Khamis, Januari 20, 2011

Sidang DUN: Jangan salaherti hasrat Sultan Selangor!

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah bahawa, tindakan baginda menandatangani proklamasi memanggil mesyuarat Dewan Undangan Negeri pada 24 Januari ini jangan disalahertikan bahawa baginda menyokong mana-mana pihak.

"Beta telah menandatangani proklamasi untuk memanggil mesyuarat Dewan Negeri di bawah sub-peraturan 10 (3) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri yang ditetapkan pada 24 Januari 2011,” titah baginda dalam satu perutusan yang dikeluarkan hari ini.

Sultan Selangor bertitah, proklamasi itu ditandatangani baginda selaras dengan kuasa dan tanggungjawab baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara LXX (1) dan LV (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Baginda juga berharap agar mesyuarat dewan pada kali ini dapat dijalankan dengan teratur mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan.

"Janganlah hendaknya perjalanan kuasa Beta menandatangani proklamasi ini disalahertikan bahawa Beta menyokong mana-mana pihak dan janganlah Beta diseret dan dilibatkan masuk dalam kancah politik oleh mana-mana pihak berkepentingan yang tidak bertanggungjawab,” titah Sultan Selangor.

Daulat Tuanku.

Suara Politik
Taminsari

2 ulasan:

  1. Rasaya sebagai rakyat yang mendaulatkan Sultan salah faham tidak akan timbul dari rakyat yang arif dan mendukung Rukun Negara.

    Daulat Tuanku

    BalasPadam
  2. Perutusan tersebut yang diedarkan kepada media hari ini turut diserahkan kepada semua ADUN di Selangor termasuk Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim.

    Sidang DUN itu diadakan berikutan usaha kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mahu meminda perlembagaan negeri berhubung mengembalikan kuasa kepada menteri bagi melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kewangan dan Penasihat Undang-undang negeri.

    Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan baginda telah menerima dan meneliti draf pindaan Perkara LII Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang akan dibawa ke sidang DUN itu.

    “Bagaimanapun, baginda menyerahkan kepada kebijaksanaan Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor untuk menilai sama ada pindaan itu wajar diluluskan atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

    BalasPadam