaha melakukan kerosakan di bumi, taubatnya tidak diterima sebelum dia dikuasai. Saudara boleh rujuk kitab Ash Shaarim Al Masluul.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa tidaklah didapati sumber yang dipindahkan bahawa Rasulullah s.a.w. membunuh orang murtad. Juga tiadalah pula dipindahkan pendapat Ibnu Taimiyyah yang menolak dakwaan ini. Jika ini benar, maka dosa (jariimah) ini tidaklah nyata berlaku di Zaman Nabi s.a.w, sebagaimana tidaklah diseksakan seseorang yang melakukan perbuatan kaum Nabi Luth, sebabnya tidak jelas berlakunya di Zaman Nabi s.a.w.
Di samping itu menurut pendapat kebanyakan ulama hendaklah dibunuh orang murtad itu, cuma masih terdapat perbezaan pendapat dengan Umar al Khattab r.a. Abdul Razzaq, Al Baihaqi dan Ibnu Hazm memberitakan bahawa Anas r.a. kembali dari Tustar, maka dia segera datang menemui Umar, maka Umar menanyakan: “Apakah tindakan yang dilakukan ke atas enam orang keluarga Bakr bin Waa’il yang murtad, keluar dari Islam, lalu mereka menghubungi orang-orang Musyrik?”
Anas menjawab: “Wahai Amirul Mukminan, suatu kaum telah keluar daripada Islam, dan mereka telah pergi menghubungi orang-orang Musyrik, maka mereka dibunuh di medan perang.” Maka Umar r.a. pun beristirja’ dengan berkata: Sesungguhnya kita kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kita kembali.” Mendengar demikian Anas bertanya, “Bukankah tiada jalan tindakan ke atas mereka selain dibunuh?” Umar r.a. menjawab, “Ya, menurutku aku akan menunjukkan Islam kepada mereka, maka jika mereka enggan, aku sediakan untuk mereka penjara.” (H.R. Abdul Razzaq dalam Al Mushannaf dan Al Athar, Al Baihaqi, Sa‘id bin Manshur dan Ibnu Hazm).
Menurut Al Athar (berita hadis), bahawa Khalifah Umar r.a. tidaklah berpendapat bahawa hukuman bunuh itu mesti dilakukan ke atas orang murtad pada setiap keperihalan mereka. Hukuman itu mungkin digugurkan atau ditangguh, apabila wujud keadaan yang memaksakan ia digugur atau ditangguhkan.
Maksud keadaan yang memaksa atau dharurat di sini menurut Al Qardhawi ialah keadaan perang, dekatnya hubungan orang-orang yang murtad dengan orang-orang Musyrikin dan kerana takutkan fitnah ke atas mereka.
Mungkin Umar al Khattab mengqiaskan perkara ini kepada sebuah hadis yang berbunyi, “Janganlah dipotong tangan-tangan (pencuri) dalam masa peperangan.” Hadis ini juga menjadi dalil bahawa tidak semestinya hudud itu boleh dilaksanakan setiap masa dan ketika. Adakalanya boleh ditangguh.
Ini ialah kerana takutkan akibat yang mengenai pencuri yang berani, maka dia akan menghubungi musuh. Terdapat juga andaian yang lain iaitu Umar memikirkan hadis, “Siapa yang menukarkan agamanya (Islam) maka kamu bunuhlah dia,” di mana Nabi s.a.w. bersabda demikian sebagai pemimpin yang bersabda kepada umatnya dan seorang Ketua Negara bagi sebuah kerajaan, iaitu dengan pengertian bahawa ini merupakan suatu ketetapan daripada Ketetapan-ketetapan dalam Kekuasaan Meluluskan Undang-undang dan bertindak daripada Tindakan-tindakan Menurut Polisi Syarak, dan ia bukanlah satu fatwa atau apa yang perlu disampaikan mengenai agama Allah, cuma suatu perkara yang mesti dilakukan pada setiap zaman, tempat dan suasana.
Maka jadilah membunuh orang murtad dan setiap orang yang menukarkan agama itu suatu hak atau kewajipan penguasa, suatu yang khusus baginya dan suatu yang memperbaiki pemerintahannya. Maka apabila dia memerintahkan berbuat demikian, terluluslah, jika tidak, maka tidaklah terlulus.
Tindakan ini selari juga dengan pendapat tokoh-tokoh pembantu Mazhab Hanafi dan Maliki yang berpegang dengan hadis, “Siapa membunuh seorang mangsa, maka baginya alat kelengkapan (senjata dan pakaian perangnya).”
Demikian juga Mazhab Hanafiyyah yang berpegang dengan hadis, “Siapa yang menghidupkan (suatu kawasan) bumi yang kering (terbiar tanpa tuan), maka (kawasan) bumi itu menjadi kepunyaannya.”
Pendapat Umar r.a. tadi adalah menjadi pendapat Ibrahim an Nakhai’ dan juga Sufyan ath Thauri yang berkata, “Inilah pendapat yang kita ambil (pegang).” Belaiu juga pernah berkata, “Ditangguhkan (membunuh) bila anda mengharapkan dia dapat bertaubat.”
Ulama Islam tidak sependapat mengenai perkara bidaah, di antara yang berat dengan yang ringan, begitu juga dalam perkara pembidaah-pembidaah, antara yang mengajak kepada bidaah, dan yang tidak mengajak.
Selari dengan itu kata Al Qardhawi, wajiblah kita memisahkan antara perkara riddah yang berat dan juga yang ringan, juga dalam perkara orang murtad yang mengajak kepada riddah dan yang tidak mengajak.
Kemurtadan yang berat ialah seperti kemurtadan Salman Rusydi, Taslima Nasreen, di mana orang yang murtad itu menyeru kepada bidaahnya menerusi percakapan dan tulisannya, maka tindakan utama dalam perkara seperti ini ialah kita memberatkan dalam hukuman atau seksaan ke atas mereka. Hendaklah kita berpegang dengan pendapat jumhur ulama berdasarkan kepada erti lahir hadis-hadis, membasmi kejahatan dan menutup pintu fitnah (yang mengacau ketenteraman). Jika tidak, maka bolehlah kita mengambil pendapat Imam an Nakhai’ dan ath Thauri, iaitulah berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Umar Al Faruq bin al Khattab r.a.
Saya tidak berapa bersetuju dengan tulisan Hang Jebat dan Sister in Islam. Tulisan mereka kebanyakan tidak merujuk kepada pemahaman ulama-ulama muktabar terutama ulama salaf. Mereka terlalu menggunakan akal sendiri dalam menafsirkan isu undang-undang murtad ini. Tidak salah kalau saya katakan tulisan mereka terutama Sister in Islam lebih condong kepada pemikiran golongan anti-hadis dan langsung menentang apa-apa undang-undang menyekat kes-kes murtad ini. Jangan pula anggap saya menuduh mereka sebagai anti-hadis seperti mana Dr. Badrul Amin menfitnah saudara Astora.
Kassim Ahmad orang kuat anti-hadis pun ada menulis dalam Utusan Malaysia, pandangannya jauh daripada ajaran Islam yang sebenar yang mesti dirujuk kepada al Quran dan hadis Nabi s.a.w. Puak anti-hadis ini adalah duri dalam masyarakat Islam hari ini dalam menerapkan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan negara kita, biarpun segolongan pemimpin dalam kerajaan cuba memperkenalkan undang-undang untuk menyekat kes murtad ini, tapi mereka akan menentangnya habis-habisan. Golongan anti-hadis ini tidak lebih daripada alat musuh Islam untuk menghuru-harakan negara Islam.
Kita perlu juga menghormati pandangan mereka yang menolak hukuman bunuh terhadap orang murtad kerana tidak ada nas dari al Quran dan hadis sahih yang mutawatir menyebut tentangnya. Golongan yang menentang hukuman bunuh terhadap orang murtad ialah golongan yang menolak hadis-hadis sahih yang tidak mutawatir dijadikan hujjah dalam dasar syariat.
Mereka ini bukannya anti-hadis tetapi lebih berhati-hati dalam menerima sesuatu sumber yang dinamakan hadis itu. Pandangan golongan ini mungkin agak berbeza dalam banyak hal, orang yang tidak faham mungkin menganggap mereka menolak hadis, sesat dan karut. Astora Jabat adalah antara yang termasuk dalam golongan ini.
Saya melihat golongan tadi berbeza dengan golongan anti-hadis yang sekeras-kerasnya menolak diadakan sebarang udang-undang yang mengawal kes-kes murtad ini. Tidak semestinya kita adakan hukum bunuh terhadap golongan murtad ini, tapi adalah memadai dalam suasana sekarang kita mengadakan suatu undang-undang yang boleh menyekat masalah ini daripada meruncing.
Menurut Dr. Yusuf al Qardhawi, Islam tidak membenarkan membunuh orang murtad yang tidak melahirkan kemurtadannya, dan tidak pula mengajak orang turut murtad, kerana hukuman terhadap mereka ditangguhkan ke akhirat, bila mereka mati di atas kekufurannya, sebagaimana firman Allah s.w.t, “Siapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekufuran, maka sia-sialah amalan mereka di dunia dan di akhirat, sedang mereka itulah penghuni neraka, mereka akan kekal di dalamnya.” (Al Baqarah : 217).
Orang murtad yang tidak melahirkan kemurtadannya, dia dihukum secara takzir, hukuman yang bersifat mengajar yang sesuai lain pula dengan hukuman orang murtad yang sebaliknya mereka dihukum dengan hukuman hudud. Malah pada sesetengah ulama, tidak salah jika memakai pendapat Ibrahim an Nakhai’, Sufyan ath Thauri, Samsuddin al Sarakhsi dan Abu al Walid al Baji yang mengatakan si murtad tidak dibunuh.
Ada riwayat yang menyebut bahawa Ibrahim an Nakhai’ (seorang tabiin dari Iraq, meninggal dunia pada tahun 95H) berkata, “Orang murtad diminta bertaubat selama-lamanya.” Difahami daripada kata-kata ini bahawa orang murtad tidak sekali-kali dibunuh, sebaliknya dipenjara dan diperintah bertaubat sehinggalah dia bertaubat atau mati dalam penjara. Sila rujuk pada tulisan Dr. Muhd Muhsi Ghunaym dalam Jarimah ar Riddah fi al Fiqh al Islami.
Apapun yang pasti hari ini kita belum lagi melaksanakan hudud kerana suasana yang tidak memungkinkan dilaksanakan secara sekaligus. Biar saja kita mengena hukuman takzir kepada mereka dan bila hudud dilaksanakan sepenuhnya suatu hari nanti bolehlah dilaksanakan. Janganlah kita sibuk-sibuk bertelagah sesama kita tentang hukuman pancung kepada orang murtad hinggakan kita lupa tanggungjawab lain yang lebih penting lagi.
Islam bukan hanya merujuk kepada hudud semata-mata tetapi lebih daripada itu sepertimana yang dikatakan oleh Haji Hadi Awang bahawa hudud adalah 0.00001% daripada ajaran Islam. Yang mustahaknya kita perlu bersatu dengan tali persaudaraan Islam, bila tiba masa yang sesuai barulah kita laksana. Perkara ini pernah dinyatakan oleh Perdana Menteri semasa bertemu intelektual Islam di UK tidak lama dulu. Wallahu ‘alam.
"Saya berpegang kepada pendapat Al Qardhawi tadi, iaitu tidak semua orang murtad dibunuh, hanya yang dihukum bunuh ialah orang murtad yang membuat kekacauan dalam negara Islam dan mengajak orang lain sama-sama keluar agama. Bagi mereka yang menganggap Malaysia bukan sebuah negara Islam, mereka tidak perlu heboh mendesak kerajaan menghukum bunuh orang murtad kerana relevennya hukuman bunuh terhadap orang murtad dikaitkan dengan penderhakaan terhadap negara Islam seperti yang dijelaskan oleh Prof Datuk Dr. Mahmood Zuhdi."
PETIKAN DIALOG PENULIS IBNU HUSSIN (KETUA PENGARANG AT TAJDID) DARIPADA BUKU “DIALOG BERSAMA IBNU HUSSIN AL KELANTANI” TERBITAN AMANU SDN BHD.
PENGEMBLENG WACANA POLITIK ISLAM
“Ziad bin Hudair meriwayatkan bahawa Umar r.a. telah berkata kepadanya: Apakah engkau ketahui apa yang akan meruntuhkan Islam? Kata Ziad: Aku menjawab: Tidak! Beliau berkata: Islam diruntuhkan oleh kesalahan alim ulama dan perdebatan orang munafiq dengan al Kitab dan pemerintahan imam-imam yang menyesatkan.” (H/R Ad Darimi : Sahih)
“Janganlah seseorang itu menuduh seseorang yang lain dengan tuduhan kafir atau fasik, maka perbuatan itu akan kembali kepadanya sekiranya orang yang dituduh itu bukan seperti itu (bukan golongan kafir atau fasik).” [H/R Muslim dan Ahmad].
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan