Isnin, Februari 21, 2011

Benarkah ABIM ketika Anwar - Sosialis Islam?

Tanda tanya yang timbul ekoran pembawaan masuk sayap pergerakan Al-Ikhwan Al-Muslimun, IIIT ke Malaysia oleh Anwar ketika menjadi Presiden UIA, bukanlah sesuatu yang harus dipandang ringan. Malah ekoran terdapatnya aktiviti tokoh-tokoh cendekiawan Islam asing yang penuh kontroversi itu, sentimen anti-kerajaan di kalangan pelajar universiti berkenaan dikesan semakin menjadi-jadi terutama dalam pergerakan menyokong pergerakan reformasi pro-Anwar ketika itu.

Misalnya, ketika konvensyen UIA diadakan di Kuala Lumpur pada bulan Disember 1988, apa yang membimbangkan ialah majoriti graduan yang hadir telah menunjukkan sikap defiant mereka dengan memakai kain putih yang disemat di dada yang menurut mereka sebagai lambang keadilan, yakni keadilan bagi Anwar. Golongan terpelajar ini rata-ratanya masih berpegang kepada pandangan yang menganggap tindakan penyingkiran yang dikenakan ke atas idola politik mereka itu sebagai “konspirasi peringkat tertinggi kerajaan bagi menghapuskan karier politik Anwar.”

Memandangkan ini, sudah sampai ketikanya usaha bersungguh-sungguh dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan bahawa kehadiran kepentingan-kepentingan politik asing seperti IIIT mahupun badan induknya Al-Ikhwan Al-Muslimun selama bertapaknya pengaruh Anwar Ibrahim di dalam arus politik dan pemerintahan negara tidak menimbulkan kesan jangka panjang yang boleh memudaratkan kestabilan politik yang kita nikmati selama ini.

Sehubungan itu apa yang seharusnya menjadi kemusykilan serta dipersoalkan oleh umat Islam di Malaysia mahupun keseluruhan rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian ialah mengapa pertubuhan Al-Ikhwan Al-Muslimun dapat wujud di negara ini tanpa sebarang halangan melalui IIIT yang beroperasi melalui kampus UIA di Petaling Jaya. Segala kemusykilan dan perasaan khuatir ini juga seharusnya diluahkan terhadap IIIT dan Al-Ikhwan kerana perkaitannya dengan seorang tokoh ulama reformis Dario Qatar, Dr. Yusuf Al-Qardhawi yang bertanggungjawab mengeluarkan fatwa membela Anwar dari penyingkirannya oleh kerajaan dan UMNO.

Ulama cendekiawan Al-Ikhwan yang penuh kontroversi ini pernah melakukan lawatan rasmi ke Malaysia pada 25 Mac 1998 atas jemputan Anwar yang ketika itu masih lagi memegang jawatan penting di dalam kerajaan dan UMNO. Walaupun di kalangan pemerhati pergerakan Islam semasa Dr. Yusuf, 73, diiktiraf sebagai seorang ulama progresif yang moderate serta terkenal, tetapi ramai yang masih bersikap penuh kesangsian terhadap tindak-tanduknya, terutamanya dari segi kesungguhan serta niatnya dalam menjalankan kerja-kerja dakwah.

Malah terdapat di kalangan pemerhati yang menyifatkan ulama kelahiran Mesir ini sebagai ‘ulama politik’ yang tidak berniat semata-mata untuk berdakwah tetapi mempunyai agenda politik tersembunyi demi menegakkan pengaruh Al-Ikhwan di serata dunia Islam. Agenda berkenaan adalah bagi membolehkan puak Al-Ikhwan memegang tampuk kekuasaan di negara-negara Islam tanpa memikirkan kehendak majoriti rakyat di negara-negara berkenaan.

Adalah menjadi hakikat sejarah kewujudan badan pergerakan Islam antarabangsa ini bahawa dalam usaha mendalangi cita-cita politik di negara-negara Islam, mereka tidak begitu menghiraukan samada matlamatnya itu dicapai secara damai atau sebaliknya. Kini di Malaysia campurtangan tokoh ulama Al-Ikhwan di dalam hal ehwal politik dalaman di Malaysia amat menyerlah sekali dengan tindakannya mengeluarkan ‘fatwa’ menpertahankan Anwar dari segala tuduhan yang dilemparkan oleh pihak kerajaan.

Fatwa beliau itu jelas mengenepikan segala pandangan bernas dan teori indah yang pernah diutarakan dalam buku-buku hasil tulisannya. Ini termasuklah dalam buku Fiqh al Zakah – sebuah kerja dakwah yang pernah disifatkan oleh tokoh ulama intelektual dari Pakistan Abu A’la Mawdudi sebagai “buku abad ini” dalam bidang fiqah Islam.

Pembabitan Dr. Yusuf dalam mencampuri urusan politik UMNO dan pemerintahan kerajaan di negara ini tidak dapat dilihat oleh kalangan pemerhati tempatan sebagai berbau kepentingan politik partisan. Manakala tindakan beliau mengeluarkan ‘fatwa’ menyokong Anwar Ibrahim ternyata bercanggah dengan metodologi pembuatan fatwa seperti yang ditetapkan oleh Al-Quran serta hadis. ( sila lihat gambar diatas ).

Memandangkan beliau merupakan seorang tokoh ulama yang disegani, dikhuatiri pendapat yang diluahkan berkaitan kes penyingkiran dan juga pertuduhan-pertuduhan mahkamah yang dihadapi oleh Anwar akan disalah tafsir oleh seluruh masyarakat dunia Islam. Menurut para pemerhati, pendapat Dr. Yusuf mengenai dilema yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim itu adalah semata-mata berdasarkan pandangan dari sebelah pihak, yakni dari pihak bekas Timbalan Perdana Menteri itu sahaja tanpa mengambil kira sudut pandangan pihak kerajaan dan UMNO.

Ekoran perkembangan ini, dikhuatiri juga kalau-kalau fatwa dari tokoh ulama antarabangsa ini mengenai nasib-nasib yang menimpa Anwar ini adalah dari sumber-sumber pihak ketiga seperti laporan media asing atau rakan-rakan seperjuangan yang berada di Malaysia.

Perlu disebut di sini sejak kepulangannya ke negara asalnya ekoran lawatan ke Malaysia pada pada 25 Mac 1998, Dr Yusuf tidak pernah pulang semula sehinggalah tahun 2010 bagi menyiasati atau mengambil tahu tentang masalah yang menimpa rakan pengikutnya itu. Berdasarkan ini, besar kemungkinannya keputusan yang diambil bagi membela Anwar bukan didasarkan kepada realiti politik semasa di Malaysia, tetapi lebih kepada apa yang dilihat melalui kaca mata politik di Timur Tengah.

Dr. Yusuf tentu boleh dianggap telah melakukan satu kesilapan yang besar jika terbukti beliau mengambil pendekatan yang stereotaip serta cetek dengan menyamakan sikap kerajaan di Malaysia seperti sikap yang diambil oleh para pemerintah di sesetengah negara Arab yang rata-ratanya terbukti amat tegas dalam usaha membanteras segala pergerakan politik yang berbau Islam.

Pada hakikatnya di antara perjuangan aktivisme Anwar dengan tokoh ulama Al-Ikhwan dari Qatar ini memang terdapat banyak persamaan. Seperti juga Anwar, "ulama reformis" ini sememangnya terkenal di kalangan golongan intelektual dunia Islam sebagai seorang yang mempunyai pandangan politik yang agak radikal. Pandangan ini agak bercanggah dengan apa yang dipaparkan oleh kalangan pengkaji Islam dari barat seperti John Esposito dan John Voll yang menyifatkan beliau sebagai tokoh intelektual dunia Islam yang bersifat moderate.

Sesungguhnya Dr. Yusuf dan beberapa orang lagi tokoh Islam al-Ikhwan Al muslimun, termasuk pengasasnya Hassan Al-Banna, lebih dikenali dikalangan aktivis pergerakan Islam dunia sebagai ulama yang “memegang Quran dan pedang di tangan kiri”. Dr. Yusuf pernah dilaporkan terlibat secara aktif dalam politik kampus seperti menganjurkan serta mendalangi beberapa tunjuk perasaan ganas ketika menuntut di Al-Azhar. Akibat kegiatan politik radikal ini beliau dilaporkan pernah di penjara oleh pihak berkuasa Mesir sebanyak tiga kali, yakni pada tahun 1949,1954 dan 1962.

Persamaan di antara Anwar dengan Dr. Yusuf turut terserlah dari segi idola atau tokoh politik yang disanjungi bersama. Dr. Yusuf dikenal pasti sebagai antara tokoh Al-Ikhwan yang taksub dengan beberapa orang tokoh idola intelektual reformis Islam yang pernah suatu ketika dahulu dikaitkan dengan pergerakan sosialisme Islam seperti pengasas pergerakan itu sendiri Hassan Al-Banna dan tokoh ideologinya, Sayyid Qutb. Di antara kedua-dua tokoh yang dikagumi bersama oleh Anwar dan Dr. Yusuf ini, Sayyid Qutb dikatakan tokoh yamg paling menyerlah dari segi sikap militan dan radikalnya serta pernah dikatakan berpegang kepada konsep sosialisme Islam.

Pada peringkat awal penglibatannya dengan Al-Ikhwan, Sayyid Qutb menganut falsafah liberal, kemudiannya berganjak minda kepada fahaman sosialis, sebelum bertukar haluan menjadi tokoh fundamentalis sehingga kini. Seperti juga dengan hal beberapa orang di kalangan pemimpin Al-Ikhwan, terdapat ramai di kalangan tokoh intelektual Islam di Malaysia yang seangkatan dengan Anwar pernah suatu ketika dulu turut terpengaruh dengan idea sosialisme Islam yang di bawa oleh Sayyid Qutb ini Antara tokoh-tokoh intelek Islam tempatan ini termasuklah Prof. Syed Naquib Al-Attas.

Tokoh cendekiawan Islam tempatan ini dikenalpasti masih lagi mempunyai perhubungan yang akrab dengan Anwar dan dikatakan antara tokoh yang menjadi golongan inner circle dalam perencanaan politik dan intelektual beliau. Pengaruh fahaman sosialisme Islam didapati begitu menular sekali di kalangan ahli ABIM serta para penuntut institusi pengajian tinggi tempatan pada sekitar tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an.

Fahaman ini menjadi begitu popular di kalangan anak-anak muda terpelajar ketika itu sehingga terdapat media cetak tempatan, terutamanya majalah Panji Masyarakat (kini tidak diterbitkan lagi) pernah beberapa kali didapati seolah-olah cuba menjaja fahaman ini yang rata-ratanya terdiri dari kalangan pelajar peringkat STP dan institusi pengajian tinggi tempatan. Didapati media berkenaan memberikan kedudukan yang prominen terhadap isu sosialisme Islam, termasuk menjadikannya bahan cover story sambil menyerlahkan apa yang disifatkan sebagai tokoh Prof. Syed Naguib dalam fahaman tersebut.

Perkara ini berlaku walaupun fahaman sosialisme yang dipuja-puja itu agak mengelirukan serta menimbulkan kontroversi dari segi akidah umat Islam. Natijah dari apa yang berlaku ekoran begitu mudahnya puak pelampau militan Islam membabitkan diri dalam urusan politik dan pemerintahan di Malaysia di negara ini ialah sikap kalangan pemimpin kita dan umat Melayu-Islam keseluruhannya yang suka kepada perkara-perkara yang asing atau yang datang dari luar negara.
Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan