Selasa, November 16, 2010

Skandal PKNS : Khalid didesak siasat salah laku di bawah pentadbiran Othman Omar !

Lima persatuan dan kesatuan dalaman Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya menamatkan kontrak Pengurus Besar PKNS, Othman Omar, dengan serta merta.

Pada masa yang sama, persatuan dan kesatuan juga menuntut Abdul Khalid supaya menjalankan siasatan secara telus dan terbuka terhadap segala dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku di bawah pentadbiran Othman.

Menurut persatuan dan kesatuan tersebut, desakan dan tuntutan itu dibuat selepas mereka dan warga PKNS sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Othman yang didakwa bertanggungjawab mengheret perbadanan itu ke dalam kancah kontroversi.

Lima persatuan dan kesatuan tersebut adalah, Persatuan Pegawai Kanan PKNS; Persatuan Pegawai Eksekutif PKNS; Persatuan Badan Islam PKNS; Persatuan Kebajikan Pekerja PKNS dan Kesatuan Pekerja-Pekerja PKNS.

"Kami secara kolektif mewakili yang warga PKNS, dengan ini melahirkan rasa tidak percaya terhadap kepimpinan Othman selaku Pengurus Besar, berdasarkan beberapa tindakan beliau yang menjejaskan imej serta integriti keseluruhan perbadanan ini.

"Dengan ini, kami mendesak supaya kontrak Othman ditamatkan serta-merta dan menuntut Menteri Besar mengarahkan siasatan telus serta terbuka dibuat terhadap semua dakwaan yang dikemukakan," kata gabungan persatuan tersebut dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Jumaat lalu, akhbar melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib mendakwa, wujud amalan salah guna dana dalam pembayaran sewa bangunan sementara apabila kosnya mencecah RM9.6 juta untuk tempoh tiga tahun.

Beliau juga mendakwa, wujud amalan kronisme apabila pelantikan jawatan pengurusan bagi anak syarikat perbadanan tersebut, dibuat daripada kenalan pengurusan tertinggi PKNS itu sendiri tanpa melalui pemilihan yang rapi.

Selain itu, Saari juga mendakwa pengurusan tertinggi PKNS menghabiskan sebanyak RM520,000 semata-mata untuk majlis makan malam sempena perkahwinan Angkawasan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha bulan lalu.

Mengulas lanjut, persatuan dan kesatuan tersebut menggariskan enam perkara mengapa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Othman, antaranya ialah pengurus besar itu bertanggungjawab memecah-belah pentadbiran PKNS.

Mereka juga mendakwa Othman tidak telus dalam mentadbir; tidak mematuhi perintah am dan pekeliling kerajaan serta keputusannya, banyak dipengaruhi pihak tertentu sehingga menyebabkan berlaku aliran wang keluar dalam jumlah yang besar.

"Jawatan pengurus besar perlu disandang oleh individu berintegriti tinggi; memahami; menghayati dan menepati matlamat penubuhan PKNS," tegas persatuan itu lagi.

Sementara itu untuk Skandal Yayasan Selangor : Mengapa hanya Saifulruddin diarah cuti?

Pengerusi Yayasan Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengurus Besarnya, Ilham Marzuki ( gambar kiri ) perlu dipertanggungjawabkan ke atas kontroversi perbelanjaan bagi majlis ulang tahun ke-40 yayasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Amiruddin Setro ( gambar kanan ) berkata, beliau hairan kenapa kedua-dua mereka itu seolah-olah terlepas daripada siasatan yang dijalankan oleh kerajaan negeri berhubung isu tersebut.

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu berkata, sepatutnya Abdul Khalid yang juga Menteri Besar dan juga Ilham, turut disiasat atau mengambil tanggungjawab ke atas isu yang turut mengundang kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah itu.

"Mereka juga patut diarah bercuti bukan hanya sekadar Timbalan Pengurus Besar, Mohd. Saifulruddin Sulaiman sahaja.

"Ia penting bagi memastikan siasatan membabitkan perbelanjaan RM300,000 itu dapat dilakukan dengan cepat dan bebas.

"Ini kerana mereka juga antara pihak yang mempunyai kuasa meluluskan perbelanjaan yang tidak mungkin dilakukan oleh Mohd. Saifulruddin seorang. Jadi saya minta perkara ini diperjelaskan," kata beliau kepada pemberita di pekarangan Dewan Annex di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri mengarahkan Mohd. Saifulruddin mengambil cuti bergaji selama sebulan berkuat kuasa serta-merta berikutan kontroversi perbelanjaan majlis itu.

Keputusan itu dibuat selepas siasatan awal yang dijalankan kerajaan negeri menunjukkan terdapat penglibatan Pejabat Timbalan Pengurus Besar dalam membuat keputusan itu.

Tambah Amiruddin, tindakan mengarahkan Saifulruddin bercuti menunjukkan ketidaktelusan kepimpinan kerajaan pakatan pembangkang dan seolah-olah menjadikan Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor itu sebagai "kambing hitam".

Kontroversi perbelanjaan majlis yang dikatakan menelan kos RM300,000 yang didakwa tidak munasabah itu mula dicetuskan oleh Amiruddin semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor minggu lalu.

Isu tersebut turut menyebabkan Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan membatalkan keberangkatan baginda ke majlis sambutan itu.

Mungkin rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat mengharapkan akan ketelusan dalam pemerintahan di negeri Selangor yang diketuai olah PKR. Namun apa yang diharapkan ibarat mencurah garam dilaut. Mengharapkan panas sampai kepetang, rupanya hujan ditengahari. Ketuk dulang paku serpih, mengata orang tapi mereka yang lebih.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan