Selasa, Mac 01, 2011

PAS berselindung disebalik ISLAM!

Kecewa melihat pola parti politik PAS. Mereka mempunyai barisan pemimpin yang serba kalut serta pengikut yang jumud dan keliru. Mereka mengasingkan diri dengan mencipta mitos dan keperibadian yang membeza. Mereka tidak menunjukkan kemampuan untuk merancang dan melaksanakan sesuatu usaha dengan sebaik-baiknya.

Sebaliknya mereka lebih gemar menuding jari menjelek-jelekkan kelemahan orang lain. Perhatikanlah reaksi mereka apabila ‘menemui’ sebarang kelemahan atau kesilapan baru pihak yang mereka anggap musuh. Jika tidak ada mereka akan mereka-rekanya pula. Kemudian lihatlah cara mereka mempersenda-senda dan mengadu dombakan ‘penemuan’ berkenaan. Sesungguhnya mereka berdiri semata-mata di atas sentimen dan emosi. Apa yang mereka bina hanyalah tembok kebebalan dan idea yang merosakkan diri dan umat.

Jika direnungkan sedalam-dalamnya, mereka tidak lain hanyalah mangsa kepada kelemahan diri mereka sendiri. Mereka kurang ilmu dunia dan kurang pula ilmu akhirat. Mereka tidak mampu bersaing di dunia dan keliru pula jalan akhirat. Kepada mereka yang masih mempunyai ruang untuk berfikir, renungkanlah pelbagai nikmat, kemudahan dan rezeki yang dilimpahkan Allah SWT selama ini.

Lihatlah apa yang mereka miliki. Jika mereka tahu bersyukur, sudah pasti mereka akan akur dan redha bahawa apa yang telah mereka usahakan. Malah sebagai rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, mereka sebenarnya dibantu dan dibiayai lebih dari mana-mana bangsa lain di muka bumi ini. Berusahalah dengan cara yang betul untuk meningkatkan kehidupan diri dan keluarga. Buangkan sifat iri hati, ia satu sifat yang keji.

Seperti kejayaan di dunia, kejayaan hidup di akhirat juga tidak akan datang dengan mudah. PAS hanya parti politik. Parti politik dunia, alat untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa oleh segelintir manusia. Menjadi ahli kepadanya tidak termaktub dalam Rukun Islam, iaitu rukun yang perlu dipenuhi untuk menjadi seorang muslim.

Agama Islam disempurnakan Nabi Muhammad SAW serta disah dan diterima Allah SWT, Tuhan semesta alam sejak lebih seribu empat ratus tahun lalu. "….pada hari ini (di Arafah) Aku sempurnakan bagi kamu agamamu dan Aku cukupkan nikmatKu untuk mu dan Aku suka Islam menjadi agamamu" (Maksud Surah Al-Maidah, Ayat 3)

Sepanjang proses penyempurnaan ini Nabi Muhammad SAW bertungkus lumus memberi pengajaran, petunjuk dan teladan dalam setiap aspek kehidupan dari penyempurnaan ibadat sehingga kepada membina umat yang bertamadun tinggi dan mulia. Allah juga meninggalkan kepada kita sebuah mukjizat iaitu Al-Quran.

Ingatlah bahawa setiap Rasul sebelum Muhammad SAW mempunyai mukjizat dalam bentuk kebolehan atau kemampuan peribadi, yang sudah pun mereka tunjukkan kepada umat mereka. Bagaimanapun mukjizat Nabi Muhammad SAW sentiasa ada bersama kita, yang dijamin kesuciannya untuk kita jadikan rujukan dan panduan hidup sehingga akhir zaman.

Sebagai Muslim adalah menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha sedaya upaya yang mungkin untuk memahami apa yang terkandung di dalam Al-Quran itu.

Membaca tanpa memahami tidak membuahkan manfaat dan tidak akan kesampaian pula tujuan Al-Quran yang diturunkan Allah sebagai panduan hidup kita di dunia ini. Urusan pahala itu urusan Allah. Oleh itu jika tidak faham Al-Quran di dalam bahasa asalnya iaitu Arab, carilah terjemahan di dalam bahasa kita sendiri.

Melalui pembacaan dan pemahaman ini, kita mungkin dapat menilai pelbagai aspek kehidupan selaras dengan perspektif Islam sebenar tanpa dipengaruhi sebarang pihak yang bermuslihat atau berkepentingan. Islam sebagaimana yang dijelaskan Allah SWT adalah mudah lagi memudahkan. Kita boleh menganutinya dengan baik walau di mana saja kita berada, dalam keadaan apa sekalipun.

Kepada pemimpin PAS, renungkanlah kegiatan anda. Sebahagian daripada anda mungkin benar-benar naif, tetapi sebahagian lagi sebenarnya mempunyai tahap kesedaran cukup tinggi mengenai apa yang sedang anda dan kumpulan anda usahakan. Jika benar pejuang Agama Allah, serulah agama ini kepada lebih kurang empat billion manusia yang masih belum mengenal pencipta mereka. Berhentilah membuat keuntungan yang sedikit dan kerosakan yang banyak. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan