Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Isnin, Mei 23, 2011
Apa lagi Anwar...!
Ramai pemimpin dan tokoh di seluruh dunia yang meletak jawatan selepas skandal seks mereka terdedah. Jumlahnya berpuluh-puluh orang yang mengambil tanggungjawab berbuat demikian atas nama integriti sama ada di negara Barat mahupun di Asia.
Terbaru, Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn, 62, berundur selepas ditahan polis berhubung serangan seksual ke atas seorang pengemas bilik di New York. (Dalam kes itu, ketegasan Amerika Syarikat wajar menjadi contoh.)
Anehnya Malaysia cukup berbeza dalam kes melibatkan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim. Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau enggan berundur sebaliknya terpaksa dipecat selepas didakwa terlibat gejala liwat tidak lama dulu.
Apabila menghadapi tuduhan liwat kedua, Anwar seperti dijangka menafikannya. Sedangkan bukti di mahkamah mendapati beliau adalah ‘lelaki Y’ yang meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan . Pun begitu, Anwar enggan meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang.
Lebih menghairankan apabila video rakaman seks pemimpin pembangkang mirip beliau bersama seorang pelacur disahkan tulen oleh pakar di Korea Selatan dan Amerika Syarikat, Anwar masih mahu menegakkan benang yang basah. Hakikatnya, beliau telah memalukan rakyat Malaysia dan umat Islam.
Belum pernah dalam sejarah dunia politik moden, pembangkang diketuai oleh seorang yang sangat buruk rekod moralnya. Kini ia berlaku di Malaysia. Sudah terbukti Anwar adalah individu dalam video itu tetapi ada lagi di kalangan kita yang boleh tertipu atau sengaja mahu ditipu. Pegangan kepada nilai kebenaran amat nipis, yang kita tidak boleh percaya itu diizinkan di Malaysia.
Pakatan pembangkang di Malaysia perlu ada kelas sebagaimana pembangkang di negara-negara lain yang masih menjunjung moral dan integriti. Kita berharap Pas yang dipimpin oleh Hadi Awang tidak akan terheret ke lembah kehinaan dengan terus bernaung di bawah ketua pembangkang seperti Anwar. Sebagai parti menggunakan label Islam, Pas mesti menjaga imej dan kesucian agama. Kita percaya Hadi, yang mendapat mandat baru sebagai Presiden, akan ada kekuatan membetulkan keadaan atau setidak-tidaknya mengelakkan Pas daripada bersubahat.
Kita juga bingung kerana pihak berkuasa enggan mendedahkan identiti sebenar pelaku dalam video itu. Memandangkan isu tersebut menjadi perhatian ramai dan ada kaitan dengan keselamatan nasional, adalah sangat mendesak untuk polis dedahkan pelakunya. Apatah lagi Anwar dalam laporan polisnya sebelum ini menafikan penglibatan beliau dalam video seks tersebut. Persoalannya lagi, apakah Anwar bercakap benar kepada polis, yang hal ini perlu dileraikan secepat mungkin bagi mengelakkan kekeliruan.
Dalam pada itu, kita menyokong cabaran Senator Mohd. Ezam Mohd. Noor agar Anwar bersama isterinya Wan Azizah selaku Presiden PKR dan anaknya, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden didesak melakukan empat perkara bagi membersihkan nama mereka.
Keempat-empat perkara itu ialah:
1. Melakukan sumpah laknat menafikan Anwar bukan lelaki dalam video seks.
2. Menjalani ujian poligraf membuktikan mereka tidak berbohong.
3. Menyaman Syazryl Eskay Abdullah.
4. Tuduh Syazryl Eskay sebagai pembohong.
Setakat ini, ketiga-tiga beranak itu enggan berbuat demikian walaupun perkara itu cukup asas dan mudah dilakukan. Mengapa perlu gentar untuk mencari kebenaran atau mereka sememangnya perlu terus berbohong. Sekali lagi, hal sebegini tidak berlaku di negara lain. Agaknya, bumi yang bertuah ini memang tempat Anwar mudah terlepas dengan pembohongannya. Wallahuallam. -UM.
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan