Ahad, Februari 13, 2011

MB Khalid salahguna dana negeri untuk kepentingan politik!

Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan keputusan membiayai kos guaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei mengundang kemarahan rakyat negeri Selangor. Ia merupakan rentetan kepada kemarahan rakyat apabila kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mempertikaikan pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Mengambil pendekatan media baru iaitu laman blog ADUN Sri Muda, Shuhaimi terjerat apabila beliau terlajak menyusun hujahnya sehingga terpacul perkataan yang dianggap menghina Selangor Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kira-kira 20 laporan polis dibuat ke atas Shuhaimi kerana kenyataan beliau tersebut. Jumlah laporan polis sudah cukup untuk mengukur betapa besarnya skala kemarahan rakyat. Banyak pihak tersinggung dan marah dengan kenyataan itu.

Apa yang dipertikaikan di sini ialah bagaimana sikap Abdul Khalid yang sekali lagi bertindak atas dasar politik dalam menangani isu berkaitan pelantikan SUK.

Abdul Khalid tidak mempunyai justifikasi yang kukuh untuk menggunakan dana kerajaan negeri bagi membiayai kos perundangan ke atas Shuhaimi yang menghadapi pertuduhan menghasut.

Dalam pertuduhan itu, kerajaan negeri langsung tidak terlibat melainkan ia atas dasar peribadi Shuhaimi. Kerana lidahnya yang tidak bertulang itu, rakyat Selangor yang terpaksa menanggung beban.

Bayangkan sebanyak enam peguam dilantik bagi membuat pembelaan ke atas kes Shuhaimi dan semuanya akan ditanggung melalui dana kerajaan negeri.

Abdul Khalid menyatakan ia atas dasar kerajaan negeri mengamalkan ‘kebebasan bersuara’ dan kerana Shuhaimi menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat Soalnya adakah mengeluarkan kata-kata yang menyinggung sultan itu peranan seorang wakil rakyat?

Adakah selepas ini sekiranya anggota PKR menghadapi pendakwaan di mahkamah atas dasar memperjuangkan dasar kerajaan negeri juga akan diberikan pembelaan sama?

Kata Menteri Besar, kerajaan negeri tidak mahu membiarkan Shuhaimi keseorangan. Tetapi mengapa sampai mahu menggunakan kantung negeri?

Mengapa tidak gunakan sahaja dana parti sendiri. Ini kerana cukuplah sebelum ini banyak dana negeri terpaksa digunakan tanpa rakyat mendapat manfaat.

Pertamanya, perbelanjaan sidang Dewan Undangan Rakyat (DUN) pada 24 Januari lalu yang disifatkan sebagai membuang masa dan membazir wang rakyat. Ini kerana pakatan pembangkang hanya menjadikan sidang itu sebagai platform membelasah Tun Dr. Mahathir Mohamad dan UMNO dan medan tuduh menuduh siapa sebenarnya penderhaka raja.

Selain itu, dana negeri juga digunakan bagi pelantikan dua pakar undang-undang yang meneliti draf pindaan perlembagaan negeri. Kita bayangkan draf itu membabitkan perubahan besar, sebaliknya ia cuma mengembalikan perenggan yang sama sebelum pindaan 1993. Jadi, mengapa tidak gunakan saja pegawai undang-undang negeri?

Jika pentadbiran kerajaan PKR asyik menggunakan dana negeri untuk kepentingan politik, kita bakal menerima padah apabila kebajikan rakyat terpinggir. Masalahnya, adakah kewangan kerajaan negeri memberangsangkan sehinggakan banyak perbelanjaan bersifat politik boleh disalur sesuka hati.

Apakah punca pendapatan negeri sudah terlalu tinggi dan negeri melimpah ruah dengan wang. Abdul Khalid dilihat hanya sekadar boleh berkokok tentang hasil perlombongan pasir. Sedangkan seperti dalam sektor pelancongan, Selangor yang mempunyai kadar kemasukan pelancong paling tinggi gagal meraih pendapatan memberangsangkan.

Kalau dilihat peruntukan bagi membantu rakyat miskin, pesawah dan pendidikan, ia tidaklah menunjukkan jumlah yang begitu menakjubkan. Peruntukan Kerajaan Pusat lebih jauh besar nisbahnya.

Paling mengejutkan, kantung zakat Selangor bagaikan diperah habis-habisan untuk pembangunan negeri. Kita masih tidak lupa kata-kata Menteri Besar yang ingin menggunakan dana Baitulmal bagi pembangunan negeri. Itulah yang terjadi sekarang.

Kita khuatir orang politik PKR hanya menggunakan Menteri Besar untuk mengaut segala dana negeri untuk kepentingan politik Anwar dan konco-konconya.

Oleh : Helmi Mohd. Foad

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan